Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1479: BOLEHKAH PENGANTIN BERWUDUK DENGAN MAZHAB YANG LAIN KETIKA MAJLIS PERKAHWINAN

ak1479

Saya sering menjaga wudu' sepanjang waktu dan saya bakal berkahwin tak lama lagi. Jadi bagaimana saya boleh menjaga wudu' kerana bersentuhan dengan isteri adalah perkara yang membatalkan. Atau boleh ke saya mengamalkan mazhab lain dalam hal ini?

Jawapan

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama’ berkenaan dengan penukaran mazhab ke mazhab yang lain. Oleh itu, sebaiknya melihat beberapa perbahasan berkenaan istilah yang digunapakai di dalam permasalahan ini.

Taklid

Berpegang (Taqlid) Orang Awam Dengan Mazhab Tertentu

Para Fuqaha’ berbeza pendapat berkenaan dengan taqlid orang awam dengan satu mazhab yang khusus. Dr Wahbah Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan perbezaan pendapat berkenaan dengannya:

  • Sebahagian fuqaha’ berpendapat diwajibkan berpegang dengan Imam mazhab yang tertentu. Ini kerana berpegang dengannya adalah satu kebenaran
  • Selainnya berpendapat, tidak wajib berpegang kepada pendapat Imam Mazhab tertentu pada setiap permasalahan. Bahkan diharuskan berpegang dengan mana-mana Imam Mujtahid yang dikehendakinya. Begitu juga diharuskan untuk berpindah mazhab kepada mazhab yang lain di dalam sesuatu amalan. Ini kerana Allah SWT tidak mewajibkan untuk berpegang kepada Mazhab tertentu.

Dalam permasalahan ini, orang awam yang berpegang di dalam satu mazhab tertentu kemudian menukar kepada pandangan mazhab yang lain di dalam sesuatu perkara. Para ulama berbeza pandangan berkenaan dengannya. Sebahagian pendapat tidak mengharuskannya secara mutlak, sebahagian mengharuskannya secara mutlak dan sebahagian mengharuskannya dengan penelitian yang terperinci mengikut sesuatu permasalahan.

Oleh itu, mengikut pendapat yang asoh ialah diharuskan bebeza mazhab yang dipegangnya dengan mengambil pendapat mazhab yang lain.

(Lihat: Usul al-Fiqh al-Islami, 1/1138-1139)

Selain itu, orang awam itu sentiasa berpegang dengan mazhab selagimana ia belum mencapai tahap mujtahid untuk mengeluarkan sesuatu hukum serta bertoleransi dengan dalil. Ini sepertimana yang dimaksudkan oleh Dr. Ramadhan al-Buti di dalam kitabnya:

أن يقلد العامي أو من لم يبلغ رتبة الاجتهاد مذهب إمام مجتهد سواء التزم واحدًا بعينه أو عاش يتحول من واحد إلى آخر

Maksudnya: Sesungguhnya bertaqlid orang awam itu atau sesiapa yang belum mampu untuk berijtihad kepada mazhab imam Mujtahid sama ada berpegang satu mazhab yang tertentu atau ia hidup dengan berpindah daripada satu ke satu mazhab yang lain.

(Lihat: al-lamazhahabiah, 17)

Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah menyatakan bahawa jumhur ulama’ usul menyatakan harus bertaqlid bagi seseorang bahkan wajib bertaqlid bagi orang awam. Ini kerana para Imam Mujtahid mungkin pandangannya betul atau salah, dan sekiranya pandangannya salah bukan menjadi satu dosa kepadanya. (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 13/160)

Mejoriti para ulama berpendapat taqlid adalah wajib bagi orang awam. Ini seperti yang dikatakan oleh Ibn Abd al-Bar: Orang awam perlulah bertaqlid kepada para ulama mereka terhadap sesuatu perkara yang berlaku pada diri mereka. Ini kerana para ulama lebih jelas tentang hujah (dalil) dan hujah juga tidak sampai kepada mereka disebabkan tiada ilmu akan hal tersebut. (Lihat: Sifat al-Mufti wa al-Mustafti terjemahan PMWP, 205)

Talfiq Mazhab

Talfiq merupakan campur aduk pandangan imam mujtahid di dalam sesuatu perkara. Ini sepertimana yang dinyatakan oleh Dr. Wahbah Zuhaili di dalam kitabnya:

“Melakukan sesuatu perkara yang tidak disebut oleh Mujtahid. Iaitu melakukan satu amalan dengan mengikut mazhab, kemudian dalam sesuatu keadaan ia mengambil salah satu daripada satu rukun atau sebahagian daripada dua pendapat atau lebih. Sehingga mencapai satu perkara (amalan) yang tidak dipersetujui oleh para Imam Mujtahid”. (Lihat: Usul al-Fiqh al-Islami, 1/1143)

Selain itu, di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah menyatakan berkenaan dengan talfiq iaitu “Mencampurkan riwayat-riwayat yang berbeza ke dalam satu permasalahan hukum” (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 13/286)

Dan yang dimaksudkan dengan Talfiq di antara pelbagai mazhab iaitu “Mengambil perkara yang sah dalam sesuatu perbuatan dengan mengikut dua mazhab yang berbeza dan menggabungkan perkara yang membatalkannya dalam satu permasalahan hukum”. (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 13/294)

Ini seperti contoh yang didatangkan oleh Dr. Wahbah Zuhaili di dalam kitabnya, seseorang berpegang dengan mazhab Syafi’e dalam menyapu sebahagian daripada kepala ketika berwuduk, kemudian dalam masa yang sama berpegang dengan mazhab Hanafi atau Maliki dalam perkara tidak membatalkan wuduk ketika bersentuhan dengan wanita ajnabi lalu ia melakukan solat. Perkara ini, para Imam Mujtahid tidak memperakui wuduknya. Ini kerana Imam Syafi’e berpendapat batalnya wuduk dengan menyentuh wanita ajnabi dan Imam Hanafi berpendapat tidak sah wuduk seseorang dengan tidak menyapu satu perempat daripada kepala.

