Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

insurans 2

 

Soalan

Assalamualaikum Tuan Mufti, saya ingin bertanya. Apakah hukum menjual insuran konvensional kepada muslim atas niat ingin menolong untuk mendapatkan perlindungan dengan caruman yang lebih murah? Dan apakah hukum terhadap penjual insuran muslim dan pencarum muslim. Penjelasan daripada Tuan Mufti amat dihargai.

 

Jawapan Ringkas

Sikap saling menolong sesama muslim merupakan perbuatan yang terpuji. Namun, menolong dengan cara menjual insurans konvensional kepadanya hukumnya haram dan tidak dibenarkan. Alasan utamanya kerana insurans konvensional tidak menepati ciri-ciri urusniaga yang dibenarkan dalam Islam kerana transaksinya mengandungi unsur riba, gharar (ketidaktentuan) dan perjudian yang diharamkan oleh Syarak. Pengharaman ini ditujukan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung; termasuklah pembeli atau pencarum tersebut. Apatah lagi zaman sekarang sudah wujud syarikat-syarikat takaful sebagai alternatif kepada insurans konvensional.

 

Huraian Jawapan

Niat yang baik untuk menolong sesama saudara Muslim merupakan satu tindakan yang terpuji. Namun begitu, niat yang baik perlu diiringi dengan tindakan yang bertepatan dengan roh Syariah termasuklah dalam bab memberikan tawaran insurans kepada mereka.

Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

MaksudnyaDan hendaklah kamu tolong-menolong dalam membuat kebajikan dan ketakwaan. Janganlah kamu bertolong-tolongan dalam melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

Surah al-Maidah (2)

Hukum berkenaan insurans konvensional sama ada insurans nyawa mahupun insurans am seperti kereta, rumah, motosikal dan sebagainya adalah haram. Hukum ini seiring dengan keputusan yang sudah diputuskan dalam Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-16 dan Ke-89. Antara sebab utama pengharaman insurans konvensional ialah melihat kepada bentuk transaksinya yang mengandungi unsur-unsur yang bertentangan dengan prinsip asas jual beli dalam islam seperti gharar (ketidaktentuan), riba, dan perjudian.

Resolusi Majma’ al-Fiqh al-Islami tahun 1979 dan 1985 juga menyebutkan perkara yang sama mengharamkan segala jenis insurans konvensional termasuklah insurans nyawa, kereta, perniagaan dan lain-lain. Sebagai alternatif, dihalalkan untuk mengambil takaful yang menjalankan konsep secara tolong-menolong serta pemberian wang secara sukarela.

Seterusnya, dalam Islam jelas menyebut bahawa ‘matlamat tidak menghalalkan cara’ melainkan dalam keadaan terdesak dan darurat yang diiktiraf oleh Syarak berdasarkan syarat-syarat tertentu.

Penetapan ini ditetapan oleh Allah SWT berdasarkan firman-Nya:

وَقَدْ فَصَّلَ لَكُم مَّا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ إِلَّا مَا اضْطُرِرْتُمْ إِلَيْهِ

Maksudnya: Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkanNya atas kamu, kecuali apa yang kamu terpaksa memakannya?

Surah al-An’am (119)

Melihat kepada situasi di atas, kami tidak melihat penawaran insurans konvensional sebagai suatu keadaan yang mendesak kerana terdapat pelbagai alternatif lain seperti syarikat takaful yang menawarkan insurans yang menepati roh Syariah. Selain itu, harga polisi bagi insurans takaful tidak dinafikan lebih mahal berbanding konvensional. Walau bagaimanapun, perkara tersebut tidak termasuk dalam kategori darurat sehingga mengharuskan melakukan perkara yang diharamkan.

Rujuk juga artikel kami berkaitan darurat di laman web: https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/1904-irsyad-fatwa-ke-62-syarat-syarat-perlaksanaan-darurat.

Tambahan pula, kewujudan industri syarikat takaful di Malaysia secara relatifnya masih baru berbanding syarikat insurans konvensional yang sudah lama bertapak. Jadi, sokongan dan dokongan diperlukan khususnya dalam kalangan umat Islam sendiri bagi mengukuhkan dan menstabilkan tapak dan kewangan syarikat takaful. Kesannya, syarikat takaful mampu memberikan persaingan terhadap syarikat-syarikat insurans konvensional lain termasuklah penawaran harga polisi yang lebih kompeten setara dengan polisi yang ditawarkan syarikat konvensional.

Dalam masa yang sama, mencari sesuatu yang halal merupakan suatu tuntutan kepada setiap Muslim. Pendirian ini sangat penting bagi mengelakkan tergolong dalam kalangan mereka yang disebutkan oleh Rasulullah SAW sebagai Muslim yang memandang enteng urusan halal dan haram.

Rasulullah SAW bersabda:

يَأْتي على النّاسِ زَمانٌ، لا يُبالِي المَرْءُ ما أخَذَ منه، أمِنَ الحَلالِ أمْ مِنَ الحَرامِ

Maksudnya: Akan datang suatu zaman nanti di mana seseorang sudah tidak lagi mengambil endah apa (pendapatan) yang diperolehinya, sama ada daripada sumber halal ataupun haram.

Riwayat al-Bukhari (2059)

Akhir kata, semoga Allah murahkan rezeki setiap umat Islam dan memudahkan urusan kita semua dalam mencari sesuatu yang halal. Wallahu a’lam.