Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

kondo 2

Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin minta nasihat berkaitan turutan nafkah. Sebelum saya berkahwin, suami saya mempunyai sebuah rumah yang dia tinggal bersama-sama ibu bapanya. Ibunya ada memberitahu kepada suami saya bahawa mereka akan berpindah keluar ke tempat lain sejurus sahaja kami berkahwin. Namun perkara tersebut tidak berlaku, sebaliknya kami semua tetap tinggal bersama selama tempoh setahun. Disebabkan saya rasa kurang selesa tinggal dengan mereka, kami suami isteri berpindah keluar dan tinggal dengan mak saya selepas melahirkan anak pertama. Masa berlalu, kami pun sudah 4 tahun tinggal di rumah mak saya. Jadi, kami bercadang untuk membeli rumah lain yang boleh duduk sendiri cuma suami mengharapkan saya untuk menampung separuh daripada kos rumah memandangkan dia tidak mampu menanggung komitmen bagi kedua-dua rumah.

Soalan saya, adakah suami saya berhak meminta perkara sebegitu? Dia menyediakan tempat tinggal dan keperluan asas bagi ibu bapanya 100% tanpa meminta mereka sesen pun sedangkan saya pula diminta untuk menanggung sebahagian perbelanjaan.

Bila saya fikir-fikirkan balik, kemungkinan apa yang dia sediakan untuk ibu bapanya boleh dianggap sebagai sedekah. Tetapi, kadangkala saya merasakan yang dia tidak melaksanakan tanggungjawabnya sebagai suami mengikut apa yang sebenarnya Islam ajarkan. Sepatutnya, dia menyediakan keperluan asas untuk keluarganya terlebih dahulu, kemudian barulah kepada ibu bapanya.

Mohon nasihat Ust dapat menyelesaikan kemelut saya. Terima kasih.

Jawapan Ringkas

Waalaikumussalam. Secara umumnya keutamaan nafkah bagi seseorang suami adalah kepada isterinya terlebih dahulu berbanding orang lain termasuklah nafkah menyediakan tempat tinggal yang bersesuaian dengan uruf setempat mengikut kemampuannya. Dalam masa yang sama, nafkah kepada ibu bapa juga terletak di bawah tanggungjawab anak khususnya dalam keadaan ibu bapa yang sudah tua dan tidak mempunyai pendapatan untuk mendapatkan keperluan asas.

Melihat kepada situasi di atas, kami berpandangan secara asalnya suami sudah menyediakan nafkah tempat tinggal melalui pembelian rumah pertama walaupun ibu dan ayahnya tinggal bersama. Namun, isu yang muncul apabila pihak isteri merasa tidak selesa tinggal bersama ibu dan ayah mertua sehingga menyebabkan muncul cadangan supaya suami membeli rumah yang lain.

Dalam hal ini, kami berpandangan faktor ‘tidak selesa’ bukan merupakan alasan yang kukuh untuk menafikan nafkah tempat tinggal yang suami sudah sediakan. Lantaran itu, sekiranya isteri menuntut suami menyediakan tempat tinggal yang lain sedangkan suami tidak mampu menanggung keseluruhannya, maka kewajipan suami takat yang termampu sahaja, selebihnya bergantung kepada perbincangan dan persetujuan bersama.

Antaranya, pihak suami boleh meminta budi bicara isteri (bukan memaksa) untuk menampung sebahagian kos untuk membeli rumah yang kedua atas dasar tolak ansur dan permuafakatan bersama melihat kepada keadaan kewangan suami yang tidak mengizinkan, di samping menganggap perbuatan tersebut sebagai tolong menolong atas dasar kebaikan.

Walau bagaimanapun, sekiranya pihak isteri enggan membantu, maka tanggungjawab dan kewajipan suami sekadar mengikut kemampuannya seperti membeli rumah yang lebih murah, menyewa rumah dan lain-lain termasuklah kembali tinggal di rumah pertama.

Akhirnya, sewajarnya semua pihak termasuklah ibu dan ayah mertua, isteri dan suami perlu mempunyai sifat saling memahami, berlapang dada, bertolak ansur, menjaga adab satu sama lain dan sebagainya agar di samping hak masing-masing dipenuhi, kedamaian dan keharmonian keluarga keseluruhannya tetap diutamakan. 

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga baginda SAW, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.

Secara asasnya, nafkah terhadap isteri berada di tempat kedua selepas seseorang menyelesaikan nafkah terhadap dirinya sendiri. Kewajipan ini akan berterusan selagi mana dia masih bergelar isteri yang sah kepada suaminya. Kategori nafkah isteri berada pada kedudukan paling utama melebihi pihak lain seperti ibu bapa, kecuali dalam keadaan ibu bapa yang tidak bekerja dan tidak berkemampuan dalam menyediakan ubatan, rawatan dan makan minum yang menjadi asas kehidupan. Ketika itu, ia menjadi kewajipan kepada anak-anak.

Dalam isu seperti ini, sekiranya suami mempunyai adik-beradik yang lain, maka mereka semua perlu ada  keselarasan dan persefahaman untuk sama-sama mengambil tanggungjawab menjaga, membantu dan berkhidmat kepada kedua ibubapa. Dengan cara ini, tidaklah terbeban kepada satu-satu anak sahaja sedangkan yang lain lepas tangan. Ingatlah apa yang dinyatakan oleh Nabi SAW:

رِضَى الرَّبِّ فِي رِضَى الوَالِدِ ، وَسَخَطُ الرَّبِّ فِي سَخَطِ الْوَالِدِ

Maksudnya: “Keredaan Allah terletak pada keredaan kedua ibubapa, dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.”

