Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

ak1608

Soalan:

Assalamualaikum Dr. Saya ada soalan. Saya telah terlepas waktu solat subuh kerana ketika itu saya berada di dewan bedah. Setelah keluar dari bilik bedah, ketika itu sudah masuk waktu solat zohor. Persoalannya, adakah saya perlu menqadha’ solat subuh terlebih dahulu atau melakukan solat zohor kemudian baru menqadha’ solat subuh tersebut?

Jawapan:
Waalaikumussalam W.B.T. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat. Firman Allah S.W.T:

إن الصلاة كانت على المؤمنين كتابا موقوتا

Maksudnya: Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman, yang telah ditentukan waktunya”.

(Surah Al-Nisa': 103)

Apabila perintah ibadah solat itu dilaksanakan dalam waktunya, ia digelar sebagai al-adaa' (tunai) manakala apabila solat itu dilaksanakan di luar waktunya ia digelar sebagai al-qadha (ganti).

Para jumhur ulama’ mengatakan wajib bersegera menqadha’ solat yang tertinggal samada tertinggal kerana uzur syar’i atau tidak berdasarkan keumuman hadis nabi S.A.W:

مَن نَسِيَ صَلَاةً فَليٌصَلِّ إِذَا ذَكَرَهَا

Maksudnya: “Sesiapa yang tertinggal solat kerana lupa maka hendaklah dia menunaikannya apabila dia teringat akannya”.

Riwayat Al-Bukhari (597) dan Muslim (1598)

Di sisi mazhab Syafie para ulama’ memperincikan masalah ini seperti berikut: sekiranya seseorang meninggalkan solat kerana uzur syari’e seperti tertidur atau lupa yang tidak melampaui had, maka sunat baginya untuk segera menqadha’ solatnya, namun sekiranya seseorang meninggalkan solat tanpa uzur syar’ie maka wajib baginya untuk segera menqadha’ solatnya. (Rujuk: Al-Majmu' Syarh al-Muhadzzab, 3/70-71). Hal ini berdasarkan hadis nabi Muhammad S.A.W:

كُنَّا فِي سَفَرٍ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَإِنَّا أَسْرَيْنَا حَتَّى كُنَّا فِي آخِرِ اللَّيْلِ ، وَقَعْنَا وَقْعَةً ، وَلاَ وَقْعَةَ أَحْلَى عِنْدَ المُسَافِرِ مِنْهَا ، فَمَا أَيْقَظَنَا إِلَّا حَرُّ الشَّمْسِ ، وَكَانَ أَوَّلَ مَنِ اسْتَيْقَظَ فُلاَنٌ ، ثُمَّ فُلاَنٌ ، ثُمَّ فُلاَنٌ - يُسَمِّيهِمْ أَبُو رَجَاءٍ فَنَسِيَ عَوْفٌ ثُمَّ عُمَرُ بْنُ الخَطَّابِ الرَّابِعُ - وَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا نَامَ لَمْ يُوقَظْ حَتَّى يَكُونَ هُوَ يَسْتَيْقِظُ ، لِأَنَّا لاَ نَدْرِي مَا يَحْدُثُ لَهُ فِي نَوْمِهِ ، فَلَمَّا اسْتَيْقَظَ عُمَرُ وَرَأَى مَا أَصَابَ النَّاسَ وَكَانَ رَجُلًا جَلِيدًا ، فَكَبَّرَ وَرَفَعَ صَوْتَهُ بِالتَّكْبِيرِ ، فَمَا زَالَ يُكَبِّرُ وَيَرْفَعُ صَوْتَهُ بِالتَّكْبِيرِ حَتَّى اسْتَيْقَظَ بِصَوْتِهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَلَمَّا اسْتَيْقَظَ شَكَوْا إِلَيْهِ الَّذِي أَصَابَهُمْ ، قَالَ : لاَ ضَيْرَ - أَوْ لاَ يَضِيرُ - ارْتَحِلُوا ، فَارْتَحَلَ ، فَسَارَ غَيْرَ بَعِيدٍ ، ثُمَّ نَزَلَ فَدَعَا بِالوَضُوءِ ، فَتَوَضَّأَ ، وَنُودِيَ بِالصَّلاَةِ ، فَصَلَّى بِالنَّاسِ

