Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1393 : TATACARA SOLAT WITIR YANG AFDHAL

AK1393

Soalan:

Assalamu’alaikum tuan Mufti, saya ingin bertanya tentang tatacara solat witir yang manakah lebih afdhal untuk dilakukan. Adakah secara tiga rakaat satu salam atau tiga rakaat dua salam ?

Jawapan:

Wa’alaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Kalimah witir atau sebutannya وَتْر / وِتْر  watru dan witru dari sudut bahasanya membawa maksud tunggal (bilangan yang ganjil) iaitu kalimah yang berlawanan dengan syafa’ (genap). Dari sudut istilah pula, witir bermaksud: ‘’Solat tertentu yang dilakukan pada waktu yang tertentu yang menutup solat-solat malam, sama ada ia dilakukan pada awal malam, pertengahan, atau pengakhiran malam’’. Bilangan rakaatnya adalah bilangan yang ganjil dan disebabkan itulah ia dinamakan sebagai witir.

Solat witir merupakan antara ibadah yang sangat digalakkan kepada setiap umat Islam. Ini dapat dilihat berdasarkan beberapa riwayat yang menceritakan tentang anjuran dan galakan melakukan solat ini. Antaranya berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata:

أَوْصَانِي خَلِيلِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلاَثٍ: صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَيِ الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ

Maksudnya: Kekasihku (Rasulullah S.A.W) berwasiat kepadaku supaya melakukan tiga perkara iaitu: Berpuasa tiga hari pada setiap bulan, dua rakaat Dhuha dan melakukan solat witir sebelum tidur.

Riwayat Al-Bukhari (1981)

Begitu juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

اجْعَلُوا آخِرَ صَلاَتِكُمْ بِاللَّيْلِ وِتْرًا

Maksudnya: Jadikanlah solat witir sebagai solat terakhir kamu pada waktu malam.

Riwayat Al-Bukhari (998)

Berkenaan dengan kaifiat atau tatacara mengerjakan solat witir pula, berikut merupakan beberapa cara yang disebutkan oleh para ulama berkaitan perlaksanaan solat witir:

Pertama: Solat witir satu rakaat.

Di sisi majoriti ulama, adalah dibolehkan untuk seseorang itu menunaikan solat witir sebanyak satu rakaat sahaja. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

الْوِتْرُ رَكْعَةٌ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ

Maksudnya: Witir adalah satu rakaat di akhir malam (penutup solat malam).‏

Riwayat Muslim (752)

Kami menyatakan bahawa sekurang-kurang solat witir adalah sebanyak satu rakaat, tetapi makruh melakukannya satu rakaat sahaja. Sekurang-kurang sempurna solat witir ialah tiga rakaat, iaitu melakukannya secara dua rakaat bersambung dan satu rakaat lagi berasingan. Sementara yang paling sempurna adalah melakukannya sebanyak sebelas rakaat dengan mengucap salam selepas setiap dua rakaat dan diakhiri dengan satu rakaat.

Perbahasan lanjut berkenaan isu ini telah kami kupas menerusi pautan berikut https://bit.ly/31YB3Kk

Kedua: Solat witir sebanyak tiga rakaat.

Dalam kategori ini, solat witir tiga rakaat boleh dilakukan dengan dua cara berikut:

  • Solat tiga rakaat witir dengan satu salam.

Cara seperti ini turut menepati sunnah Nabi S.A.W. Yang membezakan di antara solat tiga rakaat witir dengan satu salam dengan solat maghrib adalah bilangan tasyahhud di dalamnya. Solat tiga rakaat witir dengan satu salam ini cuma mempunyai satu tasyahhud, manakala solat maghrib adalah sebanyak tiga rakaat dan dua tasyahhud.

  • Solat dua rakaat kemudian beri salam. Kemudian diikuti dengan solat satu rakaat sesudahnya.

Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Umar R.anhuma beliau berkata:

كَانَ يُسَلِّمُ بَيْنَ الرَّكْعَةِ وَالرَّكْعَتَيْنِ فِي الْوِتْرِ، حَتَّى يَأْمُرَ بِبَعْضِ حَاجَتِهِ‏

Maksudnya: Baginda S.A.W memberikan salam di antara satu rakaat dan dua rakaat ketika solat witir, sehingga baginda mengarahkan kepada sebahagian keperluannya.‏

Riwayat Al-Bukhari (991)

Begitu juga sebuah riwayat yang juga daripada Ibn Umar beliau berkata:

أنَّهُ صَلَّى الله عليه وسلم كَانَ يفصلُ بَينَ الشَّفَعِ وَالوِتْر

Maksudnya: Sesungguhnya baginda S.A.W pernah memisahkan di antara solat syafa’ dan juga witir.

Riwayat Ahmad (2/76)

Bagi menjawab persoalan tentang tatacara yang lebih utama (afdhal) di antara tiga rakaat satu salam atau tiga rakaat dua salam, maka kami kongsikan kaedah fekah yang berikut:

ما كان أكثر فعلا كان أكثر فضلا

Maksudnya: Lebih banyak sesuatu perbuatan, lebih banyak fadhilatnya (kelebihan).

Kaedah ini menjelaskan bahawa sesuatu perbuatan dan amalan itu akan mendapat ganjaran dan fadhilat yang lebih bergantung kepada kadar usaha atau nilaian yang besar. Kaedah ini diambil berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada A’isyah R.Anha bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

وَلَكِنَّهَا عَلَى قَدْرِ نَصَبِكِ - أَوْ قَالَ - نَفَقَتِكِ

Maksudnya: Akan tetapi ia (ganjaran) adalah mengikut kadar usaha kamu - atau belanja (yang kamu keluarkan).

Riwayat Muslim (1211)

Imam Al-Nawawi Rahimahullah dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata:

هَذَا ظَاهِرٌ فِي أَنَّ الثَّوَابَ وَالْفَضْلَ فِي الْعِبَادَةِ يَكْثُرُ بِكَثْرَةِ النَّصَبِ وَالنَّفَقَةِ وَالْمُرَادُ النَّصَبُ الَّذِي لَا يَذُمُّهُ الشَّرْعُ وَكَذَا النَّفَقَةُ

Maksudnya: Ini adalah jelas dalam menunjukkan bahawa pahala dan fadhilat dalam ibadah akan lebih banyak dengan banyaknya usaha dan belanja. Dan yang dimaksudkan dengan usaha dan belanja adalah yang tidak dicela oleh syarak. Rujuk Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (8/153).

Begitu juga kata Imam Al-Zarkasyi yang menyebut: ‘’Suatu amalan itu selagi mana ia banyak dan berat maka ia lebih afdhal berbanding yang tidak sedemikian’’. Rujuk Al-Mantsur fil Qawa’id, Al-Zarkasyi (2/415).

Oleh itu para ulama menyatakan bahawa beberapa amalan berikut adalah sebagai contoh bagi kaedah di atas seperti solat sunat yang dilakukan secara duduk tanpa sebarang keuzuran mendapat separuh ganjaran berbanding solat sunat yang dilakukan secara berdiri. Begitu juga sedekah orang yang berkemampuan dengan jumlah RM 10 lebih afdhal berbanding RM 1.

Kata Imam Al-Suyuthi Rahimahullah: ‘’Oleh yang demikian, memisahkan solat witir adalah lebih afdhal berbanding menyambungkannya (melakukan dengan satu salam).’’ Rujuk Al-Asybah wal-Nazhair, Al-Suyuthi (Hlm. 271).

Penutup

Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa solat witir yang dilakukan secara tiga rakaat dua salam adalah lebih afdhal berbanding solat witir yang dilakukan secara tiga rakaat satu salam. Ini kerana berlakunya pertambahan niat, pertambahan takbir, dan juga salam.

Akhir kalam, semoga pencerahan ini memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.