Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1741 : HUKUM PERMAINAN MEMUKUL PINATA

af1741 compressed

Soalan:

Assalamualaikum wrm. wbt.,

Semoga Ustaz sihat dan sentiasa di rahmati Allah SWT. Kawan baik saya minta saya tanya Ustaz mengenai permainan Pinata yang bakal diadakan di majlis sambutan hari lahir cucunya. Dari carian google yang saya perolehi, asal usul permainan Pinata ini ada di China. Melalui Marco Polo ia di bawa ke Itali, Sepanyol dan kemudian di Mexico. Permainan ini kemudian berkembang sehingga menjadi satu alat bagi orang Katolik. Nampaknya game ini diadakan oleh org Islam kita. Adakah game Pinata ini haram untuk diadakan atau boleh dimain oleh orang Islam kita?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah ﷻ, selawat serta salam ke atas Junjungan Mulia, Nabi Muhammad ﷺ, ke atas Ahli Bait, serta Para Sahabat baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.

 

Ringkasan Jawapan:

Hukum permainan memukul pinata adalah diharuskan dengan syarat tiada niat untuk meniru ajaran bukan islam dan hanya untuk permainan sahaja.

 

Huraian Jawapan:

Kami mulakan dengan menukilkan kaedah berikut. Kaedah tersebut ialah:

الْحُكْمُ عَلَى الشَّيْءِ فَرْعٌ عَنْ تَصَوُّرِهِ

Maksudnya: “Hukum atas suatu perkara terbina atas pandangan keseluruhan perkara tersebut.”

Al-Jurjani berkata: "Tasawwur merupakan menghasilkan gambaran sesuatu pada akal dengan tepat.” Lihat al-Ta'rifat (hlm. 59).

Abu al-Baqa' al-Kafawi berkata: "Tasawwur kadang-kadang dengan maksud ilmu atau pengetahuan. Dan ia bukanlah berdasarkan kepada tasawwur yang dusta. Justeru, tasawwur yang dimaksudkan dalam kaedah ini ialah tasawwur yang penuh dengan ilmu yang mendalam tentang sesuatu perkara. Ini kerana tasawwur tersebut adalah dhabit pada zihin dan fikir yang selamat daripada kesilapan.”

Lihat al-Kulliyyat (hlm. 290)

Menurut definisi yang ditulis dalam Wikipedia, pinata ialah:

“A piñata (/pɪnˈjɑːtə/, Spanish pronunciation: [piˈɲata] is a container often made of papier-mâché, pottery, or cloth; it is decorated, and filled with small toys or candy, or both, and then broken as part of a ceremony or celebration. Piñatas are commonly associated with Mexico. The idea of breaking a container filled with treats came to Europe in the 14th century, where the name, from the Italian pignatta, was introduced. The Spanish brought the European tradition to Mexico, although there were similar traditions in Mesoamerica, such as the Aztecs' honoring the birthday of the god Huītzilōpōchtli in mid December. According to local records, the Mexican piñata tradition began in the town of Acolman, just north of Mexico City, where piñatas were introduced for catechism purposes as well as to co-opt the Huitzilopochtli ceremony. Today, the piñata is still part of Mexican culture, the cultures of other countries in Latin America, as well as the United States, but it has mostly lost its religious character.”[1]

Definisi ini menunjukkan bahawa pinata adalah bekas yang mengandungi makanan seperti gula-gula yang disediakan sempena majlis sambutan seperti hari lahir yang akan dipecahkan untuk mendapatkan makanan yang berada di dalamnya. Asal usulnya dikaitkan dengan upacara keagamaan di Mexico tetapi peredaran zaman menyebabkan permainan ini sudah hampir hilang nilai keagamaannya.

Dalam artikel-artikel kami sebelum ini, kami telah membahaskan hukum tasyabbuh atau penyerupaan di sisi Islam. Terdapat tasyabbuh yang dimakruhkan dan diharamkan. Ada juga perkara yang pada asalnya adalah tasyabbuh dengan syiar agama lain tetapi hilangkan keserupaan itu dan berubah menjadi harus.

Daripada Abdullah bin Umar R.anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia daripada kalangan mereka.”

