Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1131: BOLEHKAH LAKUKAN WITIR SATU RAKAAT SAHAJA

WITIR SATU RAKAAT.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Selepas solat sunat selepas Isyak, saya lihat ramai jemaah solat sunat witir satu rakaat. Bolehkah witir dilakukan satu rakaat sahaja?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Menjawab persoalan di atas, kami nukilkan kenyataan daripada pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (1/527-529) yang menyebut: Sekurang-kurang solat Witir ialah satu rakaat, tetapi makruh melakukannya satu rakaat sahaja. Sekurang-kurang sempurna solat Witir ialah tiga rakaat, iaitu melakukannya secara dua rakaat bersambung dan satu rakaat lagi berasingan. Sementara yang paling sempurna adalah melakukannya sebanyak sebelas rakaat dengan mengucap salam selepas setiap dua rakaat dan diakhiri dengan satu rakaat.

Hal ini berdasarkan hadith, daripada Ibn Umar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْوِتْرُ رَكْعَةٌ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ

Maksudnya: “Solat Witir ialah satu rakaat dilakukan pada akhir malam.”

Riwayat Muslim (752)

Hadith seterusnya, daripada Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّى فِيمَا بَيْنَ أَنْ يَفْرُغَ مِنْ صَلاَةِ الْعِشَاءِ إِلَى الْفَجْرِ إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً يُسَلِّمُ بَيْنَ كُلِّ رَكْعَتَيْنِ وَيُوتِرُ بِوَاحِدَةٍ فَإِذَا سَكَتَ الْمُؤَذِّنُ مِنْ صَلاَةِ الْفَجْرِ وَتَبَيَّنَ لَهُ الْفَجْرُ وَجَاءَهُ الْمُؤَذِّنُ قَامَ فَرَكَعَ رَكْعَتَيْنِ خَفِيفَتَيْنِ ثُمَّ اضْطَجَعَ عَلَى شِقِّهِ الأَيْمَنِ حَتَّى يَأْتِيَهُ الْمُؤَذِّنُ لِلإِقَامَةِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW bersolat sebanyak sebelas rakaat di antara selepas Baginda solat Isya’ waktu terbit fajar. Baginda mengucap salam setiap dua rakaat dan mengakhirinya dengan satu rakaat. Apabila muazzin selesai azan solat Subuh dan fajar telah nyata, muazzin pun menemui Baginda, lalu Baginda bangun bersolat sunat dua rakaat yang ringkas, kemudian Baginda mengiring atas lambung kanannya sehingga muazzin menemuinya lagi untuk iqamah.”

Riwayat al-Bukhari (1071) dan Muslim (736)

Hadith berikutnya, daripada Abu Ayyub RA, katanya, Rasulullah SAW bersabda:

الْوِتْرُ حَقٌّ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يُوتِرَ بِخَمْسٍ فَلْيَفْعَلْ وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يُوتِرَ بِثَلاَثٍ فَلْيَفْعَلْ وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يُوتِرَ بِوَاحِدَةٍ فَلْيَفْعَلْ

Maksudnya: “Solat Witir ialah syariat yang dituntut atas setiap orang Islam. Sesiapa hendak melakukannya 5 rakaat lakukanlah, sesiapa yang hendak melakukannya 3 rakaat lakukanlah, dan sesiapa hendak melakukannya 1 rakaat sahaja lakukanlah.”

Riwayat Abu Daud (1422)

Imam al-Baghawi dalam Syarh al-Sunnah berkata: Para ulama berbeza pandangan pada bilangan rakaat. Imam al-Thauri berpandangan bahawa witir sama ada lima, atau tiga atau satu, tetapi digalakkan berwitir dengan tiga rakaat. Pandangan ini juga merupakan pandangan Ibn al-Mubarak dan ahl al-Kufah dan sebahagian daripada sahabat antaranya Abdullah bin Mas'ud.

Dan sebahagian daripada para Sahabat berpandangan bahawa boleh berwitir dengan satu rakaat. Antaranya Uthman bin Affan, Sa'ad bin Abi Waqqas, Zaid bin Thabit, Abu Musa al-Asy’ari, Abdullah bin Umar, Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Zubair, Mu'awiyah, 'Aisyah, Imam Malik, Imam Syafi'e dan lain-lain. (Lihat Syarh al-Sunnah, 4/82)

Justeru, menjawab persoalan di atas, boleh dilakukan witir satu rakaat, tetapi yang afdhalnya adalah tiga rakaat dengan dua salam atau melakukan solat sunat ba’diyah Isyak dua rakaat dan disudahi dengan satu rakaat Witir. Kami lebih cenderung jika mahu mengawalkan Witir dengan melakukan solat sunat Ba’diyah Isyak dua rakaat dan witir tiga rakaat.

Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita untuk melaksanakan ketaatan dan solat Witir pada setiap malam selagi hayat di kandung badan. Amin.