Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

alkafi1714

Soalan

Assalamualaikum w.b.t. Saya ingin bertanyakan satu soalan berkenaan pusaka. Soalan saya berapakah bahagian pusaka untuk nenek sekiranya seseorang mati dengan meninggalkan nenek sahaja? Mohon penjelasan. Terima kasih.

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah atas segala kurniaan dan rahmat buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan Baginda Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda S.A.W.

Kami mulakan kalam ini dengan firman Allah S.W.T:

وَلِأَبَوَيْهِ لِكُلِّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا السُّدُسُ مِمَّا تَرَكَ إِن كَانَ لَهُ وَلَدٌۚ فَإِن لَّمْ يَكُن لَّهُ وَلَدٌ وَوَرِثَهُ أَبَوَاهُ فَلِأُمِّهِ الثُّلُثُۚ فَإِن كَانَ لَهُ إِخْوَةٌ فَلِأُمِّهِ السُّدُسُۚ

Maksudnya: Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam.

Surah al-Nisa’ (11)

Dalam ayat kesebelas surah al-Nisa’, Allah S.W.T menerangkan berkenaan pembahagian pusaka, dimulakan dengan pembahagian terhadap anak, kemudian disebut pula berkenaan pembahagian pusaka kepada kedua ibu bapa. Dan dari ayat ini, dapat difahami bahawa sekiranya si mati ada meninggalkan anak, maka bahagian pusaka bagi kedua ibu bapanya adalah 1/6 setiap seorang. Dan sekiranya mempunyai anak, maka bahagian ibu adalah satu pertiga. Dan juga sekiranya si mati ada adik-beradik, maka bahagian ibunya kembali menjadi satu perenam.

Berbalik kepada persoalan yang diajukan berkenaan bahagian pusaka bagi nenek, maka pembahagian pusaka bagi nenek meskipun tiada disebut di dalam al-Quran, namun ia ada disebut dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Qobisoh bin Dzuaib R.A berkenaan sunnah Rasulullah S.A.W padanya:

جَاءَتِ الجَدَّةُ إِلَى أَبِي بَكْرٍ تَسْأَلُهُ مِيرَاثَهَا، قَالَ: فَقَالَ لَهَا: مَا لَكِ فِي كِتَابِ اللَّهِ شَيْءٌ، وَمَا لَكِ فِي سُنَّةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَيْءٌ، فَارْجِعِي حَتَّى أَسْأَلَ النَّاسَ، فَسَأَلَ النَّاسَ فَقَالَ المُغِيرَةُ بْنُ شُعْبَةَ: «حَضَرْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَعْطَاهَا السُّدُسَ» فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ: هَلْ مَعَكَ غَيْرُكَ؟ فَقَامَ مُحَمَّدُ بْنُ مَسْلَمَةَ الأَنْصَارِيُّ، فَقَالَ مِثْلَ مَا قَالَ المُغِيرَةُ بْنُ شُعْبَةَ، فَأَنْفَذَهُ لَهَا أَبُو بَكْرٍ قَالَ: ثُمَّ جَاءَتِ الجَدَّةُ الأُخْرَى إِلَى عُمَرَ بْنِ الخَطَّابِ تَسْأَلُهُ مِيرَاثَهَا، فَقَالَ: مَا لَكِ فِي كِتَابِ اللَّهِ شَيْءٌ، وَلَكِنْ هُوَ ذَاكَ السُّدُسُ، فَإِنْ اجْتَمَعْتُمَا فِيهِ فَهُوَ بَيْنَكُمَا، وَأَيَّتُكُمَا خَلَتْ بِهِ فَهُوَ لَهَا

Maksudnya: “Seorang nenek datang menemui Abu Bakar bertanya tentang pusakanya. Perawi berkata: Beliau menjawab: Menurut Kitab Allah, kamu tidak mendapat sebarang hak. Demikian juga menurut sunnah Rasulullah SAW. Baliklah dahulu, saya akan bertanya hal ini kepada orang lain. Lalu al-Mughirah bin Syu’bah berkata: Saya pernah bersama-sama Rasulullah SAW dan Baginda menyerahkan satu perenam (1/6) untuknya (nenek). Abu Bakar bertanya: Apakah ada orang lain bersama kamu? Lalu Muhammad bin Maslamah al-Ansari bangun dan berkata sebagaimana yang diperkatakan oleh al-Mughirah bin Syu’bah lantas Abu Bakar pun melaksanakannya. Perawi berkata: Kemudian seorang nenek datang menemui Umar al-Khattab bertanya tentang pusakanya. Beliau menjawab: Menurut Kitab Allah, kamu tidak memperoleh apa-apa cuma kecuali satu perenam (1/6) itu sahaja. Jika kamu berkongsi (lebih daripada seorang), ia dibahagikan antara kamu. Jika ada yang menolaknya, ia menjadi hak kepada kongsinya.

