Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

1680 isyarat bisu

Soalan:

Sebagaimana dimaklumi, berkata-kata melalui suara secara sengaja yang tidak termasuk bacaan solat akan menyebabkan solat itu terbatal. Soalan saya, bagaimana pula dengan isyarat seorang yang bisu menggunakan simbol bahasa isyarat? Adakah hukumnya sama dengan berkata-kata dengan suara?

 

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kiamat.

Satu qaedah fiqhiyyah menyebut:

الإِشَارَةُ المعْهُوْدَةُ لِلْأَخْرَسِ كَالْبَيَانِ بِاللِّسَانِ

Maksudnya: Isyarat yang diketahui bagi orang bisu adalah sama sepertimana penjelasan melalui lisan. (Rujuk al-Asybah wa al-Nazha’ir oleh al-Imam al-Suyuti, hlm. 31; al-Asybah wa al-Nazha’ir oleh Imam Ibn Nujaim, hlm. 343 dan al-Wajiz fi al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, hlm. 244)

Syeikh Ahmad al-Zarqa’ menjelaskan: Isyarat yang diketahui sebagaimana kebiasaannya bagi orang bisu dengan mana-mana anggotanya seperti tangannya atau kepalanya adalah diambilkira sebagaimana percakapan atau penjelasan melalui lisan. (Rujuk Syarh al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, hlm. 351)

Maka pada asalnya, kedudukan isyarat seorang yang bisu sama kedudukan dan hukumnya dengan percakapan seorang yang tidak bisu. Namun para ulama memberikan pengecualian kepada hal ini dalam tiga perkara, dan salah satunya ialah bahasa dan simbol isyarat tidak membatalkan solat sebagaimana perkataan secara sengaja yang membatalkan solat. Bahkan Imam al-Bujairimi menyebutkan bahawa jika seorang yang bisu berjual beli menggunakan bahasa isyarat ketika solat, jual beli itu dikira sah dan solatnya tidak terbatal. (Rujuk Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib 3/497)

Dalam isu ini, pendapat yang sahih dalam mazhab al-Syafi’e, salah satu qaul dalam mazhab Maliki, pandangan jumhur ulama mazhab Hanbali dan pandangan yang zahir dalam mazhab Hanafi menetapkan bahawa isyarat seorang yang bisu tidak membatalkan solat. (Rujuk Raudhah al-Tolibin 1/292; Mawahib al-Jalil 2/32; Kasyyaf al-Qina 1/378 dan Hasyiyah Ibn ‘Abidin 1/433)

Fatwa yang sama turut diberikan oleh Hujjah al-Islam Imam Abu Hamid al-Ghazali, kerana isyarat bukan satu bentuk percakapan, dan bukan juga perbuatan yang dikira banyak, dan isyarat juga tidak dikira percakapan meskipun difahami maknanya. (Rujuk Fatawa al-Imam  al-Ghazali, tahqiq oleh Syeikh Mustafa Abu Sway, hlm. 26)

 

Kesimpulan

Tuntasnya, kami nyatakan bahawa kaedah umum fiqh menetapkan isyarat seorang yang bisu mengambil hukum perkataan dan percakapan, namun ia mempunyai beberapa pengecualian.

Dalam hal ini, isyarat seorang yang bisu tidak membatalkan solat, meskipun ia difahami, dengan syarat isyarat tersebut tidak terlalu banyak dan tidak termasuk di bawah kategori perbuatan yang membatalkan solat.

Wallahu a’lam.