Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

ak1755

Soalan

Assalamualaikum. Maaf saya ingin bertanya. Ketika saya solat di rumah bersama keluarga, saya menyuruh anak saya melaungkan azan dan iqamah. Persoalan saya adakah ada tempoh waktu yang khusus di antara azan dan iqamah. Ataupun saya terus sahaja bangun menunaikan solat. Terima kasih

Ringkasan Jawapan

Disunat untuk memisahkah di antara azan dan iqamah dengan tempoh waktu tertentu mengikut keperluan walaupun sekadar menunaikan solat sunat Qabliah sebelum solat fardu. Selain itu, makruh sekiranya terus iqamah selepas malaungkan azan tanpa memberi sedikit masa selepas azan. Ini bertujuan meraikan waktu yang disunatkan seperti yang disarankan oleh Baginda SAW. Dan ia juga dapat memberi kesempatan kepada jemaah untuk bersiap melakukan solat seperti berwuduk dan sebagainya.

Huraian Jawapan

Azan dan Iqamah merupakan salah satu daripada syiar Islam. Ianya bertujuan untuk menyeru dan memberi tahu kepada seluruh umat Islam bahawa telah masuk waktu solat serta bersiap sedia untuk menunaikan solat. Ini sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Malik bin al-Huwairith R.A sabda Nabi SAW:

فَإِذَا حَضَرَتِ الصَّلاَةُ فَلْيُؤَذِّنْ لَكُمْ أَحَدُكُمْ

Maksudnya: Apabila telah masuk waktu solat, maka hendaklah salah seorang dari kalian melaungkan azan

Riwayat al-Bukhari (628)

Berbalik kepada persoalan yang diajukan di atas, para fuqaha’ berpendapat bahawa disunatkan untuk memisahkan di antara waktu azan dan iqamah dengan tempoh yang tertentu supaya orang ramai sempat membuat persediaan untuk melakukan solat. Ini berdasarkan daripada hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah, bahawa Nabi SAW bersabda kepada Bilal:

وَاجْعَلْ بَيْنَ أَذَانِكَ وَإِقَامَتِكَ قَدْرَ مَا يَفْرُغُ الآكِلُ مِنْ أَكْلِهِ وَالشَّارِبُ مِنْ شُرْبِهِ وَالْمُعْتَصِرُ إِذَا دَخَلَ لِقَضَاءِ حَاجَتِهِ وَلاَ تَقُومُوا حَتَّى تَرَوْنِي

Maksudnya: Dan jadikalah di antara azan dan iqamah kamu satu tempoh masa, supaya seseorang yang sedang makan dapat menyelesaikan makanannya, dan seorang yang sedang minum dapat menghabiskan minumannya, dan seseorang yang memerlukan masa untuk menunaikan hajatnya, dan janganlah kamu berdiri sehingga kamu melihat aku.

Riwayat al-Tirmizi (195)

Imam Khatib al-Syirbini di dalam kitabnya menyebut:

وَيُسَنُّ أَنْ يَفْصِلَ الْمُؤَذِّنُ وَالْإِمَامُ بَيْنَ الْأَذَانِ وَالْإِقَامَةِ بِقَدْرِ اجْتِمَاعِ النَّاسِ فِي مَكَانِ الصَّلَاةِ وَبِقَدْرِ أَدَاءِ السُّنَّةِ الَّتِي قَبْلَ الْفَرِيضَةِ، وَيَفْصِلُ بَيْنَهُمَا فِي الْمَغْرِبِ بِنَحْوِ سَكْتَةٍ لَطِيفَةٍ كَقُعُودٍ لَطِيفٍ لِضِيقِ وَقْتِهَا، وَلِاجْتِمَاعِ النَّاسِ لَهَا قَبْلَ وَقْتِهَا عَادَةً، وَعَلَى مَا صَحَّحَهُ الْمُصَنِّفُ مِنْ أَنَّ لِلْمَغْرِبِ سُنَّةً قَبْلَهَا يَفْصِلُ بِقَدْرِ أَدَائِهَا أَيْضًا

Maksudnya: Dan disunatkan Muazzin dan Imam untuk memisahkan di antara waktu azan dan iqamah dengan kadar kesempatan waktu untuk manusia berhimpun di tempat melakukan solat dan dengan kadar menunaikan solat sunat yang dilakukan sebelum menunaikan solat fardhu. Dan memisahkan di antara keduanya (azan dan iqamah) pada waktu solat Maghrib dengan berhenti sebentar seperti duduk sebentar kerana tempoh waktunya yang singkat, dan bertujuan untuk menghimpunkan orang ramai sebelum mengerjakan solat Maghrib mengikut tempoh secara adat, dan mengikut apa yang tepat disisi pengarang sesungguhnya pada waktu solat Maghrib terdapat solat sunat sebelumnya maka tempoh yang memisahkannya dengan sekadar menunaikan solat sunat itu juga.

(Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/325)

Kesimpulan

Justeru, bagi menjawab persoalan di atas serta nas yang diberikan, maka dapat kami simpulkan bahawa disunatkan untuk memisahkah di antara azan dan iqamah dengan tempoh waktu tertentu mengikut keperluan walaupun sekadar menunaikan solat sunat Qabliah sebelum solat fardu. Selain itu, makruh sekiranya terus iqamah selepas malaungkan azan tanpa memberi sedikit masa selepas azan. Ini bertujuan meraikan waktu yang disunatkan seperti yang disebutkan di dalam hadis di atas. Dan ia juga dapat memberi kesempatan kepada jemaah untuk bersiap melakukan solat seperti berwuduk dan sebagainya.

Selain itu, boleh rujuk artikel di laman web PMWP bertajuk:

  • AL-KAFI #1702 : HUKUM IQAMAT TIDAK IKUT WAKTU PADA JAM ELEKTRONIK DI MASJID
  • AL-KAFI #802: HUKUM MENUNAIKAN SOLAT TANPA IQAMAT
  • AL-KAFI #380 : BILAL TERUS IQAMAT SELEPAS AZAN
  • AL-KAFI #1677 : PERLUKAH AZAN DAN IQAMAH SEKIRANYA SOLAT DILAKUKAN DI RUMAH ?
  • AL-KAFI #802: HUKUM MENUNAIKAN SOLAT TANPA IQAMAT

Wallahua’lam