Riwayat Abu Daud (4031)

Berkata Syeikh al-Azhim al-Abadi Rahimahullah dalam `Aun al-Ma`bud (11/51):

“Berkata al-Munawi dan al-`Alqami: yakni berhias pada luarannya dengan perhiasan mereka, berkelakuan seperti kelakuan dan petunjuk mereka pada pakaian dan sebahagian perbuatan mereka. Intaha. Berkata al-Qari’,“yakni barangsiapa yang menyerupai dirinya dengan orang kafir, contohnya pada pemakaian, dan selainnya, atau dengan orang yang fasiq, atau orang jahat, atau dengan ahli tasawuf dan orang-orang soleh lagi baik, (maka dia daripada kalangan mereka) ertinya pada dosa dan kebaikan.” Berkata al-`Alqami, “yakni barangsiapa yang menyerupai orang-orang soleh akan dimuliakan seperti mana mulianya mereka, dan barangsiapa yang menyerupai orang-orang fasiq, maka dia tidak akan dimuliakan. Barangsiapa yang meletakkan ke atas dirinya dengan alamat-alamat orang yang budiman maka dia akan dimuliakan sekalipun pada dirinya tidak tahqiq sifat budiman itu.”

Berkata Imam Ibn Salah Rahimahullah dalam Fatawa-nya (2/473): “Maka sesungguhnya barangsiapa yang menyerupai satu kaum itu maka dia seakan-akan sebahagian daripada mereka. Penyerupaan dengan orang kafir, terkadang menjadi makruh, dan terkadang menjadi haram. Perkara tersebut kembali kepada keketaraan yang ada pada penyerupaan itu, sama ada sedikit atau banyak. Wallahua`lam.”

Jika penyerupaan itu sedikit, dan boleh ditakwilkan, maka penyerupaan itu berhukum makruh. Contohnya seperti:

  • Melakukan qaza`(memotong atau bercukur sebahagian rambut dan meninggalkan sebahagian yang lain). Rujuk al-Minhaj Syarh Muslim (10/101).
  • Melumurkan kepala bayi selepas bercukur dengan darah aqiqah kerana mengikut adat Jahiliyyah. Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhazzab(8/427).
  • Puasa secara tunggal pada hari Jumaat kerana orang Nasrani dan Yahudi mengkhususkan ibadah pada hari Khamis dan Jumaat. Rujuk al-Iqna`(1/245).

Manakala jika penyerupaan itu ketara maka itu adalah penyerupaan yang diharamkan. Contohnya, berkata Imam Syihabuddin Ibn Ruslan Ketika menghuraikan hadis Abu Daud di atas:

“bahawa tidak diharuskan pada zaman kita untuk memakai serban berwarna kuning dan biru bagi orang Islam.”

Ini kerana orang Kristian pada zaman beliau memakai pakaian berfesyen tersebut ketika meraikan perayaan mereka. Rujuk Syarh Sunan Abi Daud 16/208).

Ada keadaan di mana perkara yang asalnya memiliki penyerupaan dengan agama lain, tetapi telah berubah tasawwurnya sehingga hilang nilai-nilai agama lain maka hukumnya tidaklah haram dan tidaklah makruh. Contohnya:

  • Hukum memakai tudung tailasan bagi lelaki. Imam al-Bujairimi menukilkan dalam Tuhfah al-Habib (4/366) perkataan Imam Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari (10/275) : “Dan disebabkan pemakaian al-tiyalisah pada masa kini bukan lagi menjadi syiar mereka (Nasrani dan Yahudi), bahkan sudah diangkat pada zaman kita dan berubah menjadi salah satu yang termasuk dalam perkara umum yang diharuskan. Betapa perkara ini telah disebut oleh Ibn Abd al-Salam dalam bid’ah-bid’ah yang dibenarkan.” Rujuk jua Qawa`id al-Ahkam (2/205) oleh Imam Izz bin Abd al-Salam.
  • Hukum melaksanakan Atirah yakni sembelihan haiwan khusus pada bulan Rejab. Sabit nas daripada Imam al-Syafie bahawa hukumnya tidak disunatkan dan tidak dimakruhkan sekalipun sejarahnya ialah penyembelihan haiwan untuk berhala. Namun apabila sembelihan itu mengikut Hukum Syarak, bukan untuk berhala dan disedekahkan kepada orang fakir miskin, maka amalan itu diharuskan bahkan memperolehi pahala berbuat baik kepada manusia dan sedekah. Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhadzzab (8/445).

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa hukum permainan memukul pinata adalah diharuskan dengan syarat tiada niat untuk meniru ajaran bukan islam dan hanya untuk permainan sahaja. Ini kerana permainan ini tidak lagi eksklusif sebagai ritual agama tertentu dan matlamatnya bukan tujuan yang diharamkan. Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman kepada pihak penanya.

 

Nota hujung:

[1] https://en.wikipedia.org/wiki/Pi%C3%B1ata