Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

ak1791

SOALAN

Assalamualaikum. Saya mendengar pelbagai versi bacaan doa qunut imam dalam solat Subuh secara berjemaah. Ada yang memanjangkan dan kadangkala ada yang meringkaskannya pula. Saya ingin bertanya, adakah dibolehkan menambah apa sahaja doa di dalamnya?

Mohon pencerahan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Kesimpulannya, dibolehkan untuk menambah apa-apa doa dan pujian kepada Allah SWT di dalam doa qunut, termasuklah ayat-ayat al-Quran yang mempunyai makna kedua-duanya. Namun, doa qunut yang paling afdhal ialah hadith yang diriwayatkan daripada Rasulullah SAW.

Di samping itu juga, imam tidak patut memanjangkan doa qunut dengan sengaja tanpa sebab dan keperluan kerana hukum memanjangkan qunut adalah makruh. Selain itu, imam juga perlulah menggunakan lafaz jamak di dalam doa qunut supaya doa tersebut merangkumi semua jemaah.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Doa qunut ialah zikir yang khusus yang mengandungi ucapan doa dan puji-pujian kepada Allah SWT. Ia boleh untuk diucapkan dengan apa-apa lafaz yang mempunyai dua unsur ucapan tersebut termasuk ayat-ayat al-Quran dengan syarat hendaklah seseorang itu berniat membaca doa qunut. Hal ini sepertimana yang disebutkan di dalam Kasyifah al-Saja Syarh Safinat al-Naja, bahawa:

والقنوت هو ذكر مخصوص مشتمل على دعاء وثناء ويحصل بكل لفظ اشتمل عليهما بأي صيغة شاء كقوله: اللهم اغفر لي يا غفور، فالدعاء يحصل باغفر والثناء بغفور، وكذلك ارحمني يا رحيم وقوله: الطف بي يا لطيف وهكذا، ومثل الذكر المخصوص آية تتضمن ذلك كآخر سورة البقرة بشرط أن يقصد بها القنوت، وكقوله تعالى: ربنا اغفر لنا ولإخواننا الذين سبقونا بالإيمان ولا تجعل في قلوبنا غلاًّ للذين آمنوا ربنا إنك رؤوف رحيم} الحشر:10

Maksudnya: Qunut ialah zikir yang khusus yang merangkumi doa dan puji-pujian kepada Allah SWT. Ia boleh diucapkan dengan apa-apa lafaz yang membawa makna kedua-dua unsur tersebut, contohnya: “Ya Allah, ampunkan dosaku, wahai Yang Maha Pengampun.” Maka, doa terhasil dengan lafaz ‘ampunkan’ dan puji-pujian terhasil dengan lafaz ‘Yang Maha Pengampun’. Contohnya lagi: “Kasihanilah aku wahai Yang Maha Mengasihani.”, “Berlemah lembutlah ke atasku wahai Yang Maha Lembut.” Dan sebagainya. Begitu juga termasuk dalam zikir yang khusus ini juga ialah ayat al-Quran yang mempunyai unsur tersebut (doa dan pujian) seperti ayat terakhir dalam surah al-Baqarah dengan syarat hendaklah diniatkan untuk membaca qunut. Dan juga seperti firman Allah SWT, “Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu".” (Surah al-Hasyr: 10) (Rujuk Kasyifat al-Saja Syarh Safinat al-Naja, 1:177)

Walau bagaimanapun, lafaz doa qunut yang afdhal bagi doa qunut ialah apa yang diriwayatkan daripada Rasulullah SAW oleh Abu Hurairah RA, iaitu apa yang biasa diamalkan oleh masyarakat kita pada hari ini dan disertakan dengan beberapa penambahan. Bagi penambahan doa dan puji-pujian tersebut, Imam Ibn al-Hajar berkata: “Tidak mengapa untuk menambah lafaz (doa dan puji-pujian) dan tidak perlu sujud sahwi kerana meninggalkan tambahan tersebut.”

