Soalan:
Assalamualaikum WBT. Bolehkah saya menggunakan ‘sake’ (sejenis arak jepun) dalam produk saya? Sebab ada sesetengah orang mengatakan haram menggunakan untuk minuman atau makanan, adapun untuk kegunaan luaran maka ia dibolehkan. Mohon pencerahan.
Ringkasan Jawapan:
‘Sake’ ialah sejenis minuman arak yang lazim dalam kalangan bangsa Jepun. Ia diperbuat daripada hasil penapaian kanji beras yang telah digilap untuk mengeluarkan dedak beras. ‘Sake’ dihasilkan melalui proses pembiran seakan bir di mana kanji ditukarkan kepada gula sebelum ia ditukarkan kepada alkohol.
Justeru, kami cenderung mengatakan bahawa ia adalah sejenis arak dan haram menggunakannya. Kita tidak boleh mengambil manfaat daripanya sama ada untuk tujuan makanan, minuman, perubatan kosmetik, minyak wangi dan lain-lain. Wallahu a’lam.
Huraian Jawapan:
Wa’alaikumussalam WBT. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat. Firman Allah S.W.T:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah semuanya kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”.
Surah al-Ma’idah (90)
‘Sake’(bahasa Jepun: 酒) [sa-ké] ialah sejenis minuman arak yang lazim dalam kalangan bangsa Jepun. Ia diperbuat hasil daripada penapaian kanji beras yang telah digilap untuk mengeluarkan dedak beras. ‘Sake’ dihasilkan melalui proses pembiran seakan bir di mana kanji ditukarkan kepada gula sebelum ia ditukarkan kepada alkohol, tidak seperti arak jenis lain di mana alkohol (etanol) terhasil selepas penjalanan penapaian yang hadir secara semula jadi dalam buah, biasanya buah anggur. (Rujuk: https://ms.wikipedia.org/wiki/Sake). Justeru, jelaslah bahawa ‘sake’ ialah sejenis arak dan bukannya semata-mata alkohol.
Arak adalah semua perkara yang memabukkan dan hukum pengharamannya telah disepakati oleh para fuqaha’. Ulama al-Syafieyyah memandang bahawa arak adalah najis kerana ia termasuk dalam jenis bahan cecair yang memabukkan.
Berkata Imam al-Nawawi: “Adapun arak itu ia adalah najis berdasarkan firman Allah S.W.T: ‘Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah semuanya kotor (keji) dari perbuatan syaitan’. Dan kerana ianya (arak) adalah suatu yang diharamkan untuk mengambilnya tanpa darurat, maka kedudukannya adalah najis sama seperti hukum darah”. (Rujuk: Al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab, 2/572).
Justeru, dalam aspek penggunaan dalaman atau sebagai minuman, para ulama’ bersepakat mengharamkannya. Adapun dalam aspek penggunaan luaran seperti untuk tujuan perubatan, pembuatan minyak wangi atau produk kosmetik maka hukumnya juga adalah haram.
Berkata Shaikh Wahbah al-Zuhaili: “Arak dan khinzir bagi orang Muslim adalah merupakan harta yang tidak bernilai di sisi syarak, maka tidak diharuskan bagi seseorang Muslim untuk mengambil manfaat daripadanya melainkan dalam keadaan darurat dan (diambil) dengan kadar darurat (yang perlu sahaja) seperti untuk menghilangkan kelaparan atau kehausan yang teramat sangat sehingga boleh memboleh membawa kepada kebinasaan, dan seseorang itu tidak menjumpai makanan atau minuman lain selainnya, maka (dalam keadaan tersebut) diharuskan baginya untuk mengambil manfaat daripada salah satu dari keduanya sekadar yang boleh menyelamatkan dirinya”. (Rujuk: Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 4/2879).
Berkata Shaikh Wahbah al-Zuhaili: “Hukum bagi (arak) ialah haram diminum dalam kuantiti banyak atau sedikit kecuali dalam keadaan darurat kerana ianya (arak) adalah haram secara zatnya……. Dan tidak boleh mengambil manfaat daripadanya sama ada untuk tujuan perubatan atau selainnya kerana Allah tidak menjadikan penawar (ubat) bagi kita daripada suatu perkara yang diharamkan ke atas kita”. (Rujuk: Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 7/5474).
Disebut di dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah: “Jumhur fuqaha’ mengatakan haram untuk mengambil manfaat daripada arak bagi tujuan perubatan, dan sebarang bentuk manfaat yang lain, seperti menggunakannya dalam minyak wangi atau makanan atau tanah liat”. (Rujuk: Al-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah, 5/25).
Menurut Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia terdahulu, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang membincangkan isu alkohol dalam makanan, minuman, pewangi dan ubat-ubatan pada 14 hingga 16 Julai 2011 telah bersetuju memutuskan seperti berikut:
- Setiap minuman arak adalah mengandungi alkohol. Walaubagaimanapun bukan semua alkohol itu adalah arak. Alkohol yang diperolehi dari proses pembuatan arak, hukumnya haram dan najis.
- Manakala alkohol yang diperolehi bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, tetapi haram (tidak boleh) diminum dalam bentuk aslinya kerana ia adalah racun dan boleh membunuh.
- Minuman ringan yang diproses/dibuat bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak dan mempunyai alkohol di bawah aras 1%v/v adalah harus (boleh) diminum.
- Manakala minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.
- Makanan atau minuman yang mengandungi alkohol secara semulajadi seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahannya, atau alkohol yang terkandung itu terjadi secara sampingan semasa proses pembuatan makanan atau minuman adalah tidak najis dan harus (boleh) dimakan/diminum.
- Makanan atau minuman yang mengandungi bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan sekiranya alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak dan kuantiti alkohol dalam produk akhir itu adalah tidak memabukkan dan kadar alkohol tidak melebihi 0.5%.
- Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol sebagai bahan pelarut adalah tidak najis dan diharuskan sekiranya alkohol tersebut bukan diambil melalui proses pembuatan arak.
Kesimpulan
Justeru, berdasarkan perbincangan di atas kami cenderung mengatakan bahawa hukum bagi arak adalah najis dan haram menggunakannya. Jelaslah bahawa kita tidak boleh mengambil manfaat daripanya sama ada untuk tujuan makanan, minuman, perubatan kosmetik, minyak wangi dan lain-lain. Semoga Allah memberikan kita semua kefahaman yang benar dalam beragama. Ameen.