Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

al Kafi 1723

Soalan :         

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu persoalan. Dilaporkan bahawa terdapat produk kosmetik seperti sabun yang mana antara kandungan utamanya adalah susu keldai (peliharaan). Soalan saya, apakah hukum menggunakan sabun susu keldai tersebut? Adakah ia haram sepertimana hukum meminumnya?  Mohon pencerahan mengenai perkara ini.

Jawapan :       

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan riwayat Ali bin Abi Talib R.A bahawa katanya :

أنَّ رَسولَ اللهِ صَلّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ نَهى عن مُتْعَةِ النِّساءِ يَومَ خَيْبَرَ، وَعَنْ لُحُومِ الحُمُرِ الإنْسِيَّةِ

Maksudnya : “Sesungguhnya Rasulullah SAW pada hari Khaibar telah melarang daripada nikah mut’ah dan daripada (memakan) daging keldai peliharaan.” Riwayat al-Bukhari (4216) dan Muslim (1407)

Majoriti ulama sama ada dalam kalangan salaf, mahupun khalaf mengharamkan memakan daging keldai jinak (peliharaan). Dan al-Khattabi telah mengatakan bahawa ia adalah merupakan pendapat seluruh ulama (‘ammah al-Ulama). (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/6)

Persoalan mengenai hukum memakan daging keldai sama ada keldai jinak atau liar, telah kami bahas secara panjang lebar di dalam ruangan :

  • Al-Kafi li al-Fatawi Siri ke-326 : Hukum Memakan Daging Keldai (Edisi Kemaskini)
  • Al-Kafi li al-Fatawi Siri ke-1712 : Adakah Zonkey Halal Dimakan?

Haram minum susu keldai peliharaan

Terlebih dahulu, suka untuk kami sebutkan juga, antara sebab pengharaman daging keldai jinak (peliharaan) ialah kerana zatnya sendiri dianggap sebagai najis. Hal ini adalah sebagaimana riwayat Anas bin Malik R.A menceritakan bahawa pada hari khaibar Rasulullah SAW meminta penyerunya untuk menyampaikan kepada manusia :

إنَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ يَنْهَيَانِكُمْ عَنْ لُحُومِ الْحُمُرِ فَإِنَّهَا رِجْسٌ أَوْ نَجِسٌ

Maksudnya : “Sesungguhnya Allah dan rasul-Nya melarang kalian semua daripada memakan daging keldai (peliharaan) kerana ia adalah kotor atau najis.” Riwayat al-Bukhari (4198) dan Muslim (1940)

Oleh kerana itu, Imam Ibn Qudamah menyebutkan bahawa majoriti ulama mengharamkan susu keldai (peliharaan), melainkan ‘Ata’, Tawus, dan al-Zuhri. Namun, pendapat yang awal (majoriti ulama) adalah lebih kuat (sahih) kerana hukum susu (sesuatu haiwan) adalah mengikut hukum dagingnya. (Lihat al-Mughni, 9/408)

Begitu juga, pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji dan Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menyebutkan bahawa susu binatang yang dagingnya tidak halal dimakan seperti keldai (jinak atau peliharaan) dan seumpamanya adalah najis. Ini kerana hukum susu adalah sama dengan dagingnya dan dagingnya adalah najis. Oleh itu, ia haram diminum kecuali susu manusia kerana sekalipun daging manusia haram dimakan tetapi susunya adalah bersih dan suci. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, Cet. Dar al-Qalam, 1/40; 1/503 dan al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 128)

Imam al-Nawawi ada menukilkan daripada ulama-ulama mazhab Syafie bahawa haram memakan najis ‘aini seperti bangkai, susu keldai (peliharaan), air kencing dan lain-lain. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/36)

Hukum menggunakan sabun susu keldai peliharaan

Berbalik kepada persoalan yang ditanyakan, para ulama telah membahaskan mengenai perkara ini di dalam kitab-kitab mereka iaitu hukum menggunakan sabun yang dibuat daripada bahan-bahan najis. Menurut pendapat terpilih dalam kalangan ulama mazhab Hanafi bahawa sabun yang diperbuat daripada minyak yang bernajis atau mutanajjis adalah suci. Oleh itu, harus menggunakannya dan berjual beli dengannya. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 26/301)

Begitu juga, dalam kalangan ulama mazhab Syafie turut bersetuju dengan pendapat bahawa harus menggunakan sabun yang dibuat daripada minyak yang bernajis. Mengenai perkara ini, Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari ada menukilkan daripada kitab al-Majmu’ bahawa harus melumurkan kapal dengan lemak bangkai (haiwan), juga membuat sabun dengan minyak bernajis, memberi makan bangkai haiwan kepada anjing-anjing dan burung-burung, serta memberi makan makanan yang terkena najis (mutanajjis) kepada haiwan ternakan. (Lihat Asna al-Matalib, 1/278)

Syeikh al-Ramli menjelaskan lagi dengan mengatakan bahawa seseorang itu harus menggunakan sabun yang dibuat daripada minyak bernajis pada anggota badannya atau pakaiannya. Kemudian, dia membersihkannya (yakni sabun tersebut daripada badan dan pakaiannya). (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 2/384-385 dan Hasyiah al-Ramli ‘ala Asna al-Matalib, 1/278)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa sabun yang menggunakan susu keldai peliharaan sebagai bahan utamanya adalah harus dipakai sama ada pada anggota badan mahupun pakaian. Akan tetapi, hendaklah kemudiannya dibersihkan semula anggota badan atau pakaian tersebut, daripada kesan sabun itu dengan air yang bersih bagi menyucikannya sebagaimana difahami daripada kenyataan Syeikh al-Ramli.

Walau bagaimanapun, kami juga ingin mengesyorkan sekiranya tiada apa-apa keperluan untuk menggunakan sabun tersebut, maka adalah lebih baik untuk dielakkan penggunaannya kerana ia lebih dekat dengan sifat seorang Muslim itu yang suka pada kebersihan dan menjauhi segala perkara kotor serta najis. Lebih-lebih lagi, sabun adalah termasuk dalam perkara tahsiniyyat (menambah baik) dan bukannya hajiyat (keperluan) atau darurat (keperluan mendesak).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam mengamalkan kehidupan beragama. Ameen.