Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

AZAN DGN ALAT RAKAMAN.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Adakah memadai dikumandangkan azan dengan menggunakan alat-alat rakaman seperti kaset atau CD apabila masuknya waktu solat?

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Azan merupakan zikir yang khusus. Islam mensyariatkannya sebagai pemberitahuan masuknya waktu solat fardhu serta menyeru orang Islam bersama menunaikan solat. Hukum azan bagi solat fardhu dan solat qadha’ adalah sunat muakkad, iaitu sunat kifayah bagi solat berjemaah dan sunat ‘ainiah bagi solat bersendirian. Azan mempunyai peranan yang amat penting bagi menzahirkan syiar Islam. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/337)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan di sini fatwa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah (9/179) di mana Syeikh ‘Athiyah Saqar menyebut: Tidak memadai rakaman azan atau azan radio bagi menggantikan tuntutan melaungkan azan kerana kaum Muslimin dituntut agar melaungkan azan apabila masuk waktu solat sebagaimana perintah Nabi SAW:

إِذَا حَضَرَتْ الصَّلاةُ فَلْيُؤَذِّنْ لَكُمْ أَحَدُكُمْ وَلْيَؤُمَّكُمْ أَكْبَرُكُمْ

Maksudnya: “Apabila masuk waktu solat, hendaklah salah seorang daripada kamu melaungkan azan dan hendaklah menjadi imam orang yang paling tua dalam kalangan kamu.”

Riwayat al-Bukhari (6705) dan Muslim

Mafhum hadis ini yang menunjukkan hendaklah salah seorang daripada kamu melaungkan azan adalah seseorang yang hidup atau hadir dalam majlis tersebut bukan melalui alat perakam.

Hal ini bertepatan dengan kenyataan fatwa al-Lajnah al-Da’imah li al-Buhuth al-'Ilmiyyah wa al-Ifta' turut menyebut: Tidak memadai azan yang disyariatkan bagi solat-solat fardhu dikumandangkan menggunakan alat rakaman, bahkan wajib seorang muazzin mengumandangkan azan untuk solat oleh dirinya sendiri sebagaimana thabit daripada perintah Rasulullah SAW untuk azan, dan hukum asal bagi satu perintah itu adalah wajib. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, nombor 10189)

Manakala Majlis Majma’ al-Fiqh al-Islami juga turut mengeluarkan satu resolusi berkaitan isu ini, antara lain menyebut: Hanya mengumandangkan azan di masjid-masjid ketika masuknya waktu solat dengan menggunakan alat rakaman dan seumpamanya adalah tidak memadai. Tidak harus dalam melaksanakan ibadat ini dan tidak terhasil dengannya azan yang disyariatkan. Justeru, wajib ke atas umat Islam untuk mengumandangkan azan secara langsung bagi setiap waktu daripada waktu-waktu solat di setiap masjid sebagaimana amalan ini telah diwarisi daripada kaum Muslimin sejak dari zaman Nabi kita Muhammad SAW sehingga kini. (Lihat Resolusi al-Majma’ al-Fiqhi al-Islami pada 19/7/1406 Hijrah)

 

Pandangan mereka adalah berlandaskan kepada beberapa hujah berikut, antaranya:

  • Azan adalah daripada syi’ar-syi’ar Islam yang bersifat ta’abbudi yang zahir. Ia adalah termasuk dalam perkara al-ma’lum min al-din bi al-darurah (hukum telah pasti diketahui oleh setiap orang Islam) dengan nas dan ijma’ kaum muslimin. Oleh itu, maka azan juga adalah daripada tanda-tanda yang membezakan daripada negara Islam dan negara kufur. Telah dihikayatkan secara sepakat bahawa sekiranya telah bersepakat ahli negeri tersebut untuk meninggalkannya (pelaksanaan azan), maka mereka boleh diperangi.
  • Kaum muslimin telah mewarisi sejak pensyariatannya pada tahun pertama Hijrah sehinggalah sekarang, amalan azan ini berterusan bagi setiap waktu solat yang lima di setiap masjid walaupun berbilang-bilang masjid dalam satu negeri.
  • Dalam hadith Malik bin al-Huwairith R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا حَضَرَتْ الصَّلاةُ فَلْيُؤَذِّنْ لَكُمْ أَحَدُكُمْ وَلْيَؤُمَّكُمْ أَكْبَرُكُمْ

Maksudnya: “Apabila masuk waktu solat, hendaklah salah seorang daripada kamu melaungkan azan dan hendaklah menjadi imam orang yang paling tua dalam kalangan kamu.”

