Soalan:
Assalamualaikum S.S Mufti, mengapakah kedudukan seorang ibu diutamakan sebanyak tiga kali melebihi kedudukan seorang bapa dari sudut anjuran berbuat kebaikan kepada keduanya ?
Jawapan:
Wa’alaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Islam adalah sebuah agama yang sangat menitik beratkan soal berbuat baik kepada kedua ibubapa. Bahkan amalan birr al-walidayn (berbuat baik kepada kedua ibubapa) merupakan antara ibadah yang paling besar selepas tauhid kepada Allah S.W.T. Ini seperti yang ditunjukkan oleh firman Allah S.W.T:
وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا
Maksudnya: Dan bertauhidlah kamu kepada Allah dan jangan sesekali kamu mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun. Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa.
Surah Al-Nisa’ (36)
Justeru, apabila kita melihat kepada konteks ayat di atas, Allah S.W.T meletakkan anjuran dan tuntutan berbuat baik kepada kedua ibubapa sebaik sahaja memerintahkan kepada umat Islam untuk mentauhidkan-Nya serta tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu.
Meskipun kita dituntut untuk berbuat baik dengan kedua ibubapa, namun di sana terdapatnya sebuah riwayat yang melebihkan kedudukan seorang ibu berbanding bapa dalam isu berbuat kebaikan kepadanya. Ini dapat kita lihat berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W: ‘’Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berhak untuk aku berbuat baik kepadanya ?’’. Maka Rasulullah S.A.W. menjawab:
أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أَبُوكَ
Maksudnya: Ibu kamu (adalah manusia yang paling berhak untuk kamu berbuat baik kepadanya), kemudian ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian bapa kamu.
Riwayat Muslim (2548)
Maka diambil manfaat daripada hadis ini bahawa seorang ibu didahulukan dalam proses berbuat baiknya seorang anak itu kepada kedua ibubapanya sebanyak tiga kali ke atas bapanya. Bahkan telah disebutkan ijma’ para ulama seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Haris al-Muhasibi dalam mentafdhilkan (mengutamakan) berbuat baik kepada ibu ke atas bapa disebabkan sarihnya madlul (isi yang ditunjukkan) oleh hadis di atas ini.
Manakalah perkataan حُسْنِ الصُّحْبَةِ di dalam hadis di atas membawa maksud berbuat baik, berlemah lembut, merendahkan diri di hadapan mereka, mengasihi, memuliakan, serta mentaati mereka dalam hal-hal yang makruf. Ini dibuktikan dengan beberapa firman Allah S.W.T, antaranya:
وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ
Maksudnya: Dan rendahkanlah kepada kedua ibubapa kamu sayap kehinaan (rendahkan diri kamu) disebabkan perasaan kasih sayang (kepada mereka).
Surah al-Isra’ (24)
Berikut kami kongsikan beberapa kelebihan berbuat baik kepada ibu menerusi nas dari al-Quran dan al-Sunnah. Antaranya:
Pertama: Peribadi Akan Menjadi Santun dan Bahagia
Ini merupakan mafhum dari firman Allah S.W.T:
وَبَرًّا بِوَالِدَتِي وَلَمْ يَجْعَلْنِي جَبَّارًا شَقِيًّا
Maksudnya: Dan aku (Nabi Isa) berbuat baik kepada ibuku dan Allah tidak menjadikan aku ini bersikap keras dan derita.
Surah Maryam (32)
Maka difahami daripada ayat di atas bahawa Allah S.W.T tidak menjadikan Nabi Isa A.S sebagai seorang yang keras (sombong dan bongkak) dan juga orang yang menderita, sebaliknya baginda menjadi individu yang santun dan bahagia disebabkan ketaatan baginda kepada ibunya Maryam.
Kedua: Memperoleh Kemustajaban Doa
Dalam sebuah hadis yang panjang, daripada Umar bin al-Khattab R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
فَإِنِ اسْتَطَعْتَ أَنْ يَسْتَغْفِرَ لَكَ فَافْعَلْ
Maksudnya: Sekiranya kamu mampu untuk meminta supaya dia (Uwais al-Qarani) memohon keampunan Allah buat kamu, maka lakukanlah.
Ini adalah saranan dari Rasulullah S.A.W, iaitu untuk meminta Uwais al-Qarani yang merupakan seorang tabiin memohon keampunan Allah untuk Umar. Sedangkan Umar berada pada kedudukan yang jauh lebih tinggi dan afdhal berbanding Uwais. Hal ini tidak lain tidak bukan adalah disebabkan amalan mulia yang dilakukan oleh Uwais al-Qarani, seperti yang dikatakan oleh Nabi S.A.W:
لَهُ وَالِدَةٌ هُوَ بِهَا بَرٌّ
Maksudnya: Dia (Uwais) mempunyai seorang ibu yang dia amat taat kepadanya.
Justeru, dapat diambil isyarat daripada hadis di atas bahawa perbuatan berbuat baik dan mentaati ibu akan menjadikan seseorang itu memperoleh doa yang mustajab.
Dalam menjawab persoalan yang dikemukakan, berikut kami kongsikan kata-kata Imam al-Nawawi yang menukilkan pendapat para ulama yang menjelaskan sebab-sebab didahulukan seorang ibu dengan kata mereka: ‘’Sebab didahulukan seorang ibu (dalam berbuat baik) adalah kerana banyaknya kepenatan yang ditanggung oleh seorang ibu disebabkan anaknya. Demikian juga kerana sifat kasih dan sayangnya ibu kepada anak, serta berterusannya kepayahan yang ditanggungnya sepanjang proses mengandungkan anak, kemudian melahirkannya, kemudian menyusukannya, kemudian mendidik dan membesarkan anak serta sakit yang ditanggungnya sepanjang proses tersebut’’. Rujuk Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (16/79).
Manakala Syeikh Mulla ‘Ali al-Qari dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata: ‘’Sebab didahulukan ibu sebanyak tiga kali ada diisyaratkan melalui firman Allah S.W.T:
حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهًا وَوَضَعَتْهُ كُرْهًا ۖ وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْرًا
Maksudnya: Seorang manusia itu, dia telah dikandungkan oleh ibunya dalam keadaan yang penuh kesukaran dan begitu juga dia dilahirkan oleh ibunya dalam keadaan yang penuh kepayahan. Dan kandungan serta susuan (kepada anak) adalah selama tiga puluh bulan.
Surah Al-Ahqaf (15)
Maka didahulukan ibu sebanyak tiga kali adalah disebabkan tiga perkara yang terkhusus dengan seorang ibu iaitu kepenatan dalam mengandungkan bayi, kesukaran dalam proses melahirkan anak, serta ujian yang dihadapi semasa menyusukan bayi’’. Rujuk Mirqaat al-Mafatiih, Mulla Ali al-Qari (7/3079).
Penutup
Sebagai kesimpulan, marilah kita sama-sama mempertingkatkan amalan berbuat baik kepada kedua ibubapa kita, lebih-lebih lagi kepada seorang ibu yang telah mengandungkan, melahirkan kita ke dunia dengan penuh jerih perih, serta menyusukan kita dengan penuh kesabaran.
Marilah kita sentiasa memperbanyakkan bacaan doa:
رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا
Maksudnya: Wahai Tuhan, kasihilah keduanya (ibubapa ku) sebagaimana mereka mendidik aku semasa aku kecil.
Surah Al-Isra’ (24)
Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.