Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

ak1709

Soalan

Assalamualaikum Dato Sahibus samahah, baru-baru ini saya ada singgah di satu kedai untuk beli barang. Dan kedai itu memasang ayat al-Quran sambil berniaga. Dalam masa yang sama tuan kedai itu berurusan dan bercakap-cakap ketika ayat al-Quran dipasang. Persoalan saya, bukankah Allah SWT menyuruh kita diam ketika ayat al-Quran dibaca. Dan adakah perbuatan itu merupakan satu dosa. Mohon penjelasan dato dan team. Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Al-Quran merupakan Kalam Allah SWT yang benar dan merupakan petunjuk kepada seluruh manusia. Allah SWT memerintahkan umat manusia supaya bertadabbur dengan ayat al-Quran supaya dapat menjadi iktibar dan pengajaran kepada setiap makhluk. Firman Allah SWT:

كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِّيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: (Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.

(Surah Sad, 29)

Ibnu kathir menyebut bahawa al-Quran merupakan petunjuk bagi setiap perkara yang benar dan sahih dan di ambil pengajarannya daripada akal pemikiran jelas (Lihat Tafsir Ibnu Kathir, 7/63)

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, ia lebih tertumpu kepada ayat Allah SWT yang menceritakan berkenaan dengan adab dalam mendengar al-Quran.

Firman Allah SWT:

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya: Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.

(Surah al-A’raf, 204)

Imam Qurtubi menyebut di dalam tafsirnya bahawa, ayat ini diturunkan ketika Nabi SAW melakukan solat. Hal ini seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud RA menyatakan athar daripada Said RA menyebut: ketika golongan musyrikin datang seketika mana Rasulullah SAW mengerjakan solat, lalu mereka bersembang sesama mereka dan tidak mendengari bacaan al-Quran dengan percakapan yang lagha bertujuan mengganggu Baginda SAW dalam mengerjakan solat. Imam Qurtubi menaqalkan pandangan al-Nuqash menyebut bahawa, para ahli Tafsir berpendapat perintah mendengar ini ketika mengerjakan solat fardhu dan sunat. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 7/353-354)

Selain itu, Imam Ibnu Kathir juga menaqalkan pandangan Ibnu Abbas RA menyatakan bahawa ayat (وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنْصِتُوا) iaitu ketika berada di dalam solat fardhu. Begitu juga yang diriwayatkan oleh Abdullah bin al-Mughaffal. (Lihat Tafsir Ibnu Kathir, 3/537)

Imam al-Nawawi menyebut, perlu ditekankan dalam perkara menghormati dan memuliakan al-Quran ke atas semua perkara. Dalam perkara ini terdapat sebahagian daripada manusia yang lalai mengambil mudah dalam membaca al-Quran. Maka daripada perkara ini, adalah untuk menjauhkan daripada perbuatan bergelak ketawa, berbisik serta bersembang ketika bacaan al-Quran didengarkan melainkan bercakap di dalam perkara yang tidak dapat dielakkan. (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamilah al-Quran hlm 92)

Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan, dan dalam perkara tidak mendengar bacaan al-Quran dan tidak diam di dalam majlis yang ada bacaan al-Quran maka makruh yang bersangatan hukumnya. Dan ke atas golongan Mukmin diperintahkan untuk menjaga dalam mendengari bacaan al-Quran seperti menjaga adabnya ketika membacanya. Dan diharuskan beradab di dalam majlis tilawah al-Quran. (Lihat Tafsir munir , 9/229-230)

Dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah menyebut, mendengar al-Quran dan memahaminya merupakan adab yang digalakkan. Dan makruh berkata-kata di dalam majlis membaca al-Quran. Syeikh Abu Muhammad bin Abd al-Salam menyatakan, tidak mengapa bercakap sekiranya ada tuntutan maslahah. Selain itu, mendengar bacaan al-Quran adalah wajib sekiranya tidak ada keuzuran yang disyara’kan. Dan di anatara keuzuran meninggalkan mendengar bacaan al-Quran kerana sibuk dalam bekerja seperti di pasar bertujuan untuk mencari rezeki dan di rumah dalam melakukan pekerjaan menguruskan urusan rumah tangga seperti memasak dan lain-lain. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 22/37; 4/86)

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan yang diajukan serta perbahasan yang diberikan, dapat disimpulkan bahawa tidak menjadi satu kesalahan malah dibenarkan untuk tidak mendengar bacaan al-Quran yang dipasangnya disebabkan kesibukan dalam pekerjaan.

Namun harus memastikan keadaan dan suasana kedai tersebut seperti keadaan yang tidak terlalu bising dan sibuk seperti di pasar-pasar dan sebagainya. Ini bagi memastikan kemuliaan bacaan ayat suci al-Quran terhindar daripada perbuatan dan percakapan yang lagha.

Justeru, sebolehnya kita menjaga adab dengan sebaiknya dalam mendengar al-Quran seperti tidak meninggikan suara tanpa keperluan yang mendesak ketika berurusan dan kembali mendengarnya selepas selesai pekerjaan yang dilakukannya.

Selain itu, boleh rujuk artikel AL-KAFI #579: HUKUM MENDENGAR AL-QURAN untuk penjelasan yang lebih lanjut.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agamaNya serta taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syari’atNya dengan sebaiknya.