Riwayat al-Bukhari (6705)

  • Niat merupakan salah satu daripada syarat azan. Oleh itu, tidak sah azan yang dilakukan oleh orang gila, orang mabuk dan seumpamanya kerana ketiadaan niat semasa melaksanakannya. Demikianlah juga dalam kes azan menggunakan alat rakaman sepertimana disebutkan.
  • Azan adalah ibadah badaniyyah (ibadat tubuh badan). Ibn Qudamah berkata: Tidak boleh bagi seorang lelaki untuk menyambung azan orang lain kerana azan adalah ibadah tubuh badan yang tidak boleh dilakukan oleh dua orang seperti solat. (Lihat al-Syarh al-Kabir, 1/ 407)

 

Kelebihan Azan dan Muazzin

Terdapat banyak hadis yang menyatakan kelebihan melakukan azan. Antaranya hadis daripada Muawiyah RA, Rasulullah SAW bersabda:

الْمُؤَذِّنُونَ أَطْوَلُ النَّاسِ أَعْنَاقًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Para muazzin merupakan manusia yang paling panjang lehernya pada hari kiamat.”

Riwayat Muslim (387)

Imam Nawawi ketika mensyarahkan menyatakan bahawa para ulama’ salaf dan khalaf telah berselisih pendapat dalam memahami makna hadith ini. Dikatakan bahawa hadith ini bermaksud ramai orang yang melihat rahmat Allah SWT kerana orang yang melihat ini akan memanjangkan lehernya untuk melihat apa yang mampu dicapainya. Ini bermaksud, mereka (para muazzin) memanjangkan leherkan mereka bagi melihat pahala (yang disediakan buat mereka). (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, 4/91-92)

Dalam hadis yang lain, Nabi SAW bersabda:

لَوْ يَعْلَمُ النَّاسُ مَا فِي النِّدَاءِ وَالصَّفِّ الْأَوَّلِ ثُمَّ لَمْ يَجِدُوا إِلَّا أَنْ يَسْتَهِمُوا عَلَيْهِ لَاسْتَهَمُوا

Maksudnya: Kalaulah orang ramai tahu tentang kelebihan azan, dan berada di saf pertama kemudian tiada ruang bagi mereka kecuali melalui mengundi nescaya mereka sanggup mengundi.

Riwayat al-Bukhari (615)

Rasulullah SAW juga bersabda:

فَإِذَا كُنْتَ فِي غَنَمِكَ أَوْ بَادِيَتِكَ فَأَذَّنْتَ بِالصَّلَاةِ فَارْفَعْ صَوْتَكَ بِالنِّدَاءِ فَإِنَّهُ لَا يَسْمَعُ مَدَى صَوْتِ الْمُؤَذِّنِ جِنٌّ وَلَا إِنْسٌ وَلَا شَيْءٌ إِلَّا شَهِدَ لَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: Jika kamu berada bersama-sama dengan kambing kamu atau di kebun kamu, dan engkau berazan untuk sembahyang, hendaklah engkau angkatkan suara menyeru orang bersembahyang, sebab suara orang yang azan tidak didengar oleh jin atau manusia ataupun sesuatu kecuali dia menyaksikan baginya pada Hari Akhirat.

Riwayat al-Bukhari (609)

Hadis lain pula menyatakan:

الإِمَامُ ضَامِنٌ وَالْمُؤَذِّنُ مُؤْتَمَنٌ ، اللَّهُمَّ أَرْشِدِ الأَئِمَّةَ وَاغْفِرْ لِلْمُؤَذِّنِينَ

Maksudnya: Imam adalah bertanggungjawab (damin), tukang azan adalah orang yang dipercayai (amanah). Ya Allah, berilah petunjuk kepada imam-imam dan ampunilah tukang azan.

Riwayat Abu Daud (517)

Kesimpulan

Tidak memadai azan dengan menggunakan alat rakaman atau radio bagi menggantikan tuntutan melaungkan azan apabila masuknya waktu solat berdasarkan nas dan hujah yang disebutkan.

Justeru, hendaklah seupaya mungkin setiap tempat melaksanakan azan sebagaimana yang dilakukan oleh salafus soleh yakni dengan seorang Islam yang cukup syaratnya dan bukan dengan tasjil atau alat perakam suara. Pihak berwajib seperti Majlis Agama Islam hendaklah memberi keutamaan untuk melantik mana-mana bilal dalam melaksanakan ibadat azan sebagai syiar agama di satu-satu tempat.

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan setiap titah perintah-Nya. Amin.