Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

AK1620

Soalan :

Assalamu’alaikum w.b.t. tuan Mufti, adakah mayat manusia dikira sebagai najis ?

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Islam merupakan satu agama yang amat menghormati dan memuliakan jasad atau batang tubuh seseorang manusia sama ada semasa hayatnya atau sesudah meninggal dunia. Ini dapat dilihat berdasarkan firman Allah S.W.T :

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ

Maksudnya : Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak Adam.

Surah Al-Isra’ (70)

Menurut Imam al-Thabari, ayat ini menjelaskan bahawa Allah S.W.T memuliakan anak-anak Adam dari sudut menjadikan mereka (golongan manusia) sebagai makhluk yang menguasai ke atas makhluk-makhluk yang lain. Rujuk Tafsir Al-Thabari (15/5).

Manakala Syeikh Al-Maraghi dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini menyebutkan : Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak Adam dengan sebaik-baik kejadian, lurus dan tegak serta diberikan akal fikiran. Lalu dia mendapat petunjuk untuk mencipta binaan serta mempelajari pelbagai bahasa. Demikian juga kebagusan dalam berfikir tentang wasilah-wasilah kehidupan. Serta penguasaan ke atas apa yang terdapat di atas muka bumi dan mengurus tadbir alam ini bahagian atas dan juga bawahnya. Rujuk Tafsir al-Maraghi (15/75).

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

 إِنَّ الْمُؤْمِنَ لاَ يَنْجُسُ

Maksudnya : Sesungguhnya seorang mukmin itu tidak najis.

Riwayat Al-Bukhari (283) dan Muslim (371)

Imam Al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis di atas beliau berkata : “Hadis ini merupakan suatu asas yang besar berkenaan dengan sucinya seorang muslim itu sama ada dalam keadaan dia hidup ataupun telah mati. Adapun sucinya seorang muslim dalam keadaan dia masih hidup, maka para ulama telah berijma’ (bersepakat) akan hal tersebut. Manakala kesucian mayat pula, para ulama berbeza pendapat dalam isu ini dan pendapat yang sahih adalah kesuciannya dan disebabkan itulah ia dimandikan”. Rujuk Syarah al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim (4/66).

Meskipun begitu, persoalan lain yang timbul adalah berkaitan dengan mayat orang kafir dari sudut adakah ia suci ataupun najis. Maka Imam Al-Nawawi dalam mengulas isu ini menyebut :

وَأَمَّا الْكَافِرُ فَحُكْمُهُ فِي الطَّهَارَةِ وَالنَّجَاسَةِ حُكْمُ الْمُسْلِمِ هَذَا مَذْهَبُنَا وَمَذْهَبُ الْجَمَاهِيرِ مِنَ السَّلَفِ وَالْخَلَفِ

Maksudnya : Adapun orang kafir maka hukumnya dari sudut suci dan najis adalah sama seperti hukum orang Islam. Inilah pendapat mazhab kami dan mazhab jumhur dari kalangan salaf dan khalaf.

Manakala berkenaan firman Allah S.W.T :

إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ

Maksudnya : Sesungguhnya orang musyrik itu adalah najis.

Surah Al-Taubah (28)

Kata Imam Al-Nawawi : Yang dimaksudkan dengan najis di situ adalah kotornya i’tiqad (pegangan) mereka dan bukannya anggota badan mereka itu najis seperti najisnya air kencing, air besar, dan seumpamanya. Rujuk Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (4/66).

Oleh kerana itulah para fuqaha’ apabila membahaskan perihal isu najis di dalam kitab-kitab mereka menyebutkan : Dan dikecualikan dari najis bangkai itu tiga jenis, antaranya adalah mayat manusia. Ini berdasarkan firman Allah :

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ

Maksudnya : Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak Adam.

Surah Al-Isra’ (70)

Dan intipati memuliakan anak Adam adalah dia menjadi suci sama ada semasa hidup atau semasa mati. Begitu juga berdasarkan kata-kata Ibn Abbas R.A : ‘’Seorang muslim itu tidak najis semasa hidup dan juga setela meninggal dunia’’. Rujuk Al-Fiqh Al-Manhaji (1/39).

Penutup

Sebagai kesimpulan, setelah kami meneliti beberapa nas dan hujahan di atas maka kami menyatakan bahawa mayat seseorang manusia itu adalah suci dan bukannya najis baik dia seorang muslim ataupun tidak.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.