Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

alkafi1671

Soalan

Assalamualaikum w.b.t Datuk, saya ada soalan, saya ada seorang anak angkat yang saya jaga sejak kecil, persoalannya adakah dia boleh mewarisi harta saya sementelah pemergian saya nanti memandangkan saya tiada anak kandung? Jika tidak dapat, apakah jalan yang terbaik dan sesuai?

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah atas segala limpahan nikmat dan kurniaNya. Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda S.A.W hingga ke Hari Akhirat.

Kami mulakan kalam ini dengan firman Allah S.W.T:

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا ﴿٧

Maksudnya: Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).

Surah al-Nisa’ (7)

Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat ini berkata bahawa terdapat tiga faedah yang boleh diperolehi daripadanya, antaranya ialah menerangkan bahawa salah satu illah atau sebab kepada perwarisan adalah القرابة (al-qorobah) iaitu hubungan kerabat. Keduanya, umum ayat ini pada semua قرابة sama ada dekat ataupun jauh. Dan ketiga, keumuman semua jenis bahagian yang telah ditetapkan Allah S.W.T. [Lihat: Tafsir al-Qurtubi; 5/46].

Berbalik kepada persoalan yang diajukan berkenaan anak angkat, maka perlulah kita meneliti terlebih dahulu akan apa yang dimaksudkan dengan anak angkat, dan juga perlu dilihat pada sebab-sebab perwarisan yakni sebab yang membolehkan seseorang itu mewarisi harta peninggalan seseorang.

Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, anak angkat bermaksud anak yang diambil dan dianggap sebagai anak sendiri. Ini bermakna, anak angkat tidak mempunyai sebarang pertalian darah dengan bapa angkatnya. Dalam ilmu perwarisan atau dalam bahasa arabnya, ilmu faraid atau ilmu mirath, ulama’ telah meletakkan sebab-sebab yang membolehkan bagi seseorang itu mewarisi harta si mati pada tiga perkara iaitu:

  • Hubungan keturunan
  • Pernikahan
  • Wala’ (Pembebasan hamba)

[Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab; 16/53]

Namun, ulama’ kontemporari menambah satu lagi sebab perwarisan pusaka iaitu Islam. [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji; 5/75].

Lihat pula pada apa yang dimaksudkan dengan harta pusaka, sepertimana yang ditulis dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (5/75), harta pusaka adalah hak milik yang boleh dibahagikan kepada sesiapa yang berkelayakan selepas kematian pemiliknya sama ada kerana hubungan kekeluargaan atau seumpamanya seperti hubungan perkahwinan dan wala’.

Maka, berdasarkan kepada definisi harta pusaka, sebab-sebab perwarisan serta maksud anak angkat, dapat kita menyatakan bahawa anak angkat tidak tersenarai sebagai waris yang berhak mewarisi harta pusaka ibu atau bapa angkatnya mengikut hukum faraid. Ini kerana anak angkat tidak mempunyai sebarang hubungan pertalian darah secara syarak dan tidak boleh dinasabkan kepada bapa angkat sekalipun anak angkat tersebut telah dibinkan kepada bapa angkatnya di dalam sijil kelahiran.

Meskipun begitu, tiada hak untuk mewarisi tidak bermakna dia tidak berhak untuk memperolehi harta pusaka dengan cara yang lain seperti hibah dan juga wasiat. Sebahagian ibu bapa zaman kini membiarkan terus anak angkat mereka tidak mendapat apa-apa disebabkan fahaman bahawa anak angkat tidak layak dan tidak berhak untuk diberikan apa-apa atau sebahagian dari harta pusaka.

Penutup

Kesimpulannya, dapat kami nyatakan di sini bahawa anak angkat tidak berhak untuk mewarisi harta pusaka ibu atau bapa angkat mereka disebabkan tiada pertalian darah yang membolehkan berlakunya perwarisan pusaka. Namun begitu, sebaiknya para waris yang lain mengasihani mereka ini (anak angkat) sepertimana ibu atau bapa angkat mereka mengasihani mereka sewaktu masih hidup. Oleh yang demikian, antara langkah awal atau inisiatif lain yang boleh diambil oleh ibu atau bapa angkat sekiranya ingin memberikan sebahagian harta mereka kepada anak angkat mereka adalah melalui proses hibah dan juga wasiat. Namun, mestilah kedua-dua proses ini dilakukan dengan cara yang adil iaitu tidak pula menyusahkan para waris yang lain atau bersikap berat sebelah dalam urusan pembahagian harta, serta mestilah mengikut petunjuk dan juga kadar yang telah ditentukan syariat Islam.

Akhir kalam, kami mendoakan agar Allah S.W.T memberikan kemudahan dalam segala urusan kita sama ada sebelum dan sesudah mati, moga Allah S.W.T memberikan kefahaman kepada kita dalam memahami agamaNya dan juga memberkati segala amal perbuatan kita.

Wallahua’lam.