Maksudnya: "Daripada Imran bin Husain, beliau berkata, Kami pernah dalam suatu perjalanan bersama baginda Nabi S.A.W, kami menempuh perjalanan pada waktu malam hingga ketika sampai di akhir malam kami tidur, dan tidak ada tidur yang paling lena bagi musafir melebihi apa yang kami alami. Sehingga tidak ada yang mengejutkan kami (dari tidur) kecuali panasnya sinar matahari. Dan orang yang pertama bangkit (daripada tidur) adalah si fulan, lalu si fulan, lalu seseorang yang Abu 'Auf mengenalnya namun akhirnya lupa. Dan 'Umar bin Al Khattab adalah orang keempat bangkit, sedangkan Nabi S.A.W apabila tidur tiada siapa yang mengejutkannya sehingga baginda bangun sendiri, karena kami tidak tahu apa yang terjadi pada baginda di dalam tidurnya. Ketika 'Umar bangun dan melihat apa yang terjadi pada kami semua (yang telah terlewat bangkit daripada tidur) -dan 'Umar adalah seorang yang penuh kesabaran, maka beliau bertakbir dengan menguatkan suaranya dan terus saja bertakbir dengan kuat hingga Nabi S.A.W terbangun akibat kuatnya suara takbir 'Umar. Tatkala baginda nabi S.A.W bangun, para sahabat mengadukan peristiwa yang telah menimpa mereka. Maka baginda bersabda: Tidak ada masalah, atau tidak apa-apa dan teruskanlah perjalanan. Maka baginda meneruskan perjalanan dan setelah beberapa jarak yang tidak jauh baginda berhenti lalu meminta segayung air untuk berwudhuk, lalu baginda berwudhuk dan kemudiannya menyeru orang lain untuk solat. Maka beliau mengerjakan solat bersama yang lain”.

 Riwayat Al-Bukhari (337)

Berkata Imam al-Nawawi: “Dan barangsiapa yang diwajibkan ke atasnya solat, sedangkan dia tidak mengerjakannya sehingga luput waktu solat tersebut, maka wajib ke atasnya untuk menqadha’ solatnya berdasarkan hadis nabi S.A.W: Barangsiapa yang tidur atau lupa sehingga luput waktu solat, maka hendaklah dia mengerjakannya sesudah dia sedar (mengingati hal tersebut). Dan disunatkan baginya untuk bersegera menqadha’ solatnya berdasarkan hadis tadi. Dan diharuskan untuk melewatkannya (qadha’ solat) berdasarkan riwayat daripada Nabi S.A.W yang tertinggal solat subuh, dan beliau tidak segera menqadha’nya sehingga keluar dari suatu wadi (lembah), sekiranya qadha’ (solat) itu perlu disegerakan, nescaya baginda nabi S.A.W tidak akan melewatkan (qadha’ solat) tersebut. Namun sekiranya sesorang meninggalkan solat tanpa uzur syar’ie maka wajib ke atasnya untuk segera menqadha’ solatnya. (Rujuk: Al-Majmu' Syarh al-Muhadzzab, 3/70-71).

Berkata Imam Khatib al-Syirbini  dan Imam Al-Ramli: “Dan hendaklah segera menqadha’ solat yang luput  waktu, dan hukumnya sunat sekiranya dia meninggalkannya kerana uzur syar’i seperti tertidur atau lupa, manakala wajib hukumnya bersegera menqadha’ solat sekiranya seseorang meninggalkannya tanpa uzur syar’i mengikut pendapat yang paling sahih supaya dia segera bara’ah al-zimmah (membebaskan diri dari tanggungannya). Dan hikmahnya ialah untuk taghliz (memberatkannya)”. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/308; Nihayah al-Muhtaj, 1/381).

