Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1802: APAKAH HUKUM MEMBATALKAN PUASA GANTI RAMADAN

ak1802.JPG

Soalan

Assalamualaikum, saya ada satu persoalan berkenaan dengan puasa ganti yang saya tinggalkan pada bulan Ramadan. Waktu saya ganti puasa tersebut, rakan saya menjemput saya untuk makan persoalannya, adakah boleh saya membatalkan puasa saya untuk memenuhi jemputan rakan saya itu. Sekian terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Puasa ganti Ramadan adalah fardhu ain dan wajib ditunaikan. Oleh itu, tidak boleh memutuskannya atau membatalkan secara sengaja malah berdosa besar sekiranya melakukannya. Di samping itu, wajib menyelesaikannya sehingga sempurna melainkan dalam keadaan uzur yang disyariatkan seperti sakit, haid, atau bermusafir. 

Huraian Jawapan

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Puasa Ramadan merupakan puasa yang wajib dikerjakan apabila tiba pada waktu yang ditetapkan. Ia telah ditetapkan oleh syarak ke atas setiap umat Islam sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya:  Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

(Surah al-Baqarah, 183)

Namun, sekiranya seseorang itu tidak mampu untuk berpuasa atas sebab keuzuran seperti sakit, musafir, haid dan sebagainya maka wajib ke atasnya untuk menggantikan semula pada hari yang lain. Firman Allah SWT:

فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

Maksudnya: Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain

(Surah al-Baqarah, 184)

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, hukum menggantikan puasa yang ditinggalkan pada bulan Ramadan adalah wajib. Oleh itu, tidak boleh untuk membatalkannya dengan sengaja tanpa uzur yang disyariatkan oleh syarak. Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Hani’ RA, katanya:

يَا رَسُولَ اللَّهِ، لَقَدْ أَفْطَرْتُ، وَكُنْتُ صَائِمَةً، فَقَالَ لَهَا: «أَكُنْتِ تَقْضِينَ شَيْئًا؟»، قَالَتْ: لَا، قَالَ: «فَلَا يَضُرُّكِ إِنْ كَانَ تَطَوُّعًا»

Maksudnya: Wahai Rasullullah, sesungguhnya aku telah berbuka sedangkan aku berpuasa”. Maka Rasulullah SAW berkata kepadanya: “Adakah kamu sedang mengqadhakan sesuatu (puasa)”. Beliau berkata: “Tidak”. Sabda Rasulullah SAW: “Maka tidak memudaratkan kamu (tidak berdosa) sekiranya ia puasa sunat

Rwayat Abu Daud (2456)

Dalam hadis ini Rasulullah meminta penjelasan dari Ummu Hani’ samada beliau berpuasa qadha tertentu dan setelah dijelaskan ianya adalah berpuasa sunat maka Rasulullah SAW menjawab bahawa tidak berdosa untuk sengaja berbuka bagi puasa sunat. Ini bererti jika puasa qadha maka adalah tidak dibenarkan untuk berbuka dengan sengaja .

Imam Taqiyuddin al-Hisni menyebut di dalam karyanya kifayah al-Akhyar:

وَمن شرع فِي صَوْم الْقَضَاء فَإِن كَانَ على الْفَوْر لم يجز الْخُرُوج مِنْهُ وَإِن كَانَ على التَّرَاخِي فَالصَّحِيح وَنَصّ الشَّافِعِي فِي الْأُم أَنه لَا يجوز لِأَنَّهُ تلبس بِفَرْض وَلَا عذر فَلَزِمَهُ إِتْمَامه كَمَا لَو شرع فِي الصَّلَاة فِي أول الْوَقْت لَا يجوز لَهُ قطعهَا

Maksudnya: Sesiapa yang mengerjakan puasa ganti, sekiranya puasa yang perlu digantikan segera (seperti puasa yang sengaja dibatalkan tanpa uzur) begitu juga, sekiranya puasa boleh dilewatkan ganti (puasa yang batal kerana uzur tertentu seperti musafir dan sakit), menurut pandangan yang sahih dan nas daripada Imam al-Syafi’e di dalam al-Umm bahawa tidak boleh membatalkannya kerana telah melakukan perkara yang wajib dan tidak ada keuzuran. Oleh itu, dia wajib menyempurnakannya sepertimana seseorang yang menunaikan solat pada awal waktu maka tidak boleh membatalkannya.

(Rujuk Kifayah al-Akhyar, 1/207)

Puasa ganti Ramadan merupakan fardu ain yang diwajibkan ke atas mereka yang meninggalkannya. Oleh itu memutuskannya atau membatalkannya dengan sengaja adalah haram bahkan ia menyebabkan dosa yang besar. Syeikh Jamal menyebut di dalam hasyiahnya bahawa:

(قَوْلُهُ: وَحَرُمَ قَطْعُ فَرْضٍ عَيْنِيٍّ) وَهُوَ مِنْ الْكَبَائِرِ كَمَا ذَكَرَهُ أَئِمَّةُ الْأُصُولِ

Maksudnya: (Menurut Imam Zakarian al-Ansari: haram membatalkan fardhu ain) sebahagian dari dosa besar sepertimana yang disebut oleh para ulama usul fiqh.

(Rujuk, Hasyiah Jamal ala Syarh al-Minhaj, 2/353)

Berbalik kepada persoalan yang diajukan serta penjelasan yang diberikan dapat disimpulkan bahawa puasa ganti Ramadan adalah fardu ain dan wajib ditteruskan. Oleh itu, tidak boleh memutuskannya atau membatalkan secara sengaja malah berdosa besar. Di samping itu, wajib menyelesaikannya sehingga sempurna melainkan dalam keadaan uzur yang disyariatkan seperti sakit, haid, atau bermusafir. 

Wallahu’alam