Riwayat Tirmizi (2101), Abu Daud (2894), Ibn Majah (2724) Imam Tirmizi menilai hadith ini sebagai hadith hasan shahih. [Lihat: Sunan al-Tirmizi; 4/420]

Hadith ini jelas menunjukkan bahawa bahagian pusaka bagi nenek adalah sebanyak satu perenam (1/6). Ulama’ telah berijma’ bahawa nenek hanya memperoleh satu perenam (1/6) ketika bersendirian atau ketika lebih daripada seorang. Sekiranya lebih, maka dibahagikan secara sama rata antara mereka daripada bahagian satu perenam tersebut.

Nenek yang dimaksudkan di sini adalah ibu kepada ibu dan ke atas, ibu kepada bapa dan ke atas, ibu kepada atuk dan ke atas, dan tidak wujud atuk (dzawi al-arham) yang tidak boleh mewarisi secara fardh mahupun ta’sib, di antaranya dengan si mati. Manakala bagi nenek yang tidak shahih (selain daripada yang dinyatakan), maka dia bukanlah waris, namun ia tergolong dalam dzawi al-Arham.

Meskipun begitu, terdapat beberapa syarat dan keadaan yang membolehkan nenek memperoleh bahagiannya satu perenam daripada harta pusaka. Syarat-syaratnya ialah:

  • Ketiadaan ibu. Ini kerana, nenek mengambil tempat ibu sekiranya ibu tiada. Maka, sekiranya ibu ada, dia menghalang nenek daripada memperoleh bahagian dalam harta pusaka sama ada nenek tersebut berseorangan ataupun ramai.

Meskipun begitu, nenek hanya mengambil atau menggantikan tempat ibu dengan kadar satu perenam sahaja, tidak akan berubah kepada satu pertiga sepertimana keadaan ibu apabila dia tiada anak dan juga saudara-mara lebih daripada dua orang.

Oleh yang demikian, syarat ketiadaan ibu ini juga bertepatan dengan sebuah lagi hadith dari Buraidah R.A:

«أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَعَلَ لِلْجَدَّةِ السُّدُسَ، إِذَا لَمْ يَكُنْ دُونَهَا أُمٌّ»

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi Muhammad S.A.W menjadikan (bahagian) bagi nenek adalah sebanyak satu perenam, sekiranya tidak terdapat di bawahnya (peringkat bawahnya) seorang ibu.“

Riwayat Abu Daud (2895)

  • Tidak wujud penghalang yang menghalangnya daripada menerima pusaka. Maka, bapa menghalang ibu kepada bapa, dan atuk menghalang ibu kepada atuk. Nenek yang lebih dekat dengan si mati menghalang nenek yang lebih jauh dari sudut قربة qurbahnya iaitu keakraban.

Dalam erti kata yang lain, nenek, ibu kepada bapa boleh dihalang oleh anaknya sendiri iaitu bapa kepada si mati jika bapa kepada si mati masih hidup. Ini berdasarkan kepada kaedah “Seseorang yang dihubungkan kepada si mati melalui perantaraan, maka perantara tersebut akan menghijabnya (menghalangnya daripada mendapat pusaka).

[Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i; 4/376-377]

Penutup

Kesimpulannya, nenek yang shahih layak menerima pusaka dan bahagiannya sepertimana yang dinyatakan di dalam hadis adalah sebanyak satu perenam. Akhir kalam, kami mendoakan agar Allah S.W.T memberikan kefahaman kepada kita dalam memahami agamaNya, menetapkan keimanan dalam jiwa kita, mengurniakan keikhlasan dan kerajinan dalam diri kita bagi menunaikan ibadah kepadaNya serta memberkati segala amal perbuatan kita.

Wallahua'lam.