Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

AL-KAFI_1787.png

 

Soalan:

Assalamualaikum Datuk mufti, baru-baru ini telah tular di media sosial yang seorang hamba Allah telah memuat naik video yang mana video tersebut beliau telah memperlekehkan seorang guru yang sedang melakukan pdpr di stesen televisyen.

Apakah pandangan Datuk mufti terhadap isu berkenaan?

Ringkasan Jawapan:

Islam melarang umatnya memperlekeh dan mempersendakan guru bahkan peri pentingnya menjaga adab dengan guru. Oleh sebab itu, golongan pendidik wajar dihormati kerana martabat guru itu sendiri diiktiraf di dalam Islam. Sesungguhnya guru simbol kepada ilmu pengetahuan, dan menghormati guru bermakna menghargai ilmu. Sikap hormat ini merupakan perantaraan untuk mendapatkan keberkatan ilmu melalui apa yang dipelajari. Sesungguhnya guru adalah insan yang memainkan peranan pening dalm membentuk masyarakat yang bertamadun dan berilmu.

Huraian Jawapan:  

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.

Agama Islam merupakan agama yang menitik beratkan tentang adab dan akhlak di dalam segenap aspek termasuklah menghormati guru. Menurut perspektif Islam, guru merupakan insan yang bertanggungjawab dalam mendidik dan menyampaikan ilmu kepada pelajar-pelajar dan masyarakat yang merangkumi setiap perkara sama ada dari segi rohani, akademik dan agama. Oleh sebab itu, golongan pendidik wajar dihormati kerana martabat guru itu sendiri diiktiraf di dalam Islam. Hal ini sebagai mana dalam firman Allah S.W.T:

يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

Maksudnya: “Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat.” [1]

(Surah al Mujadilah: 11)

Berdasarkan ayat berikut, Imam Tabari telah menafsirkan bahawa: “Allah SWT mengangkat darjat orang yang berilmu dalam kalangan orang mukmin, berbanding orang mukmin yang tidak diberikan ilmu dengan beberapa darjat”. [2]

(Tafsir al Tabari: j23 h247)

  

Sesungguhnya Islam juga melarang umatnya memperlekeh dan mempersendakan guru bahkan ramai dalam kalangan ilmuan islam telah menukilkan betapa pentingnya menjaga adab dengan guru. Imam Ahmad telah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

لَيْسَ مِنْ أُمَّتِي مَنْ لَمْ يُجِلَّ كَبِيرَنَا، وَيَرْحَمْ صَغِيرَنَا، وَيَعْرِفْ لِعَالِمِنَا

Maksudnya: “Bukanlah dikalangan umatku mereka yang tidak memuliakan orang yang lebih tua dalam kalangan kami, mereka yang tidak menyayangi anak-anak kecil dalam kalangan kami dan mereka yang tidak memberikan hak kepada orang alim dalam kalangan kami.” [3]

(Riwayat Ahmad: 22755 )

Selain itu, para sahabat Nabi SAW juga telah menunjukkan contoh dan tauladan ketika berhadapan dengan guru yang mana mereka amat menjaga kelakuan dan tuturkata ketika bersama dengan guru mereka. Perkara ini berdasarkan sepotong hadis yang diriwayatkan oleh ‘Urwah bin Mas’ud:

وَإِذَا تَكَلَّمَ خَفَضُوا أَصْوَاتَهُمْ عِنْدَهُ، وَمَا يُحِدُّونَ إلَيْهِ النَّظَرَ تَعْظِيمًا لَهُ

Maksudnya: “Apabila Baginda SAW bersabda (para sahabat) akan merendahkan suara mereka di sisi baginda, mereka tidak menajamkan penglihatan kepada Baginda sebagai tanda hormat kepadanya.” [4]

(Riwayat Bukhari: 2731)

