Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1375: SEJARAH PERMULAAN BINAAN MASJID NABI SAW

PERMULAAN MASJID NABI SAW 2 BARU.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Mufti. Boleh jelaskan bagaimana permulaan binaan masjid Nabi SAW?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Dalam peristiwa hijrah Rasulullah SAW ke Madinah, dicatatkan bahawa Rasulullah SAW telah tiba di Quba' pada 8 Rabiul al-Awwal, tahun ke-14 pengutusan Rasulullah, iaitu tahun pertama Hijrah bersamaan 23 September 622 Masihi. Di sana, Baginda tinggal selama empat hari iaitu Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis. Pada hari kelima iaitu hari Jumaat, dengan perintah dari Allah, Baginda berangkat dengan diikuti oleh Abu Bakar untuk menemui Bani al-Najjar. Mereka adalah bapa saudara Rasulullah dari sebelah ibunya. Selepas solat Jumaat, Baginda bergerak memasuki kota Madinah. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 135)

Pembinaan masjid Nabawi adalah dilakukan di tapak bertepatan dengan tempat unta Baginda berhenti. Tapak masjid tersebut adalah sebidang tanah yang dimiliki oleh dua orang anak yatim.

Ibn Hisyam menceritakan: Ibnu Ishaq berkata, "Unta yang dinaiki oleh Rasulullah SAW berjalan sehinggalah apabila ia melewati perkampungan Bani Malik bin al-Najjar, ia duduk di sebuah tempat pengeringan kurma milik dua anak yatim Bani al-Najjar. Kedua anak yatim tersebut bernama Sahl dan Suhail. Keduanya ialah anak Amr dan berada dalam asuhan Muaz bin Afra'. Ketika unta itu berhenti dan Rasulullah SAW tidak turun daripadanya, unta itu melompat dan kemudian berjalan tidak jauh dari situ. Rasulullah SAW meletakkan kendali unta itu dan beliau tidak membelokkannya. Kemudian unta itu menoleh ke belakang, berjalan kembali ke tempat duduknya semula dan duduk di tempat tersebut. Ketika itulah Rasulullah SAW turun daripadanya. Setelah itu, Abu Ayyub, Khalid bin Zaid membawa bekal perjalanan Rasulullah SAW dan menyimpan di rumahnya. Rasulullah SAW menetap di rumah Abu Ayyub, Khalid bin Zaid. Beliau bertanya tentang pemilik tempat pengeringan kurma tersebut. Muaz bin Afra' berkata kepada beliau, “Wahai Rasulullah, tempat pengeringan tersebut milik Sahl dan Suhail yang keduanya ialah anak Amr. Mereka anak yatim dan masih ada pertalian dengan keluargaku. Saya akan meminta persetujuan mereka dan kemudian dijadikan tempat tersebut sebagai masjid." (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, 3/24)

Syeikh Mustafa al-Siba’ie menyebut: Apabila sampai di sana, tindakan pertama yang dilakukan ialah memilih tempat unta Baginda berhenti duduk, untuk dijadikan sebagai masjid. Tempat tersebut adalah milik dua orang kanak-kanak Ansar yang yatim. Baginda tawar menawar harga tanah tersebut dengan mereka berdua. Kedua-dua kanak-kanak itu berkata: "Kami berikannya kepada kamu, wahai Rasulullah." Namun Baginda berkeras untuk membelinya dengan harga 10 dinar emas yang dibayar menggunakan harta Abu Bakar. Kemudian Baginda melakukan kempen agar orang Islam turut serta membina masjid. Mereka segera melakukannya. Rasulullah SAW turut terlibat bersama mereka memindahkan batu bata, sehinggalah sempurna pembinaan masjid tersebut. (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Mustafa Siba’ie, hlm. 40)

Syeikh al-Mubarakfuri menyebut: Baginda membeli tanah tersebut, dan Baginda sendiri terlibat dalam usaha membinanya. Baginda ikut serta dalam mengangkat batu-batu dan bata-bata sambil menyebut:

اللَّهُمَّ لَا عَيْشَ إِلَّا عَيْشُ الْآخِرَهْ ... فَاغْفِرْ لِلْأَنْصَارِ وَالْمُهَاجِرَهْ

Maksudnya: “Ya Allah! Tiada hidup kecuali kehidupan akhirat. Ampunilah kaum Ansar dan Muhajirah.”