Hal ini sama sepertimana disunatkan untuk menambah doa qunut yang dibaca oleh Saidina Umar al-Khattab RA:

وَاسْتَحَبَّ الْأَصْحَابُ أَنْ يَضُمَّ إِلَيْهِ قُنُوتَ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ

Maksudnya: Disunatkan menurut para ulama’ syafieyyah untuk menggabungkan kepada doa qunut yang diriwayatkan itu dengan doa qunut Saidina Umar. (Rujuk Raudhat al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, 1:331)

Walau bagaimanapun, hendaklah diperhatikan beberapa perkara penting berkaitan ini:

Pertama, makruh hukumnya jika sengaja memanjangkan doa qunut tanpa sebab yang membolehkannya. Para imam hendaklah membaca doa pada kadarnya sahaja dan tidak memanjangkannya secara berlebih-lebihan. Hal ini sepertimana yang disebutkan bahawa:

قَالَ فِي الْمَجْمُوعِ عَنْ الْبَغَوِيِّ: وَيُكْرَهُ إطَالَةُ الْقُنُوتِ: أَيْ بِغَيْرِ الْمَشْرُوعِ كَالتَّشَهُّدِ الْأَوَّلِ، وَظَاهِرُهُ عَدَمُ الْبُطْلَانِ، وَهُوَ كَذَلِكَ؛ لِأَنَّ الْبَغَوِيَّ الْقَائِلَ بِكَرَاهَةِ التَّطْوِيلِ قَائِلٌ بِأَنَّ تَطْوِيلَ الرُّكْنِ الْقَصِيرِ يَبْطُلُ عَمْدُهُ، وَقَالَ الْقَاضِي حُسَيْنٌ: وَلَوْ طَوَّلَ الْقُنُوتَ زَائِدًا عَلَى الْعَادَةِ كُرِهَ، وَفِي الْبُطْلَانِ احْتِمَالَانِ

Maksudnya:  (Imam al-Nawawi) berkata di dalam kitab al-Majmu’, daripada al-Baghawi: “Makruh hukum memanjangkan qunut tanpa sebab sepertimana juga dalam tasyahhud awal. Pendapat yang zahir ialah tidak batal jika melakukannya. Memang begitu kerana al-Baghawi yang berpendapat bahawa memanjangkan qunut adalah sesuatu yang makruh, beliau juga berpendapat bahawa perbuatan memanjangkan rukun yang pendek akan membatalkan solat jika dibuat dengan sengaja. Al-Qadhi Husain berkata: “Jika sekiranya seseorang memanjangkan qunut lebih daripada adat yang biasa, hukumnya adalah makruh, dan sama ada batal atau tidak, ada dua pandangan.” (Rujuk Mughni al-Muhtaj Syarh al-Minhaj, 1:369)

Kedua, hendaklah imam menggunakan lafaz jamak yang merangkumi dirinya dan para jemaah yang lain di dalam doa yang dibaca olehnya.

(وَالْإِمَامُ) يُسَنُّ لَهُ فِي قُنُوتِهِ أَنْ يَأْتِيَ (بِلَفْظِ الْجَمْعِ) لِمَا رُوِيَ عَنْ الْبَيْهَقِيّ فِي إحْدَى رِوَايَتَيْهِ، وَحُمِلَ عَلَى الْإِمَامِ وَعَلَّلَهُ الْمُصَنِّفُ فِي أَذْكَارِهِ بِأَنَّهُ يُكْرَهُ لِلْإِمَامِ أَنْ يَخُصَّ نَفْسَهُ بِالدُّعَاءِ لِخَبَرِ «لَا يَؤُمَّ عَبْدٌ قَوْمًا فَيَخُصُّ نَفْسَهُ بِدَعْوَةٍ دُونَهُمْ، فَإِنْ فَعَلَ فَقَدْ خَانَهُمْ» رَوَاهُ أَبُو دَاوُد وَالتِّرْمِذِيُّ وَحَسَّنَهُ.

Maksudnya: Dan imam disunatkan di dalam doa qunutnya untuk menggunakan lafaz jamak berdasarkan apa yang diriwayatkan daripada al-Baihaqi dalam salah satu riwayatnya dan pengarang kitab (Imam al-Nawawi) memberikan penghujahan di dalam kitabnya, al-Adzkar bahawa makruh hukumnya bagi imam mengkhususkan doa hanya kepada dirinya sendiri berdasarkan kepada hadith, “Tidak seseorang yang menjadi imam kepada suatu kaum, lalu dia mengkhususkan doa untuk dirinya sahaja dan bukan untuk yang lain, jika dia berbuat sedemikian sesungguhnya dia telah mengkhianati mereka.” Hadith riwayat Abu Daud dan al-Tirmidzi, katanya hadith ini hasan. (Rujuk Nihayat al-Muhtaj Syarh al-Minhaj, 1:504)

WaAllahu a’lam.