Berkata Imam Khatib al-Syirbini: “Dan disunatkan mendahulukan solat qadha’ yang ditinggalkan kerana uzur syar’ie  ke atas solat fardhu tunai sekiranya yakin tidak luput waktu solat tunai yang sedia ada, namun sekiranya takut luput waktu solat tunai sedia ada (apabila mendahulukan qadha’ solat yang tertinggal) maka wajib ke atasnya mendahulukan solat fardhu tunai terlebih dahulu supaya solat fardhu tunai tersebut tidak menjadi solat qadha’ kerana telah luput waktunya. Yang diiktibar yakin tidak luput waktu solat fardhu tunai dalam waktu tersebut ialah yakin mendapat sekurang-kurangnya satu rakaat daripada solat fardhu tunai, maka sunat baginya menqadha’ solat yang ditinggalkan kerana uzur syar’ie terlebih dahulu”.

“Adapun sekiranya dia mengingati solat yang perlu diqadha’ semasa sedang mengerjakan solat fardhu tunai, maka wajib baginya untuk menyempurnakan solat fardhu tunai terlebih dahulu samada waktu solat tersebut sudah suntuk atau masih panjang. Manakala sekiranya dia mendahulukan solat qadha’ dengan keyakinan sempat mengerjakan solat fadhu tunai dalam waktu tersebut, tetapi di pertengahan solat, dia yakin waktu solat akan luput, maka wajib baginya untuk menghentikan solat (qadha’) lalu kemudiannya mengerjakan solat fardhu tunai.” (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/308-309).

 

ADAKAH DISYARATKAN TERTIB KETIKA MENQADHA’ SOLAT-SOLAT YANG TERTINGGAL

Disunatkan bagi seseorang untuk menqadha’ solat-solat yang ditinggalkan secara tertib iaitu menqadha’ solat subuh kemudian solat zohor, atau solat zohor kemudian solat asar dan seterusnya. Begitu juga diwajibkan bagi seseorang untuk menqadha’ solat yang ditinggalkan tanpa uzur syar’ie terlebih dahulu ke atas solat yang ditinggalkan kerana uzur syar’ie.

Berkata Imam Khatib al-Syirbini: “Dan disunatkan menjaga tertib pada solat-solat qadha’ yang ditinggalkan, maka hendaklah menqadha’ solat subuh terlebih dahulu kemudian solat zohor, dan hal ini supaya keluar daripada perselisihan ulama’ yang mewajibkan (tertib) tersebut”.

“Dan sekiranya berhimpun solat qadha’ yang ditinggalkan kerana uzur syar’ie dan solat yang ditinggalkan tanpa uzur syar’ie maka wajib ke atas seseorang menqadha’ solat yang ditinggalkan tanpa uzur syar’ie terlebih dahulu”. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/308-309).

Oleh itu, di sisi mazhab Syafie hukum bersegera menqadha’ solat adalah wajib bagi orang yang meninggalkannya tanpa uzur syar’i dan sunat (menqadha’ solat) sekiranya seseorang meninggalkannya kerana uzur syar’ie. Dan keadaan demikian ialah ketika mana dia yakin tidak luput waktu solat fardhu tersebut. Justeru, berbalik kepada persoalan di atas, maka disunatkan untuk bersegera menqadha’ solat terlebih dahulu kemudian mengerjakan solat fardhu tunai, dan hal itu tidaklah wajib baginya kerana luput waktu solat tersebut disebabkan oleh uzur syar’ie.

Kesimpulan

Justeru, setelah meneliti perbahasan di atas, dapat kami simpulkan masalah ini kepada beberapa perkara:

  • Di sisi mazhab Syafie hukum bersegera menqadha’ solat adalah wajib bagi orang yang meninggalkannya tanpa uzur syar’i seperti tertinggal solat kerana sibuk bermain chess dan sunat (menqadha’ solat) sekiranya seseorang meninggalkannya kerana uzur syar’ie seperti tertidur atau lupa yang tidak melampaui batas.
  • Dan keadaan demikian ialah ketika mana dia yakin tidak luput waktu solat fardhu tersebut iaitu yakin mendapat sekurang-kurangnya satu rakaat daripada solat fardhu tunai dalam waktu tersebut.
  • Disunatkan menjaga tertib solat ketika menqadha’ solat-solat yang tertinggal seperti menqadha’ solat subuh terlebih dahulu kemudian solat zohor dan seterusnya.
  • Diwajibkan menqadha’ solat yang ditinggalkan tanpa uzur syar’ie terlebih dahulu daripada solat yang ditinggalkan kerana uzur syar’ie. Wallahu a’lam.