Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1484 : HUKUM IMAM MEMBACA AL-FATIHAH SECARA SIRR DALAM SOLAT JAHRIYYAH KERANA TERLUPA

AK1484.png

 

SOALAN

Assalamualaikum Dato’ Seri Mufti. Saya ingin bertanya, apakah hukum imam terlupa untuk membaca al-Fatihah secara jahar pada solat Isyak dengan membacanya secara sirr? Adakah imam perlu untuk mengulangnya semula atau menyambung sahaja surah al-Fatihah tersebut?

Mohon penjelasan Tuan Mufti. Terima kasih.

JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Membaca surah al-Fatihah pada setiap rakaat merupakan salah satu daripada rukun solat. Barangsiapa yang tidak membaca surah al-Fatihah pada mana-mana rakaat, maka tidak sah solatnya berdasarkan satu hadith bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا صَلَاةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya: Tidak ada solat bagi orang yang tidak membaca al-Fatihah.

Riwayat al-Bukhari (756) dan Muslim (900)

Membaca al-Fatihah termasuk dalam lima rukun qauli yang wajib dibaca oleh seseorang yang mendirikan solat, seperti yang disebutkan di dalam banyak kitab fiqh, antaranya:

القَوْلِيَّة، وَهِيَ خَمْسَةٌ: تَكْبِيرَةُ الإِحْرَام أَوَّلُ الصَّلَاة، وَقراءة الفاتحةِ فِي كُلِّ رَكْعَةٍ وَقِرَاءَةُ التَشَهُّد وَالصَّلَاةُ عَلَى النَّبِي والسَّلامً آخِر الصَّلاة، ثلاثتها فِي القَعدةِ الأَخِيرَةِ

Maksudnya: (Rukun) Qauliah, mempunyai lima: Takbiratul Ihram pada awal solat, membaca surah al-Fatihah pada setiap rakaat, tasyahud dan selawat ke atas Nabi SAW serta salam, ketiga-tiganya pada duduk yang terakhir. (Rujuk Safinat al-Solah: 44)

Selain itu, solat dari sudut kekuatan bacaannya dibahagikan kepada dua, iaitu:

  1. Solat yang dibaca surahnya dengan suara yang kuat (solat jahriah), iaitu solat Subuh, Maghrib dan Isyak serta solat Jumaat.
  2. Dan solat yang dibaca surahnya dengan suara yang perlahan (solat sirriyyah) iaitu solat Zohor dan Asar.

Jika diperhatikan pada rukun solat tersebut, rukun membaca al-Fatihah tidak diikat (qoid) sama ada dibaca secara perlahan (sirr) ataupun kuat (jahar). Justeru, ia tidak menjejaskan sahnya solat jika seseorang itu membacanya secara sirr pada solat jahriyyah atau sebaliknya, walaupun dalam keadaan menjadi imam, kerana ia bukan rukun solat.

Adapun al-jahr wa al-israr (meninggikan dan memperlahankan suara), ia termasuk dalam perbuatan sunat haiah. Dalam hal ini, Imam al-Nawawi menjelaskannya dengan berkata:

فالسنة الجهر في ركعتي الصبح والمغرب والعشاء ، وفي صلاة الجمعة ، والإسرار في الظهر والعصر ، وثالثة المغرب والثالثة والرابعة من العشاء وهذا كله بإجماع المسلمين مع الأحاديث الصحيحة المتظاهرة على ذلك

Maksudnya: Disunatkan untuk meninggikan suara pada dua rakaat terawal solat Subuh, Maghrib, Isyak dan solat Jumaat. Manakala, sunat untuk memperlahankan suara bagi solat Zohor dan Asar serta rakaat ketiga dan keempat solat Maghrib dan Isyak. Hal ini berdasarkan ijma’ para ulama’ dan juga hadith-hadith yang sahih yang menunjukkan kepada perkara tersebut. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3:344)

Justeru, meninggalkan al-jahr dan al-israr (الجهر و الإسرار) tidak menjejaskan sahnya solat dan tidak perlu untuk sujud sahwi sama ada secara sengaja atau terlupa.

Oleh itu, jika sekiranya imam terlupa membaca secara jahar dalam keadaan masih di awal surah dan sebelum rukuk, maka hendaklah dia mengulanginya bacaannya kembali. Namun, jika sekiranya imam sudah tunduk untuk rukuk, maka tidak perlu untuk mengulanginya kembali. Hal ini seperti yang disebut di dalam kitab Hasyiah al-‘Adawiy ala’ syarh al-Khurasyi:

قَوْلُهُ: وَتَذَكَّرَ ذَلِكَ قَبْلَ الانْحِنَاء قَيَّدَ بِذَلِكَ؛ لِأَنَّهُ إِنَّمَا يُعِيدُ القِرَاءَةَ لِتَحْصِيلِ السِرِّ، أَو الجَهْر، إِذَا كَانَ قَبْلَ الانْحِنَاء. فَإِن انْحَنَى، فَاتَ

Maksudnya: Kata shaykh: “Seseorang imam tersebut teringat sebelum dia tunduk untuk rukuk.” Shaykh meletakkan qoid berikut kerana apabila imam mengulanginya kembali sebelum tunduk untuk rukuk, maka dia mendapatkan bacaan yang afdhal sama ada secara sirr atau jahar. Namun jika sekiranya imam sudah tunduk untuk rukuk, maka dia sudah terlepas perkara tersebut. (Rujuk Hasyiah al-‘Adawiy ala’ syarh al-Khurasyi, 2:34)

Disamping itu juga, disunatkan untuk membaca secara jahar dalam solat jahriyyah walaupun mendirikan solat secara bersendirian. Imam al-Nawawi menambah:

وأما المنفرد فيسن له الجهر عندنا وعند الجمهور

Maksudnya: Adapun jika solat secara bersendirian, maka disunatkan juga baginya untuk membaca secara jahar di sisi mazhab Syafie dan jumhur ulama’. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3:344)

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa membaca surah al-Fatihah merupakan rukun solat yang jika sekiranya tertinggalnya maka batal-lah solat tersebut. Namun, jika imam hanya terlupa membacanya dengan suara yang kuat (jahar) dalam solat jahriyyah, ia tidak menjejaskan sahnya solat tersebut.

Hal ini kerana hukum membaca sirr atau jahar hanya sunat dan cara yang afdhal sahaja. Oleh itu, jika sekiranya imam terlupa ketika di awal surah dan belum tunduk untuk rukuk, maka hendaklah dia mengulanginya semula. Namun, jika imam sudah tunduk untuk rukuk, maka tidak perlu untuk bangkit mengulanginya kembali kerana dia sudah terlepas perkara tersebut dan dalam keadaan ini solatnya masih juga sah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agamaNya serta taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syari’atNya dengan sebaiknya. Amin.

WaAllahu a’lam.