Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

jeans

Soalan

Assalamualaikum, baru-baru ini saya keluar ke Shopping Complex untuk membeli-belah. Pakaian yang saya gunakan ialah seluar jeans jenis straight cut dan ketat sedikit ala-ala skinny jeans. Apabila masuk waktu azan asar, saya bergegas untuk solat terlebih dahulu. Saya nak tanya apakah hukum lelaki ataupun perempuan memakai seluar ketat ketika solat? Adakah sah ataupun tidak?

Jawapan

Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Menjadi kewajipan setiap umat islam untuk menutup aurat dan menjaganya daripada penglihatan ajnabi. Syariah juga menetapkan syarat sah solat mestilah menutup aurat. Penekanan perlu diberikan sebelum seseorang memulakan solat agar solatnya diterima oleh Allah S.W.T. Had minima untuk solat diterima mestilah kawasan aurat ditutup.

Pemakaian pakaian ketat ketika solat sehingga menampakkan bentuk tubuh badan dibahaskan secara terperinci di dalam kitab-kitab Fiqh. Imam al-Nawawi dalam kitab Majmu’ (3/170) memberi komentar:

“Aṣhabuna (Ulama’ Syafiʿiyyah) berpandangan bahawa wajib menutup kawasan aurat daripada pandangan orang lain dengan pakaian yang tidak tembus pandang kerana pakaian nipis sehingga orang yang lalu dibelakangnya boleh mengetahui warna putih atau hitam kulitnya tidaklah dianggap menutup aurat. Begitu juga pakaian tebal yang bercompang-camping kerana bahagian yang koyak tidak menutup anggota aurat. Justeru, jikalau warna kulit dan anggota aurat seperti pusat dan punggung sudah tertutup dan tidak kelihatan, maka sah solat seseorang itu disebabkan sudah menepati syarat asas menutup aurat. Terdapat pandangan lain dibawakan al-Dārimi dan Ṣahib al-Bayān mengatakan tidak sah solat jika menampakkan bentuk tubuh badan. Namun, pandangan ini salah sama sekali”.

Selain itu, Syeikh Sayyid Sābiq juga ada menyebut dalam kitab Fiqh al-Sunnah (1/97):

“Syarat wajib untuk pemakaian baju hendaklah menutup aurat walaupun pakaiannya ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh badan…”

Walaupun begitu, jumhur ulama’ mengatakan makruh memakai pakaian yang ketat ketika solat. Antaranya, ulama’ malikiyyah mengatakan solat tetap sah walaupun mengenakan pakaian yang ketat tetapi hukumnya makruh (Karāhah Tanzihiyyah)[1] dan disunatkan untuk mengulangi solatnya (dengan pakaian yang tidak ketat) jika waktu masih berbaki.

Rujuk: Hashiyah al-Dusuqi (1/217)

Mazhab Hanbali juga senada dengan mazhab yang lain. Ibn Qudamah mengatakan di dalam kitab al-Mughni 1/414 ketika membahaskan pakaian yang menutup aurat,

وإن كان يستر لونها، ويصف الخلقة، جازت الصلاة؛ لأن هذا لا يمكن التحرز منه، وإن كان الساتر صفيقا

Maksudnya: Sekiranya pakaian sudah menutupi warna kulit aurat, sah solatnya walaupun pakaian tersebut menampakkan bentuk tubuh. Alasannya, penglihatan bentuk tubuh tidak dapat dielakkan walaupun pakaian tersebut tebal.

Sekali pun solat tetap sah walaupun mengenakan pakaian ketat, bukanlah bermakna kami menggalakkan umat Islam untuk berpakaian ketat. Apatah lagi pakaian yang terlalu ketat sehingga menampakkan bentuk kemaluan.

Alternatifnya, sebelum memulakan solat, lelaki sangat digalakkan tukar seluar ketat dengan kain pelikat manakala wanita boleh menggunakan telekung yang disediakan di musolla ataupun yang dibawa sendiri dari rumah. Itu lebih baik dan lebih membuatkan hati tenang, jauh dari pertikaian. Rujuk juga artikel kami, AL-KAFI #281: Hukum Lelaki Berpakaian Nipis Dan Ketat.

Akhirnya, kami menasihatkan agar umat Islam tetap mengutamakan pakaian yang luas, selesa dan tidak terlalu ketat sehingga setiap inci bentuk badannya diketahui dan dilihat janggal oleh masyarakat umum.

Rujuk juga artikel kami, AL-KAFI #1568: HUKUM MEMAKAI PAKAIAN KETAT DALAM SOLAT SEMASA AKTIVITI LARIAN

Wallāhuaʿlam.

 

[1] Karāhah (Makruh) terbahagi kepada dua:
Pertama, Karāhah Tanzihiyyah (Larangan yang Syarak tetapkan tetapi tidak bersifat mesti dan wajib ditinggalkan).
Kedua, Karāhah Tahrīmiyyah (Larangan yang Syarak tetapkan bersifat mesti dan wajib ditinggalkan).