Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI # 1744 : HUKUM CIPTA LESUNG PIPIT BUATAN

dimple

 

SOALAN:

Apakah hukum lesung pipit  buatan? Mohon pencerahan S.S Mufti, Terima kasih

Ringkasan Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Hukum lesung pipit buatan melalui proses tindikan mahupun  pembedahan adalah haram. Lesung pipit yang  dibuat  semata-mata  bertujuan kecantikan (tahsiniyyah) adalah dilarang  kerana  ia mengubah ciptaan Allah yang jelas  bukan pada situasi keperluan (hajiyyah).

Huraian Jawapan :

Lesung pipit ialah lekukan kecil semulajadi dalam daging pada bahagian tubuh manusia, terutama di pipi atau dagu. Lesung pipit di pipi akan kelihatan ketika seseorang membuat ekspresi wajah seperti tersenyum. Sementara lesung dagu adalah garis kecil di dagu (lekuk) yang tetap tanpa perlu membuat ekspresi wajah tertentu. Lesung pipit terjadi disebabkan oleh variasi struktur otot muka yang dikenali sebagai zygomaticus major terbelah dua  [1]

Menurut  kajian, mereka yang memiliki lesung pipit  dikatakan  mempunyai kecacatan  otot yang sangat menawan   selain menjadi tarikan  penyeri wajah ketika  tersenyum.  [2] Namun tidak semua manusia mempunyai lesung pipit, maka terdapat mereka yang sanggup melakukan  prosedur yang menyakitkan melalui cara pembedahan (dimpleplasty)  ataupun tindik  untuk mencipta lekukan lesung pipit untuk kekal dalam tempoh masa tertentu.  Menurut kajian, risiko pembedahan (dimpleplasty)   ialah pada kecederaan cabang  saraf wajah namun ia jarang berlaku[3]. Walaubagaimanpun pembedahan tersebut tetap terdedah risiko yang tidak diketahui tanpa sebarang jaminan.

Pada asalnya, pembedahan  kosmetik  dan sebarang  prosedur  yang yang membawa kepada perubahan anggota badan manusia tanpa keperluan adalah diharamkan oleh Syarak.Ini berdasarkan hadis  bahawa Nabi SAW bersabda:

لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya : Allah melaknat  orang yang membuat tatu  dan yang meminta dibuat tatu, wanita-wanita yang mencukur alis  (bulu kening) dan orang yang meminta mencukur kening dan orang yang mengasah gigi untuk kecantikan yang (semua itu)  mengubah ciptaan Allah  SWT”. 

Riwayat Muslim 2125

Ancaman laknat “ لَعَنَ”  dalam hadis menunjukkan  pengharaman mengubah ciptaan Allah  sama ada bagi orang yang melakukannya dan juga orang yang meminta untuk dilakukannya  ( Lihat Fath al-Bari  10/377) . Imam al-Nawawi mensyarahkan makna perkataan  لِلْحُسْنِ  lil husn  bagi perbuatan menjarangkan gigi  dalam hadis  tersebut ialah

وَأَمَّا قَوْلُهُ الْمُتَفَلِّجَاتُ لِلْحُسْنِ فَمَعْنَاهُ يَفْعَلْنَ ذَلِكَ طَلَبًا لِلْحُسْنِ وَفِيهِ إِشَارَةٌ إِلَى أَنَّ الْحَرَامَ هُوَ الْمَفْعُولُ لطلب الحسن أما  لو  احتاجت إِلَيْهِ لِعِلَاجٍ أَوْ عَيْبٍ فِي السِّنِّ وَنَحْوِهِ فلابأس والله أعلم

Perbuatan menjarangkan gigi untuk kecantikan “lil husn”  memberi makna  perbuatan hanya untuk kecantikan dan ianya sebagai isyarat kepada  pengharaman.  Hal Ini kerana orang yang meminta untuk melakukan hal tersebut khusus menzahirkan kecantikan semata-mata.  Adapun  sekiranya berhajat untuk merawat (suatu cela) atau kerana aib  pada gigi maka tidak menjadi masalah dan Allah lebih mengetahui (Rujuk  al-Minhaj fi Syah  Sahih Muslim,14/107).  Oleh itu, hadis tersebut sebagai hujah larangan terhadap segala perbuatan mengubahsuaian ciptaan-Nya yang semata-mata bertujuan kecantikan tanpa keperluan yang mendesak.

Konklusinya, berdasarkan nas yang dibentangkan, kami   menyatakan bahawa  mencipta lesung pipit  melalui kaedah pembedahan mahupun bertindik bagi tujuan kecantikan adalah haram. Pembedahan yang menghasilkan kesan lekukan  di pipi dilarang  kerana mengubahsuai ciptaanNya serta  terdapat unsur penipuan terhadap kecantikan wajah yang bukan asli.  Bahkan, pembedahan lesung pipit (dimpleplasty) melibatkan kos yang tinggi serta terdapat implikasi  bahaya seperti merosakkan otot pipi.  Rawatan kosmetik yang boleh mengubah ciptaanNya hanya  boleh diterima pada situasi  keperluan mendesak dan bukan semata-mata untuk kecantikan (tahsiniyyah).

Akhir kalam,marilah kita mensyukuri nikmat kurniaan-Nya serta redha dengan rupa dan bentuk fizikal  yang telah Allah ciptakan untuk hamba-hamba-Nya

 

 

[1] https://en.wikipedia.org/wiki/Dimple

[2] https://www.researchgate.net/publication/228105937_Anatomical_basis_of_dimple_creation_-_A_new_technique_Our_experience_of_100_cases

[3]https://www.researchgate.net/publication/232923524_Complication_of_dimple_creation/fulltext/57ebd43008ae93b7fa9570da/Complication-of-dimple-creation.pdf