Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

AK1592

Soalan:

Assalamualaikum W.B.T. Saya nak tanya, apakah hukum sujud di atas benda tajam seperti batu atau selainnya? Kebiasaannya kita akan terangkat kepala dan sujud di tempat yang lain pula. Bukankah mengangkat kepala ketika sujud boleh membatalkan sembahyang?

Jawapan:

Waalaikumussalam W.B.T. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam  kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah  baginda sehingga hari kiamat.

Sujud merupakan suatu perbuatan yang hanya dikhususkan untuk perbuatan ibadah kepada Allah S.W.T sahaja. Justeru, di dalam al-Quran kerap digunakan lafaz sujud dengan makna solat. Firman Allah S.W.T:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ارْكَعُوا وَاسْجُدُوا وَاعْبُدُوا رَبَّكُمْ وَافْعَلُوا الْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Tuhanmu dan perbuatlah kebajikan, supaya kamu mendapat kemenangan”.

(Surah al-Hajj: 77)

Definisi Sujud

Sujud dari segi bahasa ialah cenderung atau merendah diri. Manakala dari segi istilah pula ialah suatu perbuatan mengenakan sebahagian dahinya pada tempat sujud. (Rujuk: Nihayah al-Muhtaj, 1/509)

Sujud adalah merupakan salah satu dari rukun fi’li (Perbuatan) daripada rukun-rukun dalam solat. Bagi setiap rukun-rukun tersebut, terdapat syarat-syarat sahnya yang tersendiri. Berkenaan rukun sujud, kami membawakan beberapa hadis nabi S.A.W yang menjadi istidlal mazhab Syafi’ie. Antaranya ialah:

إذا سجدت فمكن جبهتك ولا تنقر نقرا

Maksudnya: “Apabila kamu sujud, tetapkanlah dahi kamu dan jangan lakukannya terlalu laju”.

Riwayat Ibnu Hibban (1884)

Sabda Rasulullah S.A.W:

أمرت أن أسجد على سبعة أعظم , وعلى الجبهة , وأشار بيده على أنفه , واليدين واركبتين وأطراف القدمين Maksudnya : “Aku diperintahkan agar melakukan sujud dengan tujuh anggota sujud : Yakni dahi (sambil menunjuk hidung), dua belah tangan, dua lutut dan hujung kedua tapak kaki”.

Riwayat Bukhari (779) dan Muslim (490)

Dalam kitab-kitab Fiqh Mazhab Syafie, terdapat 7 syarat sah bagi sujud. (Rujuk: Nail al-Raja’; 179; Fiqh Manhaji; 1/136)

1) Hendaklah ia sujud diatas tujuh anggota

2) Hendaklah dahinya terbuka

3) Meletakkan kepala sekira-kira dahi menempel (ada tekanan) pada tempat sujud

4) Tidak ada niat lain selain sujud

5) Tidak sujud diatas barang yang bergerak dengan pergerakannya

6) Kedudukan punggung lebih tinggi dari kepala

7) Thama'ninah 

Berdasarkan soalan di atas, ianya berkait dengan syarat sah sujud yang ke-7 iaitu Thama'ninah. Thama'ninah dalam sujud bererti meletakkan dahi di tempat sujud dengan kadar sekira-kira dapat menyebut lafaz ‘subhanallah’ . Ia berdasarkan hadis riwayat Ibnu Hibban yang telah disebutkan sebelum ini. Ia juga diambil berdasarkan hadis nabi S.A.W:

...ثم اسجد حتى تطمئن ساجدا، ثم ارفع حتى تطمئن جالسا، ثم اسجد حتى تطمئن ساجدا...

Maksudnya: “...Kemudian sujudlah hingga tetap dalam keadaan itu, kemudian bangunlah sehingga tetap keadaan duduk, kemudian sujudlah lagi sehingga tetap keadaannya (sujud) ...”

Riwayat Bukhari (724) dan Muslim (397)

Mengangkat Kepala Setelah Sujud

Sujud hendaklah dilakukan dengan meletakkan ketujuh-tujuh anggota sujud dengan kadar thama'ninah, namun anggota sujud iaitu dahi merupakan anggota yang perlu diberi perhatian. Hal ini kerana, sekiranya dahinya terhalang oleh sesuatu ia dapat membatalkan sujud seseorang. Begitu juga sekiranya dia mengangkat dahinya setelah sujud tanpa sebarang keuzuran. (Rujuk: Hasyiyah al-Baijuri; 1/350).

