Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1739 : HUKUM MENGUNJUNGI MEMORIAL PARK DAN TUGU PERINGATAN

AK1739

SOALAN

Assalamualaikum WBT. Saya ingin bertanya, apakah hukum orang Islam mengunjungi memorial park dan tugu peringatan seperti peringatan perang dan seumpamanya?

Mohon penjelasan SS Mufti. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Hukum mengunjungi memorial park dan tugu peringatan adalah dibolehkan dengan syarat tiada mempunyai bentuk patung-patung yang menyerupai manusia atau haiwan. Selain itu, hendaklah tiada unsur-unsur penyembahan, pemujaan (ta’zim) dan syirik, serta amalan-amalan lain yang bertentangan dengan syarak.

Namun, jika sekiranya terdapat unsur-unsur tersebut, maka umat Islam adalah ditegah daripada mengunjunginya berdasarkan kepada keputusan Majlis Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-86.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Kami sudah membahaskan beberapa perbahasan berkaitan perkara ini dalam  artikel Irsyad al-Fatwa Siri ke-27 : Hukum Pembinaan Monumen atau Memorial Sebagai Peringatan. (Rujuk pautan berikut untuk bacaan lanjut : https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/2066-27)

Kami menukilkan keputusan Majlis Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-86 yang bersidang pada 21 – 23 April 2009, membincangkan Hukum Pembinaan Monumen Peringatan Bagi Angkatan Tentera.

Muzakarah tersebut telah memutuskan bahawa Islam menegah umatnya melakukan apa jua perbuatan dan amalan yang mempunyai unsur-unsur syirik dan menyerupai amalan jahiliyah serta berlebihan-lebihan dan membazir. Oleh itu, Islam mengharamkan perbuatan membina, mengukir atau memahat apa jua bentuk patung sama ada manusia atau haiwan untuk tujuan pemujaan, peringatan atau sebagainya. Hal ini berdasarkan kepada hadith-hadith Rasulullah SAW yang melarang keras berkaitan perkara tersebut, antaranya hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah RA, beliau berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda :

إِنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَذَابًا عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ القِيَامَةِ المُصَوِّرُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya orang yang paling berat siksaannya nanti di Hari Kiamat ialah orang yang membuat gambar (patung).

Hadith riwayat al-Bukhari (5950)

Walau bagaimanapun, jika sekiranya binaan tanda peringatan tersebut hanya mengandungi ukiran nama dan bentuk selain daripada manusia dan haiwan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa ia adalah diharuskan selagi mana tidak berlaku pembaziran dan perbuatan-perbuatan yang boleh menjejaskan akidah seperti unsur-unsur pemujaan dan amalan-amalan lain yang bertentangan dengan syarak.

Oleh yang demikian, berdasarkan keputusan muzakarah di atas, kami berpandangan bahawa hukum mengunjungi memorial park atau tugu peringatan adalah dibolehkan dengan syarat tiada mempunyai bentuk patung-patung yang menyerupai manusia atau haiwan. Selain itu, hendaklah tiada unsur-unsur penyembahan, pemujaan dan syirik, serta amalan-amalan lain yang bertentangan dengan syarak.

Namun, jika sekiranya terdapat unsur-unsur tersebut, maka umat Islam adalah ditegah daripada mengunjunginya berdasarkan kepada keputusan Majlis Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-86.

WaAllahu a’lam.