Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1197: ADAKAH BERHIBUR DAN MELANCONG BOLEH DIANGGAP RUKHSAH UNTUK JAMAK DAN QASAR

melancong bleh ka qasar.JPG

Soalan:

Adakah melancong dan berhibur bersama keluarga dan rakan-rakan boleh dikira sebagai rukhsah untuk solat secara qasar?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi bagi membolehkan solat qasar dan jamak dilakukan. Antara yang disebutkan oleh para fuqaha :

  • Solat yang diqasarkan adalah solat fardu yang empat rakaat.
  • Ada tujuan walaupun dengan mana-mana arah
  • Permusafirannya adalah permusafiran yang diharuskan bukan kerana maksiat
  • Mempunyai tujuan yang baik seperti pergi kerana urusan perniagaan dan lain-lain.
  • Jarak perjalanan adalah sejauh dua marhalah iaitu dianggarkan sejauh 82 kilometer.
  • Melepasi negeri atau kawasan tempat bermukim.
  • Ada pengetahuan berkenaan hukum hakam solat qasar dan jamak (Rujuk Al-Taqrirat Al-Sadidah Fi Al-Masail Al-Mufidah, hlm 314-315)

Berkenaan dengan persoalan sama ada perjalanan dengan tujuan melancong dan rekreasi diberikan rukhsah untuk solat secara qasar, kami kemukakan pandangan empat mazhab seperti berikut:

 

Mazhab Hanafi:

Diriwayatkan bahawa Imam Abu Hanifah mengharuskan seseorang yang sedang dalam apa jua bentuk permusafiran untuk melakukan solat secara qasar, hatta musafir untuk melakukan maksiat sekalipun, dan pandangan ini dipersetujui oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dan Ibn Hazm al-Andalusi. (Rujuk Majmu’ah al-Rasa’il li Ibn Taimiyyah 2/60 dan Al-Syarh al-Mumti’ Syarh Zad al-Mustaqni’ 4/349)

 

Mazhab Maliki:

Syeikh Muhammad ‘Alisy menyatakan bahawa menurut mazhab Maliki, qasar solat sewaktu sedang melancong adalah tidak disunatkan, bahkan hukumnya makruh. (Rujuk Minah al-Jalil 1/401)

 

Mazhab Syafi’e:

Menurut mazhab Syafi’e, salah satu syarat yang perlu dipenuhi bagi membolehkan seseorang itu memperoleh rukhsah jamak dan qasar sewaktu bermusafir juga ialah dia mesti mempunyai tujuan perjalanan yang jelas.

Al-Imam al-Mawardi, Al-Imam Muhyiddin al-Nawawi, Imam al-Ramli dan Imam Ibn Hajar al-Haitami menyatakan dengan jelas bahawa al-tanazzuh iaitu rekreasi dan melancong merupakan satu tujuan perjalanan yang jelas, kerana ia adalah untuk mengubati diri sendiri daripada lemahnya semangat, kebosanan jiwa dan meningkatkan semangat. Maka dengan itu, perjalanan untuk melancong dan berekreasi diharuskan untuk solat jamak dan qasar. (Rujuk Al-Hawi al-Kabir 2/880, Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 4/33, Mughni al-Muhtaj 1/268 dan Al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra 1/231)

 

Mazhab Hanbali:

Imam Ibn Qudamah pula meriwayatkan dua pandangan dalam mazhab Hanbali. Pandangan pertama yang diriwayatkan daripada Imam al-Khiraqi mengharuskannya, manakala pandangan kedua pula merupakan riwayat daripada Imam Ahmad bin Hanbal yang tidak mengharuskannya. Hal ini kerana melancong bukan maslahah yang diiktiraf oleh syara’. Imam Ibn Qudamah memilih dan mentarjihkan pandangan pertama, iaitu harus untuk qasar. (Rujuk Al-Mughni 2/100)

 

Kesimpulan

Tuntasnya, kami mentarjihkan pandangan majoriti ulama iaitu pandangan mazhab Hanafi, Syafi’e dan pandangan yang dipilih Ibn Qudamah dalam mazhab Hanbali yang mengharuskan qasar solat bagi mereka yang sedang dalam bermusafir untuk melancong dan berekreasi bersama keluarga dan rakan-rakan. Namun demikian, jika perjalanan tersebut adalah dengan bertujuan untuk bermaksiat, seperti untuk berjudi dan berhibur di kelab-kelab malam, maka tidak diharuskan untuk qasar solat.

Pandangan ini lebih meraikan suasana semasa, dan lebih memberikan keselesaan kepada umat Islam, terutamanya yang telah bekeluarga dan mempunyai anak-anak kecil, dan perjalanan yang jauh adalah memenatkan, meskipun dengan menaiki kapal terbang.

Wallahu a’lam.