Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

1711 kuda

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu persoalan. Saya tinggal di luar negara dan baru-baru ini saya dihadiahkan oleh sahabat saya daging kuda. Soalan saya, bolehkah kita memakan daging kuda? Mohon pencerahan mengenai perkara ini.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya : “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik”

(Surah al-Baqarah : 168)

Syeikh al-Sa’di telah mengulas ayat ini dengan mengatakan bahawa ianya ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang-orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi ini, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan binatang-binatang yang telah dihalalkan buat mereka mengambilnya (memakan dan mengambil manfaat daripadanya), bukan dengan cara merampasnya, atau mencuri atau dengan hasil muamalat (jual beli) yang diharamkan atau perkara-perkara yang diharamkan.  Manakala toyyiban pula ialah bukan daripada perkara yang buruk (kotor dan jijik) seperti bangkai, darah, daging khinzir dan lain-lain. Ayat ini adalah merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu (untuk dimakan dan diambil manfaatnya) adalah harus. (Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/80)

Hukum memakan daging kuda

Mengenai perkara ini, Imam al-Nawawi ada menyatakan bahawa dagingnya adalah halal dan tidak makruh memakannya. Ini adalah merupakan pendapat mazhab Syafie dan majoriti ulama seperti Abdullah bin al-Zubair, Fadhalah bin ‘Ubaid, Anas bin Malik, Asma’ binti Abu Bakar, Suwaid bin Ghafalah, ‘Alqamah, al-Aswad, ‘Atha’, Syuraih, Sa’id bin Jubair, al-Hasan al-Basri, Ibrahim al-Nakha’i, Hammad bin Abu Sulaiman, Ahmad, Ishaq, Abu Yusuf, Muhammad al-Syaibani, Abu Daud dan lain-lain. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/4)

Hal ini adalah berdasarkan daripada riwayat Jabir bin Abdullah R.A bahawa :

أَكَلْنا زَمَنَ خَيْبَرَ الخَيْلَ، وَحُمُرَ الوَحْشِ، وَنَهانا النبيُّ ﷺ عَنِ الحِمارِ الأهْلِيِّ

Maksudnya : “Pada waktu perang Khaibar kami pernah memakan (daging) kuda dan keldai liar dan Nabi SAW melarang kami daripada memakan (daging) keldai jinak (peliharaan).” Riwayat Muslim (1941)

Begitu juga dengan hadis yang diriwayatkan daripada Asma’ binti Abu Bakar R.Anhuma bahawa :

نَحَرْنا على عَهْدِ رَسولِ اللَّهِ صَلّى اللهُ عليه وسلَّمَ فَرَسًا فأكَلْناهُ

Maksudnya : “Kami telah menyembelih kuda pada zaman Rasulullah SAW dan kami memakannya.” Riwayat al-Bukhari (5512) dan Muslim (1942)

Di sana terdapat pendapat yang menyebutkan bahawa hukum daging kuda adalah makruh. Pendapat ini disandarkan kepada Ibn ‘Abbas, al-Hakam, Malik dan Abu Hanifah. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/4 dan Taudhih al-Ahkam, Cet. Dar Ibn Hazm, 3/497)

Antara hujah mereka, firman Allah SWT :

وَالْخَيْلَ وَالْبِغَالَ وَالْحَمِيرَ لِتَرْكَبُوهَا وَزِينَةً

Maksudnya : “Dan (Allah menjadikan) kuda dan baghal serta keldai untuk kamu menunggangnya, dan untuk menjadi perhiasan.”

(Surah al-Nahl : 8)

Mereka mengatakan bahawa ayat di atas menunjukan bahawa Allah menjadikan haiwan-haiwan ini sebagai haiwan tunggangan dan perhiasan. Dan Allah SWT tidak menyebut pun di dalam ayat tersebut manfaatnya untuk dijadikan sebagai makanan (dimakan). Oleh itu, ini menunjukan bahawa tidak ada manfaat lain bagi haiwan-haiwan tersebut melainkan apa yang telah disebut. Selain itu, kuda diletakkan sekali bersama keldai dan baghal yang mana menunjukan mereka juga berkongsi hukum yang sama iaitu haram (dimakan). (Lihat al-At’imah, oleh Dr. Soleh al-Fauzan, hlm. 41-42 dan al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/4)

Begitu juga, riwayat daripada Khalid bin al-Walid R.A bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ أَكْلِ لُحُومِ الْخَيْلِ، وَالْبِغَالِ، وَالْحَمِيرِ، وَكُلِّ ذِي نَابٍ مِنَ السِّبَاعِ

Maksudnya : “Rasulullah SAW telah melarang daripada memakan daging kuda, baghal, keldai dan setiap haiwan buas yang bertaring.” Riwayat al-Nasaie (4332)

Para ulama daripada kalangan imam-imam hadis dan selain mereka telah bersepakat bahawa hadis di atas adalah dhaif (lemah). Dan sebahagian mereka pula mengatakan ia telah dimansuhkan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/96)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan bahawa daging kuda adalah halal dan tidak makruh memakannya. Inilah pendapat majoriti ulama sebagaimana yang telah dinukilkan oleh Imam al-Nawawi.

Lebih-lebih lagi, apabila menyebutkan sebahagian manfaat daripada sesuatu perkara, tidaklah menafikan sebahagian manfaatnya yang lain. Oleh itu, dengan menyebut manfaat kuda sebagai haiwan tunggangan dan perhiasan, tidaklah menunjukan manfaatnya itu hanya terhad kepada kedua-dua perkara itu sahaja. Akan tetapi dikhususkan dengan menyebut kedua-dua manfaat ini kerana kedua-dua manfaat itu adalah merupakan tujuannya yang terpenting. Hal ini kerana kebiasaannya seekor kuda memang dijadikan sebagai haiwan tunggangan dan perhiasan berbanding menjadikannya sebagai makanan. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/5 dan  Taudhih al-Ahkam, Cet. Dar Ibn Hazm, 3/497)

Cukuplah hadis Asma’ binti Abu Bakar R.Anhuma menjadi hujah bagi menolak mereka yang berpendapat bahawa daging kuda haram dimakan (atau makruh) kerana keluarga Abu Bakar R.A tidak akan melakukan sesuatu perbuatan (perkara) pada zaman Nabi SAW melainkan mereka mengetahui akan keharusannya (boleh dilakukan) disebabkan oleh kerapnya mereka bersama dengan Nabi SAW. (Lihat Minhah al-‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 9/206)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.