Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1633: PERNIAGAAN RUGI! ADAKAH MASIH PERLU DIZAKATKAN?

ak1633.PNG

SOALAN

Assalamualaikum wbt Tuan Mufti. Adakah masih perlu mengeluarkan zakat sekiranya perniagaan yang diusahakan tersebut telah mengalami kerugian?

JAWAPAN

Waalaikumussalam wbt.

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Perkara utama yang perlu difahami dalam menjawab persoalan ini ialah zakat yang dikeluarkan bukanlah bertujuan merugikan atau mengurangkan harta yang dimiliki. Malah sistem zakat ini akan lebih menyuburkan harta yang ada. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW telah bersabda:

مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ

Maksudnya: “Zakat itu tidak mengurangkan harta.”

Riwayat Muslim (2588)

Imam al-Nawawi menjelaskan hadith di atas mengandungi dua penafsiran:

  • Harta yang dizakatkan tersebut akan diberkati dan dihilangkan daripadanya kemudaratan. Kekurangan harta tersebut akan ditutup dengan keberkatan. Hal ini dapat dirasai dengan pancaindera dan kebiasaan.
  • Sekalipun fizikal harta tersebut dilihat berkurang, namun kekurangan tersebut akan digantikan dengan pahala di sisi Allah SWT serta digandakan dengan gandaan yang banyak. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 16/141)

Kewajipan mengeluarkan zakat perniagaan ini adalah berdasarkan kepada nas-nas daripada al-Quran dan al-Sunnah. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَنفِقُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُم مِّنَ الْأَرْضِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.”

(Surah al-Baqarah: 267)

Imam Ibn Kathir menukilkan daripada Mujahid bahawa yang dimaksudkan daripada ayat ini ialah sedekah daripada harta yang dihasilkan daripada perdagangan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/697)

Syeikh al-Maraghi menafsirkan, dermakanlah harta kamu yang baik daripada hasil perdagangan dan pertanian kamu, sama ada biji-bijian, buah-buahan mahupun lain-lain. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/612)

Demikian juga berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Samurah Bin Jundub R.A, katanya:

فَإِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَأْمُرُنَا أَنْ نُخْرِجَ الصَّدَقَةَ مِنَ الَّذِي نُعِدُّ لِلْبَيْعِ

Maksudnya:Nabi SAW menyuruh kami mengeluarkan zakat barangan yang kami sediakan untuk diniagakan.”

Riwayat Abu Daud (1562)
Syeikh Syuaib al-Arnauth menghukumkan sanad hadith ini sebagai dhaif.

Imam al-Saharanfuri menyebut yang dimaksudkan dengan sedekah dalam hadith ini ialah zakat wajib daripada harta yang diniagakan. (Lihat Bazl al-Majhud, 6/317)

Berdasarkan kepada persoalan di atas, kewajipan berzakat di atas harta perniagaan adalah sekiranya telah mencukupi syarat-syarat berikut:

  • Pemilikan harta itu hendaklah dengan akad tukar ganti (jual beli, sewa-menyewa). Jika sekiranya pemilikan tersebut disebabkan oleh warisan, wasiat atau hibah, maka ianya tidak dikira sebagai barang perniagaan.
  • Pemilik hendaklah berniat untuk meniagakan harta tersebut ketika memiliki harta tersebut dan niat tersebut hendaklah berterusan. Jika tidak berbuat demikian, harta tersebut tidak dikatakan barang perniagaan walaupun dia berniat selepas itu. Jika dia berniat untuk meniagakan barang tersebut semasa membelinya, kemudian berniat pula menyimpannya tanpa diniagakan, maka barang itu tidak dikira sebagai barang perniagaan dan tidak wajib zakat. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/27)

Menjawab kepada persoalan di atas, zakat perniagaan adalah wajib ditunaikan sekiranya telah memenuhi syarat-syarat zakat perniagaan serta telah mencukupi tempoh haul (tempoh setahun) dan nisob (nilai harta) yang mewajibkan zakat. Kerugian yang dialami dalam perniagaan bukanlah satu penyebab atau ‘illah yang membolehkan meninggalkan kewajipan berzakat. Adapun begitu zakat yang dikeluarkan akan lebih memberkati dan menyuburkan lagi perniagaan yang sedang diusahakan.

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan, kami jelaskan bahawa hakikat pensyariatan zakat perniagaan itu sendiri adalah bertujuan untuk membersihkan harta yang diniagakan di samping menyuburkan lagi harta tersebut. Kerugian serta kejatuhan dalam sesuatu perniagaan bukanlah penyebab kepada terangkatnya kewajipan berzakat selagimana harta tersebut masih memenuhi syarat-syarat wajib zakat yang ditetapkan. Justeru, zakat perniagaan wajib dikeluarkan sekiranya memenuhi tempoh haul dan nilai nisob.

Semoga penjelasan yang diberikan ini membuka minda dan fikiran kita semua dalam menunaikan kewajipan berzakat dalam kehidupan. Amin.