Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

AK1629

Soalan :

Assalamu’alaikum S.S Mufti, sekiranya seseorang itu semasa hayatnya memakai brace (pendakap gigi) atau gigi palsu, adakah kedua ini perlu ditanggalkan setelah dia meninggal dunia atau dibiarkan sahaja ?

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Sebelum kami mengulas isu ini dengan lebih lanjut, suka untuk kami huraikan secara tuntas berkenaan dengan hukum pemakaian braces dan gigi palsu terlebih dahulu. Dalam isu seperti ini perkara pertama yang perlu kita jelas adalah, hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datang dalil yang menunjukkan kepada hukum yang berlawanan. Ini bertepatan dengan sebuah kaedah fekah yang menyebut :

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإبَاحَة

Maksudnya : Hukum asal bagi sesuatu itu adalah harus.

Meskipun begitu, sekiranya terdapat dalil yang menunjukkan kepada hukum yang tertentu terhadap sesuatu perkara, maka ia sudah tidak menjadi harus, sebaliknya mengikut hukum yang dinyatakan oleh nas tersebut.

Perbuatan memakai pendakap gigi bagi membetulkan kedudukan gigi yang jarang atau pemakaian gigi palsu bagi tujuan memperbetulkan kekurangan pada bahagian gigi adalah diharuskan. Bahkan keharusan ini meliputi seluruh anggota tubuh yang ada keaiban atau kerosakan. Hal ini diqiyaskan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Arfajah Ibn As’ad R.A beliau berkata :

 أُصِيبَ أَنْفِي يَوْمَ الْكُلاَبِ فِي الْجَاهِلِيَّةِ فَاتَّخَذْتُ أَنْفًا مِنْ وَرِقٍ فَأَنْتَنَ عَلَىَّ فَأَمَرَنِي رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَنْ أَتَّخِذَ أَنْفًا مِنْ ذَهَبٍ

Maksudnya : Hidungku mengalami kecederaan parah pada hari peperangan Al-Kulab (suatu tempat yang terletak di antara Basrah dan Kufah) semasa Jahiliyyah dahulu. Lalu aku pun menggantikan hidungku dengan perak kemudian hidungku menjadi busuk. Maka Rasulullah S.A.W memerintahkan kepadaku untuk mengambil hidung daripada emas.

Riwayat Al-Tirmizi (1770)

Hadis di atas ini merujuk kepada keharusan memakai sesuatu yang diperbuat daripada emas dalam keadaan dharurat. Seperti yang diketahui, emas halal dipakai oleh orang perempuan namun ia haram digunakan oleh orang lelaki. Namun sekiranya dalam keadaan dharurat dan ada keperluan mendesak, boleh untuk orang lelaki menggunakan emas seperti contoh yang ditunjukkan dalam hadis ‘Arfajah di atas.

Imam Al-Khattabi ketika mensyarahkan hadis di atas ini beliau berkata : Hadis ini menunjukkan kepada keharusan menggunakan sedikit daripada emas oleh orang lelaki ketika berada dalam keadaan dharurat seperti menguatkan gigi-gigi dengannya. Rujuk Ma’alim Al-Sunan, Al-Khattabi (4/215).

Manakala dalam kitab Al-Fiqh Al-Manhaji (3/95) ada disebutkan :

 لو جدع أنفه، فاستعاض عنه أنفا من ذهب، أو احتاج أن يشد أسنانه بالذهب، فإنه يباح في هذا وأمثاله من حالات الضرورة استعمال الذهب

Maksudnya : Sekiranya hidung seseorang itu terputus lalu digantikan dengan hidung yang diperbuat daripada emas, atau seseorang itu berhajat kepada menguatkan gigi-giginya dengan emas, maka ia dibenarkan dalam keadaan ini dan yang seumpamanya dari keadaan dharurat untuk menggunakan emas.

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan di atas, kami menyatakan bahawa tatacara pengurusan jenazah mestilah dilakukan dengan cara yang paling memuliakan jenazah. Ini kerana anak Adam itu dimuliakan semasa hayatnya demikian juga ketika sudah meninggal dunia. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T :

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ

Maksudnya : Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak Adam.

Surah Al-Isra’ (70)

Penutup

Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa isu membuang pendakap gigi atau gigi palsu dari jenazah ini perlu dilihat kepada beberapa perkara yang berikut :

  • Sekiranya pendakap gigi atau gigi palsu ini bukan diperbuat daripada emas, maka tidak mengapa untuk ia ditinggalkan bersama dengan jenazah serta tiada keperluan untuk menanggalkannya.
  • Namun sekiranya ia diperbuat daripada emas maka ada dua pendapat dalam isu ini. Pertama, ia tidak perlu ditanggalkan kerana dianggap sebagai mencemar kehormatan si mati. Kedua, sekiranya proses penanggalan gigi emas itu tidak memberi kesan yang buruk kepada jenazah, maka kami cenderung untuk ia ditanggalkan.

Kami berdalilkan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Mughirah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

وَكَرِهَ لَكُمْ قِيلَ وَقَالَ، وَكَثْرَةَ السُّؤَالِ، وَإِضَاعَةَ الْمَالِ

Maksudnya : Allah S.W.T tidak menyukai kamu banyak berkata-kata (tentang orang lain), terlalu banyak bertanya, dan juga pembaziran harta.

Riwayat Al-Bukhari (5975)

Maka membiarkan gigi emas di dalam kubur ditakuti termasuk dalam perbuatan إِضَاعَة الْمَالِ yang tidak disukai oleh Allah S.W.T.

Akhir kalam kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.