Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

namakan anak nama Allah

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Bolehkah menamakan anak dengan nama-nama Allah SWT seperti al-Aziz?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga, sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke hari kesudahan.

Berkenaan isu di atas, nama-nama Allah terbahagi kepada dua bahagian; ada yang boleh memberikan nama dengannya dan ada yang tidak boleh. Sebagai contoh, tidak boleh memberi nama al-Khaliq (pencipta) kepada makhluk kerana ia hanya khusus bagi Allah SWT sahaja.

Tetapi, boleh memberi nama-nama seperti Hakim (حكيم), Basir (بصير), Ali (علي) dan seumpamanya kerana maknanya juga dimiliki oleh makhluk. Malah terdapat juga para sahabat yang memiliki nama seperti ini seperti Ali bin Abi Talib dan Hakim bin Hizam R.Anhuma. Justeru, tidak mengapa menggunakan nama-nama seperti ini.

Ini juga kerana Allah SWT turut menyifatkan kepada sebahagian makhluk-Nya dengan nama seperti itu. Antaranya sepertimana firman-Nya:

فَجَعَلْنَاهُ سَمِيعًا بَصِيرًا

Maksudnya: “Oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan mendengar dan melihat.”

Surah al-Insan (2)

Nama-nama tersebut turut disebut oleh Allah SWT kepada makhluk-Nya. Antaranya seperti dalam firman-Nya:

قَالَتِ امْرَأَتُ الْعَزِيزِ..

Maksudnya: “Isteri Al-Aziz pun berkata..”

Surah Yusuf (51)

Syeikh Zakaria al-Ansari menjelaskan bahawa diharuskan menggunakan nama-nama yang tidak menjadi kekhususan kepada Allah SWT. Kata beliau: Harus menamakan dengan nama-nama Allah SWT yang tidak dikhususkan dengannya (kepada Allah). Adapun nama-nama yang terkhusus kepada Allah SWT sahaja, maka ia adalah haram. Inilah sepertimana dijelaskan oleh Imam al-Nawawi di dalam kitab Syarh Muslim. (Lihat Asna al-Matalib Syarh Raudh al-Talib, 4/243)

Hal ini juga sepertimana dinyatakan oleh sebahagian fuqaha’ al-Hanafiyyah yang menyebut: Penamaan dengan nama Allah yang terdapat di dalam kitab-Nya seperti al-‘Aliy, al-Kabir, al-Rasyid, al-Badi’ adalah harus kerana ia adalah daripada nama-nama yang bersekutu (pada maksudnya). Dimaksudkan dengannya adalah pada hak seorang manusia, dan bukan dimaksudkan pada hak Allah SWT. (Lihat al-Buraiqah al-Mahmudiyyah, 3/234)

Ibn Qayyim pula menjelaskan isu ini dengan memberikan beberapa contoh nama Allah yang khusus bagi Allah SWT dan dilarang digunakan oleh makhluk. Kata beliau: Antara yang dilarang dalam penamaan seorang manusia dengannya ialah nama-nama Allah SWT. Tidak boleh menamakan seseorang dengan al-Ahad, al-Somad, al-Khaliq, al-Razzaq dan sekalian nama-nama yang terkhusus pada Allah SWT. (Lihat Tuhfah al-Maudud, s1/125)

 

Kesimpulan

Berdasarkan nas dan kenyataan di atas, sekiranya nama-nama tersebut menjadi kekhususan bagi Allah SWT seperti al-Ahad, al-Somad, al-Khaliq (pencipta) dan seumpamanya, maka ia dilarang dan tidak boleh digunakan kepada makhluk.

Manakala nama yang tidak terkhusus bagi Allah SWT dan maknanya turut dimiliki oleh makhluk, maka harus menggunakannya seperti al-Aziz dengan maksud dia adalah orang yang mulia dalam kalangan kaumnya dan nama-nama yang seumpamanya.

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam mengamalkan titah perintah-Nya. Amin.