Para sahabat juga begitu bersemangat dalam kerja-kerja mereka, sehingga salah seorang dari mereka bersyair:

لَئِنْ قَعَدْنَا وَالنَّبِيُّ يَعْمَل ... لِذَاكَ مِنَّا العَمَلُ المضَلَّل

                         “Kalau kami duduk berehat sedangkan Nabi bekerja

                                                    Yang demikian tindakan kami adalah perbuatan yang sesat”

Di tapak tersebut terdapat kubur kaum musyrikin, tinggalan rumah usang, pohon tamar dan pohon Gharqad. Justeru, Rasulullah memerintah supaya menggali kubur kaum musyrikin, bangunan yang usang diroboh dan diratakan, pohon tamar dan Gharqad ditebang dan ditetapkan arah kiblat. Kiblat pada masa tersebut adalah ke arah Baitulmaqdis. Tiang mihrab dibina dari susunan batu-batu dan temboknya dari bata-bata dan tanah. Manakala bumbung masjid adalah daripada pelepah tamar. Tiang daripada batang tamar dan lantainya diratakan dengan anak-anak batu dan pasir dengan tiga pintu masuk. Ukuran panjang tidak termasuk mihrab adalah seratus hasta dengan lebar yang lebih kurang sama dengan panjangnya. Di tepi masjid, dibina ruang-ruang rumah. Biliknya dibina dari batu-bata dan atapnya daripada pelepah dan batang tamar. Ruang-ruang ini adalah bilik isteri-isteri Rasulullah SAW. Setelah selesai pembinaan bilik tersebut, barulah Baginda berpindah dari rumah Abu Ayyub. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 137)

 

Lakaran Masjid Nabi SAW

800px-Rekonstruksi_Masjid_Nabawi_1.jpg

Miniatur dari rekonstruksi Masjid Nabawi pada tahun 8 H (629/630 M) sesuai dengan bentuk asal di masa Nabi SAW. Lokasi di pameran Sirah Nabawiyah yang berada di samping kanan Masjid Nabawi.[1]

 

Kesimpulan

Sejarah pembinaan Masjid Nabawi bermula ketika tibanya Baginda Nabi SAW ke Madinah. Baginda Nabi SAW sendiri terlibat secara langsung dalam menyiapkan pembinaan masjid tersebut bersama sahabat-sahabat Baginda dari golongan Ansar dan Muhajirin.

Masjid yang dibina itu bukan hanya sekadar untuk menunaikan sembahyang semata-mata, bahkan ia adalah "Jami’ah". Di situlah kaum muslimin bertemu untuk menerima ajaran Islam dan perintahnya yang suci. Ianya menjadi tempat pertemuan seluruh etnik dan kabilah yang pelbagai. Ia menjadi tempat bertemu dan bermesra di mana dahulunya berkelahian lantaran semangat Jahiliyah. Masjid juga menjadi pengkalan dalam menyusun dan melancarkan seluruh pergerakan dan tindakan. Ianya parlimen untuk sidang permesyuaratan, perundangan dan penguasaan undang-undang. Di samping itu semua, masjid juga merupakan penumpuan untuk sebilangan besar dari kaum muhajirin yang fakir berlindung di dalamnya, yang ketiadaan rumah, harta, keluarga mahupun anak-anak. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 137)

yMasjid dalam tradisi keagungan pada zaman silam telah memainkan fungsi yang pelbagai termasuklah sebagai pusat penyebaran ilmu dan kefahaman agama, penyampaian maklumat serta aktiviti kebudayaan. Begitu juga masjid turut menjadi tempat pembinaan kepakaran dalam pendidikan serta dalam menampung aktiviti dan operasi ketenteraan dari sudut penyediaan modal. Ia turut memainkan fungsi sebagai medan berlangsungnya upacara pengangkatan khalifah dan penerimaan baiah. (Lihat al-Masjid al-Nabawi bi al-Madinah al-Munawwarah wa Rusumuh fi al-Fann al-Islami, hlm. 140-147)

Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan setiap titah perintah-Nya. Amin.

__________________________

Nota Hujung:

[1] Sumber: https://id.wikipedia.org/wiki/Berkas:Rekonstruksi_Masjid_Nabawi_1.jpg dari http://www.facebook.com/moslem.channel/posts/10152362825145680 oleh Aan Chandra Thalib