Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

sumpah dgn nama atau sifat Allah

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Apa hukum bersumpah dengan nama atau sifat Allah SWT yang telah diterjemah?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga, sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke hari kesudahan.

Sumpah dalam bahasa Arab ialah al-Aiman (الأيمان). Ia merupakan jamak dari perkataan al-Yamin (اليمين). Pada dasarnya, ia bermaksud tangan kerana untuk bersumpah, masyarakat Arab biasanya mengangkat tangan kanan mereka. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 7/105)

Manakala pada istilah, ia bermaksud menguatkan perkara yang disumpah dengan mengemukakan sesuatu yang agung secara khusus. Hal ini dilakukan dengan dengan menggunakan salah satu di antara huruf sumpah ba’, waw, atau ta’ (dalam bahasa Arab). Iaitu dengan menyebut billahi, wallahi atau tallahi yang membawa maksud ‘demi Allah’. (Lihat al-Qaul al-Mufid, 2/213 dan Taudhih al-Ahkam, 7/105)

Sumpah hendaklah hanya dilakukan dengan menggunakan nama Allah SWT atau salah satu sifat-Nya. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

مَنْ كَانَ حَالِفًا فَلْيَحْلِفْ باللَّهِ، أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya: “Sesiapa yang ingin bersumpah, maka hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, atau lebih baik diam.”

Riwayat al-Bukhari (3836) dan Muslim (1646)

Dalam menjawab persoalan di atas, sumpah yang dilakukan menggunakan nama dan sifat Allah SWT meskipun dengan selain bahasa Arab, maka sumpahnya tetap berlaku dan dia wajib membayar kaffarah jika dia melanggarnya.

Kami kemukakan di sini pendapat Ibn Hazm yang antara lain menyebut: Sumpah tidak berlaku kecuali dengan nama Allah SWT, sama ada dengan menggunakan salah satu nama-Nya atau dengan salah satu sifat yang Dia telah khabarkan kepada kita, dan yang dimaksudkan adalah Allah SWT dan bukan selain-Nya. Hal ini seperti: ‘مقلب القلوب’ (yang membolak-balikkan hati), ‘وارث الأرض وما عليها’ (pewaris bumi dan seisinya), ‘الذي نفسي بيده’ (yang jiwaku ada di tangan-Nya), ‘رب العالمين’ (Tuhan semesta alam) dan yang seumpama dengannya.

Sumpah seperti itu berlaku untuk semua bahasa. Begitu juga seseorang yang bersumpah dengan ilmu Allah, kekuasaan-Nya, kekuatan-Nya atau keagungan-Nya dan semua ungkapan seperti itu. Jika seseorang bersumpah dengan kata-kata ini, maka dia dianggap telah bersumpah. Sekiranya dia melanggarnya, maka dia wajib membayar kaffarah. (Lihat al-Muhalla, 8/30)

Ibn al-Humam[1] al-Hanafi pula menjelaskan, seandainya seseorang berkata dalam bahasa Parsi ‘سوكندمي خورم بخداي’, maka ucapan itu dianggap sumpah kerana maknanya adalah, ‘Aku bersumpah kepada Allah sekarang.’ (Lihat Fath al-Qadir, 5/76)

Al-Hattab dari mazhab Maliki turut menegaskan bahawa sesiapa yang bersumpah dengan Allah menggunakan apa-apa bahasa, dan kemudian melanggar sumpah tersebut, maka wajib atasnya kaffarah. (Lihat Mawahib al-Jalil, 4/399)

Justeru, sumpah yang dilafazkan walaupun menggunakan bahasa selain Bahasa Arab, maka sumpah tersebut tetap berlaku.

 

Kesimpulan

Berdasarkan nas dan kenyataan di atas, mengucapkan kalimat-kalimat yang mengandungi lafaz sumpah meskipun dengan selain Bahasa Arab, maka sumpahnya tetap berlaku dan dia wajib membayar kaffarah jika melanggar sumpah tersebut. Namun yang lebih aulanya adalah dengan melafazkan sumpah dalam bahasa Arab.

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman yang tepat kepada kita dalam mengamalkan titah perintah-Nya. Amin.

 

_____________________________

Nota Hujung:

[1] Beliau ialah Kamal al-Din Muhammad ibn Humam al-Din Abd al-Wahid, yang lebih dikenali sebagai al-Kamal ibn al-Humam. Lahir pada tahun 790 Hijri.