Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1637: MENGGUNAKAN WANG KWSP UNTUK MELUNASKAN HUTANG ARWAH

kwsp

Soalan

Assalamualaikum Dato’ Mufti. Suami saya baru meninggal. Kami ada dua kereta. Satu daripanya sudah selesai hutang manakala satu lagi masih berhutang.

Pada pendapat Dato’ Mufti, bolehkah saya membayar semua hutang arwah dengan duit KWSP arwah yang akan saya terima, beranggapan dengan pembayaran tersebut kereta arwah boleh menjadi milik saya? Mohon penjelasan.

Jawapan

Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga baginda SAW, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.

Situasi di atas berkait dengan permasalahan isu faraid kerana melibatkan harta yang ditinggalkan si mati. Harta faraid atau harta peninggalan seperti yang ditetapkan oleh pihak Baitulmal MAIWP[1] ialah semua harta yang mempunyai nilai dan dimiliki semasa hayatnya serta berterusan sehingga kematiannya. Harta-harta itu termasuklah:

  • Semua harta yang diperolehi secara halal melalui jual beli, hibah, wasiat, pembahagian pusaka, hadiah, sedekah dan sebagainya.
  • Sewa yang masih belum dijelaskan kepada si mati.
  • Hutang kepada si mati yang dijelaskan selepas kematiannya.
  • Dividen/faedah yang terbit daripada harta si mati.
  • Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
  • Barang yang terbit selepas kematiannya dari usaha semasa hayatnya, misalnya ikan yang masuk ke dalam bubu yang ditahan oleh si mati.

Berdasarkan harta-harta yang disenaraikan di atas, kedua-dua kereta arwah termasuk dalam kategori harta peninggalan yang perlu dibahagikan kepada ahli-ahli waris yang berhak.

Seterusnya, jika arwah mempunyai hutang, maka hutang itu perlu diselesaikan terlebih dahulu menggunakan harta arwah yang sedia ada. Ini kerana apabila seseorang meninggal dunia, terdapat beberapa perkara yang perlu diselesaikan berhubung harta peninggalan arwah sebelum ia difaraidkan kepada ahli-ahli waris yang ada.

Harta tersebut digunakan untuk membiayai kos pengurusan jenazah, hutang-piutang, wasiat dan akhir sekali difaraidkan kepada ahli waris.

(Lihat: Minhaj al-Thalibin, m/s 180)

Berdasarkan situasi di atas, perlu dijelaskan terlebih dahulu bahawa duit KWSP yang diterima oleh isteri arwah sebenarnya masih di bawah hak milik arwah suaminya. Kedudukan duit KWSP yang diterima oleh isteri hanyalah sebagai penama sahaja. Penama bermaksud mereka bertindak selaku pentadbir bagi menguruskan pengeluaran dan pembahagian simpanan KWSP ahli mengikut Undang - Undang Islam. Oleh yang demikian, penama bukanlah pemilik harta, lebih tepat disebut sebagai pengurus harta.

(Rujuk: PANDUAN MENGISI BORANG KWSP 4)

Selain itu, hutang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Memandangkan duit KWSP dianggap sebagai harta arwah, maka tidak menjadi masalah kepada ahli waris khususnya penama untuk menggunakan duit tersebut bagi menyelesaikan segala hutang-piutang arwah termasuklah hutang kereta.

Walau bagaimanapun, sekiranya ada pihak yang ingin menanggung segala kos seperti kos pengurusan jenazah, hutang-piutang arwah, maka ia tidak menjadi masalah bahkan perbuatan tersebut merupakan amal kebajikan dan sedekah yang dipuji oleh agama kerana menolong memudahkan urusan umat Islam yang lain apatah lagi pihak yang membantu terdiri daripada kalangan ahli keluarga terdekat arwah sendiri. Sebuah hadis yang diriwayatkan Sulaiman Bin ‘Amir al-Dhabiy bahawa

الصَّدقةُ على المسكينِ صدقةٌ وعلى القريبِ صدقتان صدقةٌ وصِلةٌ

Maksudnya: Sedekah kepada orang miskin mendapat sedekah (pahala sedekah). Sedangkan sedekah kepada kaum kerabat mendapat dua sedekah; iaitu (pahala) sedekah dan (pahala) mengeratkan silaturahim.

Riwayat Tirmizi (658)

Namun begitu, sekiranya isteri arwah beranggapan kereta akan menjadi miliknya kerana menyelesaikan hutang kereta suami melalui duit KWSP tersebut, maka kami berpandangan kefahaman ini kurang tepat dan perlu diperbetulkan. Alasannya, penerimaan duit KWSP tersebut hanya sebagai penama bukan bertukar hak pemilikan. Lantaran itu, jika arwah masih mempunyai ibu bapa dan anak-anak, maka mereka semua mempunyai bahagian dan hak terhadap harta arwah termasuk dua biji kereta yang ditinggalkan, ia tidak terhad kepada isteri arwah semata-mata melainkan kereta tersebut sudah dihadiahkan dan ditukar geran kepada nama isteri semasa suaminya masih hidup.

Berkenaan ahli keluarga yang mempunyai bahagian dalam harta warisan, boleh buat rujukan lanjut di artikel kami, AL-KAFI #1580: BOLEHKAH ANAK TIRI MENDAPAT HARTA PUSAKA?

Sebagai ilustrasi bahagian faraid bagi ahli waris sekiranya si mati masih mempunyai seorang anak lelaki, ibu dan bapanya. Bahagian mereka adalah seperti berikut:

Harga semasa kereta: RM 24,000

Ibu: 1/6 (RM 4,000)

Bapa: 1/6 (RM 4,000)

Isteri: 1/8 (RM 3,000)

Anak Lelaki: Baki harta (RM 13,000)

Berdasarkan penerangan di atas, dapat disimpulkan bahawa kereta tersebut tidak menjadi milik penuh isterinya walaupun dia sendiri menawarkan diri untuk melangsaikan hutang arwah, sebaliknya kereta tersebut tetap perlu dibahagikan mengikut pecahan faraid seperti contoh di atas.

Pemilikan penuh hanya boleh berlaku sekiranya ahli-ahli waris yang lain menggugurkan hak masing-masing sama ada diberikan secara percuma ataupun mereka menuntut bayaran bahagian masing-masing sebelum dilepaskan. 

Wallahua’lam.

 

[1] Lamanweb: https://www.maiwp.gov.my/i/index.php/en/2015-11-20-07-49-26/faraid-pusaka