Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

sujud 2

Soalan

Assalamualaikum, saya ada buat sedikit pembacaan mengenai sujud tilawah diluar solat dalam mazhab Syafie namun masih kurang jelas sebab tidak diperincikan dalam bahan bacaan yang telah dirujuk.

Soalannya, selepas takbir pertama adakah perlu letak tangan antara dada dan pusat sebagaimana dalam solat?

 

Jawapan Ringkas

Meletakkan tangan antara dada dan pusat tidak termasuk dalam perkara yang disunatkan dalam ibadah sujud tilawah. Sebaliknya, selepas sahaja selesai mengangkat takbir, tangan kekal berada dalam posisi asal iaitu di sisi, kemudian terus melakukan sujud tilawah.

Perbuatan yang disunatkan ketika memulakan sujud tilawah hanya berkaitan dengan perkara-perkara sunat ketika takbir sahaja seperti meletakkan tangan setentang telinga atau bahu, tempoh angkat tangan berakhir seiringan dengan pengakhiran lafaz takbir dan sebagainya.

Sedangkan meletakkan tangan antara dada dan pusat tidak sunat untuk dilakukan kerana kedua-duanya (takbir dan meletakkan tangan selepasnya) merupakan dua ibadah sunat yang berasingan. Tambahan pula, ia tidak disebutkan dalam kitab-kitab mazhab al-Syafie mahupun nas-nas al-Quran dan hadis.

 

Huraian Jawapan

Ulama dalam mazhab Syafie menyebutkan bahawa rukun-rukun dalam sujud tilawah seperti berikut,

وَجُمْلَةُ مَا ذَكَرَهُ مِنْ الْأَرْكَانِ أَرْبَعَةٌ: النِّيَّةُ، وَتَكْبِيرَةُ الْإِحْرَامِ، وَالسَّجْدَةُ، وَالسَّلَامُ

Maksudnya: “Kesimpulan daripada penerangan tatacara di atas, rukun sujud ada empat iaitu niat, takbiratul ihram, sujud dan salam”.

(Rujuk: Hasyiah al-Qalyubi, 1/237)

Khusus berkenaan takbiratul ihram, terdapat beberapa perkara yang disunatkan untuk dilakukan seiring dengan laungan takbir, antaranya mengangkat kedua-dua belah tangan sebagaimana dilakukan dalam solat.

Imam al-Nawawi ketika menghuraikan hadis berkenaan tuntutan untuk bertakbir bagi sujud tilawah menyebut,

وَيُسْتَحَبُّ أَنْ يَرْفَعَ يَدَيْهِ لِأَنَّهُ تَكْبِيرَةُ افْتِتَاحٍ فَهِيَ كَتَكْبِيرَةِ الْإِحْرَامِ

Maksudnya: “Disunatkan untuk mengangkat kedua belah tangan kerana ia merupakan takbir bagi permulaan sama seperti takbiratul ihram (dalam solat)”.

(Rujuk: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/64)

Bahkan bertakbir untuk memulakan ibadah sujud tilawah disarankan bagi memenuhi tuntutan hadis dan qiyas kepada takbiratul ihram dalam solat dari segi perkara yang diwajibkan dan disunatkan padanya . Imam al-Khatib al-Syirbini dalam kitabnya menyebut secara jelas,

(وَكَبَّرَ لِلْإِحْرَامِ) بِهَا كَذَلِكَ لِلِاتِّبَاعِ كَمَا أَخْرَجَهُ أَبُو دَاوُد، لَكِنْ بِإِسْنَادٍ ضَعِيفٍ وَقِيَاسًا عَلَى الصَّلَاةِ (رَافِعًا يديه) نَدْبًا كَمَا مَرَّ فِي تَكْبِيرَةِ الْإِحْرَامِ

Maksudnya: “Begitu juga (bertakbir untuk memulakan) sujud tilawah. Ini bagi mengikuti saranan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud namun sanadnya lemah. Dalam masa yang sama, sebagai qiyas kepada solat. (Dalam keadaan mengangkat kedua-dua belah tangan) juga disunatkan sepertimana yang dibincangkan dalam bab Takbiratul Ihram”.

(Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/444)

Walau bagaimanapun, terdapat kekeliruan melibatkan perkara-perkara yang disunatkan dalam solat untuk dilakukan juga dalam ibadah sujud tilawah, antaranya berdiri ketika bertakbir dan meletakkan tangan antara dada dan pusat

Kami berpandangan berdiri dan meletakkan tangan antara dada dan pusat bukanlah termasuk dalam perkara yang disunatkan dalam ibadah sujud tilawah. Sebaliknya, selepas sahaja selesai mengangkat takbir, tangan kekal berada dalam posisi asal iaitu di sisi, kemudian terus melakukan sujud tilawah.

Syeikh Sa’id Ba’asyan al-Hadrami dalam syarahannya menyebutkan,

وندب رفع يديه معها لا القيام، بل هو مباح

Maksudnya: “Perkara yang disunatkan ketika bertakbir adalah mengangkat kedua-dua belah tangan bukanlah berdiri. Namun, (bangun berdiri untuk mengangkat takbir) merupakan suatu perkara yang mubah (dibolehkan) untuk dilakukan”.

(Rujuk: Muqaddimah al-Hadramiyyah, 1/307)

Keterangan di atas memberi suatu gambaran bahawa tidak disunatkan meletakkan tangan antara dada dan pusat kerana perbuatan tersebut disunatkan ketika berdiri. Sedangkan berdiri bukanlah perkara yang disunatkan dalam sujud tilawah kerana ia tetap boleh dilakukan dalam keadaan duduk mahupun duduk mengiring.

Tambahan pula,  kedua-dua perkara tersebut (berdiri dan meletakkan tangan) merupakan suatu pergerakan yang berasingan dan dua ibadah sunat yang berbeza. Bahkan ia bukanlah suatu kelaziman kepada perbuatan takbir seperti mengangkat tangan dan lain-lain.

Hal ini dikuatkan lagi dengan keterangan syeikh Sa’id dalam bab perkara-perkara sunat dalam solat,

(فإذا فرغ من) تكبير (التحرم .. حط يديه) من انتهاء التكبير؛ لكراهة استدامة الرفع حينئذٍ (تحت صدره) وفوق سرته

Maksudnya: “(Selepas selesai menunaikan) takbir (takbiratul ihram...maka posisikan kedua-dua belah tangan) usai habis lafaz takbir; kerana makruh berterusan mengangkatnya (di bawah dada) atas pusat”.

(Rujuk: Muqaddimah al-Hadramiyyah, 1/217)

Frasa “selepas selesai menunaikan takbir” menunjukkan secara jelas bahawa perbuatan mengangkat takbir dan meletakkan kedua tangan di dada merupakan dua ibadah sunat yang berbeza dan terpisah antara satu sama lain. Sedangkan nas dalam riwayat Abu Daud dan huraian dalam mazhab syafie hanya menyebutkan takbir sahaja.

Sebagai kesimpulan, perbuatan yang disunatkan hanyalah seputar perbahasan sunat-sunat ketika takbir sahaja seperti meletakkan tangan setentang telinga atau bahu, tempoh angkat tangan berakhir seiriingan dengan pengakhiran lafaz takbir dan sebagainya. Manakala meletakkan tangan di atas tidak disebutkan dalam kitab-kitab mazhab al-Syafie lantas tidak sunat untuk dilakukan.

Wallahu a’lam.