Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

ak1546

Soalan

Assalamualaikum Dato. Saya inging bertaya berkenaan solat. Sewaktu melakukan solat saya tidak pasti air mazi saya keluar ataupun tidak. Kemudian selepas solat saya lihat terdapat beberapa kesan pada kain sembahyang saya. Adakah sah solat saya sebelum itu atau saya kena qada solat tersebut.

Jawapan

Waalaikumsalam. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Air mazi menurut istilah fiqh adalah air jernih yang melekit keluar ketika timbulnya syahwat (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhyyah al-Kuwaitiyyah, 36/315). Imam al-Nawawi di dalam kitabnya menyatakan perbezaan antara mani dan mazi adalah, air mani keluar ketika kemuncak syahwat serta mengakibatkan kepenatan. Adapun mazi keluar ketika bersyahwat tidak mengakibatkan kepenatan. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/141)

Mazi termasuk di dalam kategori najis Mutawassithoh (sederhana), ia perlu dihilangkan ain (bau, rasa dan warna) serta menyucikannya menggunakan air mutlak. Keluar mazi merupakan perkara yang membatalkan wuduk dan tidak perlu kepada mandi. Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali RA katanya:

كُنْتُ رَجُلاً مَذَّاءً فَاسْتَحْيَيْتُ أَنْ أَسْأَلَ النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَمَرْتُ الْمِقْدَادَ بن الأسود فَسَأَلَهُ فَقَالَ: فِيهِ الْوُضُوءُ، وَلِمُسْلِمٍ: يَغْسِلُ ذَكَرَهُ وَيَتَوَضَّأُ

Maksudnya: “Aku seorang yang selalu keluar mazi dan aku berasa malu untuk bertanya kepada Rasulullah SAW. Aku menyuruh Miqdad bin al-Aswad menanyakannya. Baginda menjawab: Dia hendaklah berwudhu’. Dalam riwayat Muslim: Dia hendaklah membasuh zakarnya dan berwudhu’.”

Riwayat al-Bukhari (176) dan Muslim (303)

Selain itu, di dalam hal ini terdapat perbezaan di antara air mazi, wadi dan mani. Untu keterangan yang lebih lanjut boleh rujuk artikel yang bertajuk AL-KAFI #357: PERBEZAAN AIR MANI, MAZI DAN WADI

Perkara yang membatalkan Solat

Perkara yang membatalkan solat adalah tidak suci daripada hadas seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Sabda Nabi SAW:

لاَ يَقْبَلُ اللَّهُ صَلاَةَ أَحَدِكُمْ إِذَا أَحْدَثَ حَتَّى يَتَوَضَّأَ

Maksudnya: Tidak diterima Allah SWT akan solat seseorang itu apabila ia berhadas sehingga ia berwuduk.

Riwayat al-Bukhari (6954)

Imam al-Nawawi menyatakan “Sesuatu yang keluar daripada qubul dan dubur adalah perkara yang membatalkan wuduk. Sama ada najis, kencing, angin, ulat, muntah darah batu-batu dan lain-lain dan ini tidak dibezakan antara jarang berlaku atau kebiasaannya. (Lihat al-Majmu’ syarh al-Muhazzab, 2/4)

Selain itu, perkara yang membatalkan solat adalah berhadas sebelum memberi salam yang pertama. Ini seperti yang diterangkan di dalam al-Fiqh al-Manhaji bahawa tidak ada perbezaan sekiranya ia berhadas secara sengaja atau terlupa, ini kerana hilangnya salah satu daripada syarat solat iaitu bersuci daripada hadas sebelum sempurna daripada melakukan setiap rukun solat. Adapun sekiranya berhadas selepas memberi salam yang pertama sebelum salam yang kedua maka sah solatnya. Ini merupakan ijma’ para fuqha’. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/169)

Syarat Sah Solat

Di dalam perkara ini, Dr Muhammad Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya di antaranya adalah: Meninggalkan salah satu daripada syarat solat. Seperti bersuci daripada hadas, suci daripada najis pada pakaian, menghadap kiblat, menutup aurat dan masuknya waktu solat. Dan apabila hilang salah satu daripada syarat ini maka batallah solatnya. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 1/333)

Begitu juga disyaratkan supaya suci badan, tempat solat dan pakaian seseorang itu darupada segala najis. Firman Allah SWT:

وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ

Maksudnya: Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.

(Surah Al-Muddatthir: 4)

Sheikh Abdurrahman Al-Sa’di di dalam tafsirnya bahawa yang dimaksudkan juga di dalam ayat tersebut ialah membersihkan pakaian daripada najis. Ini kerana ianya merupakan salah satu kesempurnaan amalan khususnya di dalam solat. Oleh sebab itu diperintahkan untuk membersihkan pakaian daripada segala jenis najis pada setiap waktu khususnya waktu solat.

(Lihat Taysir Al-Karim Al-Rahman Fi Tafsir Al-Kalam Al-Mannan, 2/132)

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan di atas dan berdasarkan perbahasan yang diberikan, dapat kami simpulkan sini kepada beberapa keadaan:

  • Sekiranya semasa melakukan solat terdapat tanda-tanda keluarnya mazi seperti dapat merasakan sesuatu yang keluar daripada kemaluannya serta terdapat kesan basah pada pakaiannya, maka perkara itu membatalkan solat dan wajib untuk mengulanginya.
  • Begitu juga, sekiranya telah sempurna solatnya kemudian terdapat kesan mazi pada pakaiannya, maka ia wajib mengulangi solat semula. Ini kerana terdapat najis pada pakaian dan bersuci daripada najis merupakan syarat sah solat. Oleh itu, ia harus menyucikan kesan najis tersebut sekiranya hendak menggunakan pakaian itu semula di dalam solat.

Selain itu, boleh juga rujuk artikel kami yang bertajuk:

  • IRSYAD AL-FATWA SIRI KE 285: HUKUM GUNA PAKAIAN TIDUR UNTUK SOLAT
  • AL-KAFI #1501: TIDAK PERASAN ADA TOMPOKAN DARAH SEMASA MENUNAIKAN SOLAT
  • AL-KAFI #751: HUKUM PERCIKAN AIR KENCING

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agamaNya serta taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syari’atNya dengan sebaiknya.