Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

 

solat

Soalan:

Assalammualaikum. Saya solat subuh pada jam 8 pagi kerana jarak tempat kerja dari rumah ialah 153km. Saya bertolak dari rumah sebelum azan subuh. Sekiranya saya solat subuh di pertengahan jalan saya akan lewat masuk kerja dan kuatir rezeki tidak berkat kerana menipu punch card. Bagaimana solat saya pada jam 8 pagi di tempat kerja.adakah saya perlu qadha atau niat seperti solat subuh biasa, saya tiada masalah sekiranya menaiki kereta tetapi masalah akan terjadi bila menaiki motosikal.

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Sebagai mukadimah, kami kemukakan dalil kewajipan menunaikan solat bagi semua orang Islam yang berakal, baligh dan dalam keadaan suci (bukan haid).

Firman Allah ﷻ:

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ

Maksudnya“Dan dirikanlah kamu akan sembahyang

(Surah al-Baqarah: 43)

Firman-Nya lagi:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا

Maksudnya: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”

(Surah al-Nisa: 103)

Seterusnya, hadis berkenaan dengan qadha solat, daripada Anas bin Malik RA, Nabi SAW bersabda:      

مَنْ نَسِيَ صَلَاةً أَوْ نَامَ عَنْهَا، فَكَفَّارَتُهَا أَنْ يُصَلِّيَهَا إِذَا ذَكَرَهَا
Maksudnya: “Sesiapa yang terlupa menunaikan solat atau tertidur daripada mengerjakan solat, maka kaffarahnya hendaklah ia menunaikan solat apabila ia mengingatinya.”

                                                                              [Riwayat al-Bukhari (597) dan Muslim (684)]

 

Para ulama meletakkan beberapa keadaan seseorang itu tidak berdosa melewatkan solat sehingga melepasi waktunya, antaranya:

  • Tidur, jika tidur sebelum waktu solat.
  • Lupa
  • Jamak solat.
  • Paksaan
  • Takut terlepas waktu wuquf di Arafah.
  • Menyelamatkan perkara yang dimuliakan syarak daripada rosak dan binasa.    

       [Rujuk Taqrirat al-Sadidah ( 190-191)]

Seterusnya, bacaan lanjut boleh rujuk artikel kami pada ruangan tahqiq masail: hukum qadha bagi seseorang meninggalkan solat dengan sengaja.

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat qadha solat disebabkan khuatir terlambat masuk waktu kerja tidak termasuk dalam alasan yang diterima syarak. Hal ini kerana solat merupakan hak Allah yang wajib ditunaikan pada waktunya tanpa mengambilkira apa jua keadaan. Manakala pekerjaan adalah berkaitan hak (tanggungjawab) kepada diri sendiri dan keluarga. Namun, apabila berlaku pertembungan antara hak Allah dan hak makhluk, maka hak Allah wajib diutamakan. Sabda Rasullullah ﷺ:

إنَّ لِرَبِّكَ عَلَيْكَ حَقًّا، ولِنَفْسِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، ولِأَهْلِكَ عَلَيْكَ حَقًّا

Maksudnya : “Sesungguhnya untuk Tuhan kamu terdapatnya hak, dan untuk diri kamu terdapatnya hak, dan untuk keluarga kamu terdapatnya hak

     ( Riwayat al-Bukhari no 6139 )

Sehubungan itu, kami mengesyorkan beberapa cadangan :

  • Sekiranya waktu bekerja fleksibel, boleh dilambatkan waktu balik bagi menggantikan waktu masuk yang terlambat.
  • Merancang waktu perjalanan dengan bertolak pada awal waktu pagi kerana menaiki kenderaan sendiri dan boleh berhenti menunaikan solat subuh.
  • Sekiranya waktu terhad, boleh solat bersendirian dan memendekkan bacaan dalam solat dengan memilih surah-surah lazim disamping menyempurnakan rukun qauli dan fi’li.

Secara tuntasnya, melambatkan waktu solat sehingga habis waktu bukan pada situasi yang mendesak adalah tidak dibenarkan . Akhir kata, semoga Allah SWT menerima amalan kita serta memberikan taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syari’atNya dengan sebaiknya,