(Lihat: Usul al-Fiqh al- Islami, 1/1143)

Dr. Wahbah Zuhaili menyimpulkan di dalam kitabnya, terdapat perincian dalam pengamalan talfiq mazhab sama ada ia dibolehkan atau tidak dibahagikan kepada beberapa keadaan:

  • Setiap perkara yang membawa kepada penterjemahkan nas dan undang-undang syariah bertujuan politik dan kepentingan seseorang maka ia adalah dilarang khususnya untuk melakukan helah.
  • Setiap perkara yang berkepentingan dengan politik di atas matlamat membantu masyarakat pada sesuatu tempat dengan memudahkan urusan ibadah dan muamalat dalam perkara ijtihad maka ia diharuskan bahkan dituntut.

Talfiq yang diharuskan ialah kerana keperluan dan darurat. Bukanlah bertujuan untuk perkara yang sia-sia dan bermudah-mudahan tanpa kepentingan syariah. Dan talfiq ini hanyalah dibolehkan untuk sesetengah hukum di dalam perkara ibadah dan muamalat yang ijtihad imam sahaja bukan dalam perkara yang qati’e.

(Lihat: Usul al-Fiqh al- Islami, 1152)

Tatabu’ al-Rukhas

Seseorang yang mengambil pandangan mana-mana mazhab untuk memudahkannya mengikut hawa nafsu. Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya bahawa Tatabu’ al-Rukhas iaitu seseorang itu mengambil pandangan daripada beberapa mazhab bersandarkan keinginannya dan kemudahannya apabila timbul sesuatu permasalahan.

Ibnu Abdul Bar menyatakan ijma’ para ulama’ berpendapat tidak harus bagi orang awan untuk mengamalkan tatabu’ al-rukhas

Izz bin Abd al-Salam berpendapat bagi orang awam dibenarkan beramal dengan amalan yang mudah bagi setiap mazhab. Dan sesiapa yang meingkarinya maka ia seorang yang jahil, ini kerana mengambil sesuatu yang mudah itu adalah perkara yang disukai dan agama Allah SWT adalah mudah seperti mana Firman Allah SWT:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Maksudnya: dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara ugama

(Surah al-Hajj, 78)

(Lihat: Usul al-Fiqh al-Islami, 1/1153-1155)

Para ulama berbeza pandangan di dalam hal ini kepada beberapa pendapat iaitu:

  • Dibolehkan mengikut sebahagian ulama’ muta’akhirin, ini kerana mengambil rukhsah (keringanan) terdapat kepadanya kesenangan dan kemudahan. Ini menunjukkan keharusan orang awam untuk mengikut keringanan bagi mazhab tertentu. Dan mengambil rukhsan merupakan sifat lemah lembut Allah SWT kepada hambanya.
  • Dan sebahagian ulama’ yang lain berpendapat tidak dibolehkan. Ini merupakan kecenderungan mengikut hawa nafsu dan hal ini dilarang syara’. Seperti menyeleweng dengan meninggalkan dalil untuk mengikut perkara yang khilaf. Dan hal ini dianggap sebagai merendah-rendahkan agama dengan meninggalkan dalil yang diketahuinya kepada sesuatu yang tidak diketahui.

Contoh yang lain dalam tatabu’ al-rukhas seperti seseorang berkahwin tanpa ada wali, mahar dan saksi. Pernikahan yang tidak terdapat ketiga-tiganya ini tidak sah disisi para ulama mazhab.

(Lihat: Al-mufti wa al-Mustafti terjemahan PMWP 208)

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa perkara tersebut perlu diberi perhatian sebelum mengambil pandangan mazhab yang lain:

  • Mestilah mengetahui secara menyeluruh tentang amalan yang hendak diambilnya itu dari segi rukun dan syarat sah dan batalnya secara terperinci bagi mengelak berlakunya talfiq atau percampuran di antara mazhab yang dilarang.
  • Bukan bertujuan untuk tatabu’ al-rukhas dengan mengambil pendapat yang mudah tanpa melalui proses pentarjihan yang syari’e dan mengikut hawa nafsu.

Boleh lihat dalam artikel AL-KAFI #474: MENGGABUNGKAN BEBERAPA MAZHAB DALAM SATU JENIS IBADAH

Oleh itu, di dalam isu ini kami menyimpulkan bahawa orang awam wajib bertaqlid dengan imam mazhab yang di amalkannya seperti pengamalan berwuduk dalam mazhab syafi’e yang diamalkan seperti biasa. Ini disebabkan supaya lebih berhati-hati dalam mengamalkan sesuatu permasalahan dan mengelakkan diri daripada perkara yang menjerumus ke arah mengikut hawa nafsu serta percampuran mazhab yang dilarang.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agamaNya serta taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syari’atNya dengan sebaiknya.