Demikian hadis tentang perlunya setiap muslim menjaga adab ketika berhadapan dengan guru hatta pandangan mata juga perlu dijaga semasa bersama dengan guru. Sesungguhnya guru simbol kepada ilmu pengetahuan, oleh itu menghormati guru bermakna menghargai ilmu dan sikap hormat ini  merupakan perantaraan untuk mendapatkan keberkatan melalui apa yang dipelajari. Menurut Imam Burhanuddin al Zarnuji tentang aspek memuliakan ilmu ini dan juga memuliakan guru:

اعلم بأن طالب العلم لا ينال العلم، ولا ينتفع به، إلا بتعظيم العلم، وأهله وتعظيم الأستاذ، وتوقيره

Maksudnya: “Ketahuilah bahawasanya orang yang menuntut ilmu tidak akan sampai ilmu, dan tidak bermanfaat ilmunya melainkan dengan memuliakan ilmu dan ahlinya dan memuliakan gurunya dan menghormatinya” [5]

(Rujuk Ta’lim al-Muta’alim bi Thoriq Ta’alum: 55)

Oleh yang demikian, sudah terang lagi bersuluh bahawa insan yang bernama guru ini perlu dihormati dan disanjungi tanpa mengira sekecil mana ilmu yang telah diajarkannya kepada kita. Malah, mereka mempunyai hak untuk dihargai dan diletakkan di tempat yang selayaknya. Tambahan lagi, para ulama meletakkan kehormatan guru itu setaraf dengan kedua ibu bapa bahkan ada sebahagian mereka mengiktiraf kemuliaan guru lebih tinggi dari kedudukan ibu bapa. Menurut Imam Ghazali R.H di dalam karyanya yang masyhur:

فإنَّ الوالد سببُ الوجود الحاضر، والحياة الفانية، والمعلم سبب الحياة الباقية

Maksudnya: “Sesungguhnya ibu bapa adalah sebab kewujudan seorang anak di muka bumi ini, namun kehidupan ini akan binasa. Sedangkan guru adalah sebab kepada kejayaan abadi seseorang di akhirat yang kekal selamanya.” [6]

(Rujuk Ihya’ Ulum ad-Din: j1, h55)

Kesimpulannya:

Tindakan mempersendakan guru adalah tidak wajar sama sekali kerana agama Islam melarang sekeras-kerasnya ke atas umat islam melakukan perkara tersebut. Sebaliknya perlu menyokong setiap usaha guru dalam mendidik anak bangsa khususnya pada zaman yang penuh dengan cabaran dalam institusi pendidikan pada masa kini. Sesungguhnya guru adalah insan yang memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang bertamadun dan berilmu.

Wallahu a’alam..

 

Rujukan:

[1] Surah al Mujadilah: 11

[2] Abu Jaafar al Tabari, Jami’ al Bayan fi Ta’wil al Quran, Tahqiq: Ahmad bin Muhammad Syakir. Muassasah al Risalah. 

[3] Abu Abdullah Ahmad bin Muhammad Bin Hanbal Bin Hilal Bin Hasad as-Syaibani, Musnad al-Imam Ahmad Bin Hanbal, Tahqiq: Syua’ib al-Arnut dan Musyrif ‘Adil, Musyrif: Dr. Abdullah bin Abdul Muhsin al-Turkiy. Muassah ar-Risalah, j37 h416, no: 22755.

[4] Muhammad Bin Ismail Abu Abdullah al-Bukhari, Sohih al-Bukhari, Tahqiq: Muhammad Bin Nasir al-Nasir, Dar al-Tuqi al-Najah, 1422H, j3 h193, no:2731.

[5] al Imam Burhanuddin al Zarnuji, Ta’lim al Muta’alim fi Thoriq al-Ta’alum, Tahqiq: Solah Mohamad al-Khaisi dan Nazir Hamdan. Dar Ibnu Kathir – Beirut, h:55.

[6] Abu Hamid Muhammad Bin Ahmad al-Ghazali al-Tusi, Ihya’ ‘Ulum ad-Din, Dar al-Ma’rifat – Beirut, j1 h55.