Riwayat al-Tirmizi (194)

Rujuk artikel kami berkaitan keutamaan nafkah isteri berbanding ibu dalam laman web kami https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3804-al-kafi-1428-antara-nafkah-isteri-dan-ibu-mana-perlu-diutamakan

Hal ini berbeza sekiranya suami tidak mempunyai adik-beradik lain dalam masa yang sama mempunyai pendapatan yang terhad sehingga tidak mampu menampung kesemua tanggungan di bawahnya termasuklah isteri, anak-anak, dan ibu bapa. Maka, secara turutannya perlulah mengutamakan isteri terlebih dahulu, kemudian anak-anak, kemudian ibu bapa.

(Rujuk: al-Yaqut al-Nafis, m/s 674)

Walau bagaimanapun, berdasarkan situasi di atas kami melihat suami sudah melaksanakan tanggungjawabnya menyediakan nafkah tempat tinggal kepada isteri melalui pembelian rumah pertama tersebut walaupun tinggal bersama dengan ibu bapa.

Khusus berkaitan kriteria asas nafkah rumah dan tempat tinggal, suami wajib menyediakan tempat tinggal yang bersesuaian mengikut uruf setempat serta terlindung daripada penglihatan orang luar. Tempat tinggal tersebut tidak disyaratkan mesti rumah yang dibeli, sebaliknya dibolehkan juga rumah yang disewa mahupun dipinjam. Berkenaan kondisi rumah pula, agama menetapkan kadar kewajipan berdasarkan kemampuan suami. Sekiranya suami hanya mampu menyediakan rumah biasa, maka itulah kadar wajibnya. Sekiranya suami mampu menyediakan rumah mahal, maka itu juga kewajipannya.

(Lihat: al-Mu’tamad, 4/283)

Melihat kepada konsep nafkah tempat tinggal di atas, suami sudah memenuhi tanggungjawab asasnya menyediakan rumah melalui pembelian rumah pertama walaupun ibu dan ayah mertua duduk bersama mereka. Adapun faktor ketidakselesaan yang berlaku sepanjang keberadaan bersama mereka di rumah tersebut merupakan faktor luaran yang sewajarnya diselesaikan melalui perbincangan yang berhemah, menjaga adab sesama menantu dan mertua, bersabar, dan pelbagai lagi saranan lain.

Allah SWT berfirman:

وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ

Maksudnya: “Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu.”

(Surah Ali-Imran: 159)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Perbincangan antara satu sama lain mengandungi banyak faedah; antaranya memperlihatkan bahawa adanya kesatuan hati dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Penyatuan hati ini yang akan menolong mencapai sesuatu tujuan.”

Rujuk artikel kami berkaitan topik tinggal bersama mertua atau berasingan di laman web https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2964-al-kafi-1012-tinggal-bersama-mertua-atau-berasingan

Namun begitu, cadangan pembelian rumah kedua sebagai tempat tinggal khusus bagi mereka sehingga menyebabkan suami tidak mampu menanggung keseluruhan komitmen, maka dalam hal ini kami berpandangan kewajipan suami setakat kemampuannya sahaja.

Sekiranya isteri tetap bertegas menuntut tempat tinggal melebihi kemampuan suami, maka si suami tidak wajib menyediakannya melainkan kadar yang termampu. Selebihnya, terserah kepada perbincanga bersama suami isteri. Ini termasuklah mengambil inisiatif lain seperti menyewa rumah, bahkan suami juga boleh meminta budi bicara (bukan memaksa) isteri untuk sama-sama menanggung sebahagian perbelanjaan. Pendirian sebegini lebih bersifat win-win situation (situasi sama menang).

Hal ini dikuatkan lagi dengan firman Allah SWT,

لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّـهُ ۚ لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا مَا آتَاهَا ۚ سَيَجْعَلُ اللَّـهُ بَعْدَ عُسْرٍ يُسْرًا

Maksudnya: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.”

(Surah al-Talaq: 7)

Penutup

Akhir kata, nafkah kepada ibu bapa janganlah kita menganggap sebagai beban sebaliknya anggaplah sebagai berlaku ihsan kepada mereka seperti yang dianjurkan dalam agama Islam. Dalam masa yang sama, suami juga perlu mengimbangi tanggungjawab nafkah kepada pihak lain terutamanya isteri dan anak-anaknya berdasarkan kemampuannya termasuklah tinggal berasingan daripada pihak keluarga yang lain. Ini kerana dengan hidup dengan pasangan secara terasing dengan orang lain, hak privasi dan keselesaan akan lebih terjaga lantas mencambahkan lagi kasih sayang. Namun begitu, sifat tolak ansur dan saling memahami wajar ada dalam diri setiap mereka yang ditanggung termasuklah ibu bapa, isteri dan anak-anak supaya di samping hak mereka ditunaikan, objektif yang lebih utama iaitu membentuk keluarga yang harmoni dan sentosa dapat tercapai.

Wallahua’lam.