Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1698 : HUKUM MENJAUHKAN DIRI DARI KAWAN BAGI MENGELAKKAN SAKIT HATI DENGAN PERBUATAN DAN KATA-KATANYA

AK1698

Soalan :

Assalamualaikum ustaz, apa hukum jika kita menjauhkan diri dari seseorang kawan dengan sebab untuk mengelakkan diri kita dari sakit hati dengan kata-kata dan perbuatannya.

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapakan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Dalam isu ini kita perlu sedar bahawa sebagai seorang muslim hendaklah seseorang itu menjaga lidahnya dan juga anggota badannya dari menyakiti saudara muslimnya yang lain. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn ‘Amru R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Maksudnya : Seorang muslim itu adalah mereka yang membuatkan muslim yang lain selamat dari kejahatan lidahnya dan juga tangannya.

Riwayat Al-Bukhari (6484)

Imam Ibn Battal dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata :

والمراد بهذا الحديث الحض على ترك أذى المسلمين باللسان واليد والأذى كله

Maksudnya : Yang dimaksudkan dengan hadis ini adalah tuntutan supaya meninggalkan perbuatan menyakiti umat Islam dengan lidah, tangan, dan juga semua yang menyakitkan.

Rujuk Syarah Sahih Al-Bukhari, Ibn Battal (1/62)

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan di atas, perbuatan menjauhkan diri daripada seseorang yang menyebabkan berlakunya kesakitan ke atas diri kita sama ada menerusi lidahnya atau perbuatannya, adalah suatu perkara yang dianjurkan di sisi syarak. Ini dapat dilihat berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Mu’adz bin Jabal R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

خَمْسٌ مَنْ فَعَلَ وَاحِدَةً مِنْهُنَّ كَانَ ضَامِنًا عَلَى اللهِ مَنْ عَادَ مَرِيضًا، أَوْ خَرَجَ مَعَ جَنَازَةٍ، أَوْ خَرَجَ غَازِيًا، أَوْ دَخَلَ عَلَى إِمَامِهِ يُرِيدُ تَعْزِيزهُ وَتَوْقِيرَهُ، أَوْ قَعَدَ فِي بَيْتِهِ فَسَلِمَ النَّاسُ مِنْهُ وَسَلِمَ مِنَ النَّاسِ

Maksudnya : Lima perkara yang mana jika seseorang itu melakukan salah satu daripadanya maka dia akan mendapat perlindungan dari Allah, iaitu seseorang yang menziarahi orang sakit, atau keluar mengiringi jenazah (ke perkuburan), keluar berperang di medan jihad, pergi kepada seorang pemimpin dengan tujuan untuk menghormati dan memuliakannya,  atau seseorang yang duduk di dalam rumahnya lalu manusia selamat darinya (kejahatan lidah dan tangannya) dan dia juga selamat dari (kejahatan lidah dan tangan) manusia.

Riwayat Al-Thabrani dalam Al-Mu’jam Al-Kabir (55)

Kita dapat melihat bahawa Rasulullah S.A.W menyebutkan :

أَوْ قَعَدَ فِي بَيْتِهِ فَسَلِمَ النَّاسُ مِنْهُ وَسَلِمَ مِنَ النَّاسِ

Maksudnya : Atau seseorang yang duduk di dalam rumahnya lalu manusia selamat darinya (kejahatan lidah dan tangannya) dan dia juga selamat dari (kejahatan lidah dan tangan) manusia.

Maka ini adalah isyarat yang zahir bahawa perbuatan duduk di rumah itu merupakan suatu bentuk penjarakan sosial (social distancing) bagi mengelakkan keburukan berlaku ke atas diri kita dan begitu juga dari menghalang kita melakukan keburukan kepada orang lain.

Begitu juga terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Musa Al-Asy’ari R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

‏ مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالْجَلِيسِ السَّوْءِ كَمَثَلِ صَاحِبِ الْمِسْكِ، وَكِيرِ الْحَدَّادِ، لاَ يَعْدَمُكَ مِنْ صَاحِبِ الْمِسْكِ إِمَّا تَشْتَرِيهِ، أَوْ تَجِدُ رِيحَهُ، وَكِيرُ الْحَدَّادِ يُحْرِقُ بَدَنَكَ أَوْ ثَوْبَكَ أَوْ تَجِدُ مِنْهُ رِيحًا خَبِيثَةً

Maksudnya : Perumpamaan seorang individu yang baik (yang duduk bersama dengan kita) dan juga individu yang buruk adalah seperti penjual minyak wangi dan juga tukang besi. Duduk bersama penjual minyak wangi sama ada kamu akan membelinya atau kami dapat menikmati bauan wanginya. Manakala duduk bersama tukang besi pula sama ada menyebabkan terpercik api ke badan atau baju kamu, atau kamu mendapati bauan yang busuk darinya.

Riwayat Al-Bukhari (2101)

Imam Ibn Hajar al-Asqalani dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata :

وَفِي الْحَدِيثِ النَّهْيُ عَنْ مُجَالَسَةِ مَنْ يُتَأَذَّى بِمُجَالَسَتِهِ فِي الدِّينِ وَالدُّنْيَا وَالتَّرْغِيبُ فِي مُجَالَسَةِ مِنْ يُنْتَفَعُ بِمُجَالَسَتِهِ فِيهِمَا

Maksudnya : Pada hadis ini terdapatnya larangan bermajlis dengan mereka yang memberi gangguan (atau menyakiti) menerusi majlis bersamanya sama ada gangguan itu pada agama atau pada dunia seseorang. Begitu juga (hadis ini) menganjurkan supaya duduk bersama dengan mereka yang kita mendapat manfaat dari mereka dalam urusan agama dan juga urusan dunia.

Rujuk Fath al-Bari, Ibn Hajar (4/324)

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa dibenarkan untuk seseorang itu menjauhi individu-individu yang menyakitinya sama ada secara lisan atau secara fizikal, bagi mengelakkan sebarang keburukan yang lebih teruk berlaku kepada kedua belah pihak. Bahkan menjauhkan diri dari bermajlis bersama seseorang yang menyakiti kita sama ada dalam hal agama atau urusan keduniaan merupakan suatu perkara yang dituntut di sisi syarak.

Namun kami mencadangkan bahawa dalam masa yang sama, hendaklah teguran dengan cara yang terbaik diberikan kepadanya agar menghentikan perbuatan dan perkataan yang boleh mengguris perasaan dan menyakitkan hati orang lain. Selain itu juga, perbanyakkanlah doa semoga Allah S.W.T memelihara hubungan persahabatan serta mengurniakan kita sahabat-sahabat yang baik.

Akhir kalam kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.