Hukum mengangkat kepala ketika sujud boleh dibahagikan kepada dua keadaan:

1) Mengangkat kepala tanpa uzur syar’ie – hukumnya boleh membatalkan sujud dan solat secara mutlak.

2) Mengangkat kepala dengan uzur syar’ie – Terdapat beberapa perincian:

Uzur syarie yang diiktibar syarak ialah seperti sujud di atas permukaan yang tajam, atau sujud di atas permukaan yang terlalu panas atau apa-apa permukaan yang dapat melukakan dan memberi mudarat kepada kepalanya, maka dibolehkan baginya untuk mengangkat dahinya dengan syarat sujudnya itu belum mencapai kadar thama'ninah.

Sekiranya sujudnya itu telah mencapai kadar thama'ninah, maka sujudnya itu terbatal kerana dia telah menambah rukun baru iaitu sujud di dalam solatnya dengan sengaja. (Rujuk: Hasyiyah al-Baijuri; 1/350).

Berkata Syeikh Ibrahim al-Baijuri: “Sekiranya dia sujud di atas permukaan yang kasar hingga mengakibatkan kesakitan pada dahinya sebagai contoh, maka sekiranya dia mengalihkan dahinya tanpa mengangkatnya, ia tidak memudaratkan. Jika dia mengangkat dahinya kemudian mengembalikannya semula, sekiranya belum sempat capai kadar thama’ninah maka tidak memudaratkan. Jika sebaliknya (yakni sujudnya telah mencapai kadar thamaninah) maka ia memudaratkan kerana dia telah menambah satu sujud. Dan jika dia mengangkat dahinya tanpa uzur dan mengembalikannya (ke tempat sujud) maka memberi kesan (batal solat) secara mutlak”. (Rujuk: Hasyiyah al-Baijuri; 1/350).

Berkata Shaikh Abu Qutaibah Rasyidi: “Maka jika sujud ia di atas sesuatu yang tajam, jika dikesot akan mukanya dengan tiada angkat, tiada mengapa. (Dan jika) diangkat akan dia kemudian dikembali akan dia, maka jika belum lagi ia thama'ninah tiada mengapa, dan jika sudah thama'ninah maka mudarat, kerana bertambah sujud”. (Rujuk: Idhoh al-Misbah, 1/439).

Berkata Shaikh Daud al-Fatoni dalam Bughyah al-Tullab : “(Dan jika) sujud ia atas suatu yang tajam, maka diangkatnya akan dahinya, kemudian sujud pula atas tempat yang lain, batal sembahyangnya, jika diperoleh segala syarat sujud pada yang pertama. Dan jika tiada maka tiada batal, kerana perbuatan itu sedikit, maka hendaklah ia memeliharakan daripada diangkatkan kepalanya, sampai jangan batal sembahyang, tetapi hendaklah dikesotkan dahinya kepada tempat yang lain yang tiada tajam”. (Rujuk: Idhoh al-Misbah, 1/439).

Kesimpulan

Kesimpulannya, setelah meneliti perbahasan di atas, kami simpulkan hukum sujud di atas benda tajam atau apa-apa permukaan yang menyebabkan mudarat kepada dahi seseorang adalah seperti berikut:

  • Sekiranya seseorang sujud di atas permukaaan tersebut dan belum mencapai kadar thama'ninah (iaitu sekadar sebutan subhanallah), maka dia dibolehkan untuk mengangkat semula kepalanya untuk sujud di atas permukaan lain yang tidak membawa mudarat dan hukum solatnya tetap sah.
  • Sekiranya seseorang sujud di atas permukaaan tersebut dan telah mencapai kadar thama'ninahmaka dia tidak dibolehkan untuk mengangkat semula kepalanya. Sekiranya dia melakukan hal tersebut (mengangkat kepalanya) maka solatnya terbatal dan dia perlu mengulangi solatnya semula.
  • Adapun sekiranya seseorang tidak mahu mengangkat kepalanya, maka dia boleh mengalihkan dahinya dengan mengesotkannya ke permukaan yang tidak membawa mudarat ketika sedang sujud. Hal ini diharuskan oleh para ulama’ dan keadaan solatnya tetap sah. Wallahu a’lam.

Semoga Allah memberikan kita semua kefahaman yang benar dalam beragama. Ameen.