AL-KAFI #1818: HUKUM MEMBAYAR HUTANG YANG SUDAH TIDAK DITUNTUT KERANA TERHUTANG BUDI

ada 2 

Soalan

Assalamualaikum. Saya ada pertanyaan. Pada 25 tahun yang lalu, ayah saya pernah meminjam duit seseorang untuk membeli peti ais. Sehingga sekarang ayah saya tak pernah bayar balik sebab pemiutang sudah halalkan. Namun, saya sebagai anak memang mampu dari segi kewangan untuk membayar semula hutang tersebut.

Soalan saya, adakah saya perlu bayar hutang ayah saya walaupun hutang itu sudah dihalalkan oleh pemiutang mengenang kepada jasa pemiutang yang menolong meringankan beban ayah saya?

 

Jawapan Ringkas

Kaedah dalam Syariah menyebut sekiranya pemiutang atau orang yang memberikan hutang telah menghalalkan hutang yang pernah diberikan suatu ketika dahulu, maka hutang tersebut dikira sudah tergugur dan tidak wajib dilunaskan. Walaupun begitu, sekiranya pihak lain seperti anak kepada penghutang tetap ingin membayar juga atas apa-apa sebab seperti berasa terhutang budi dan sebagainya, dalam masa yang sama pemiutang menerimanya, maka pemberian tersebut dianggap sebagai hadiah semata-mata bukanlah pembayaran semula hutang.

 

Huraian Jawapan

Islam merupakan suatu agama yang sempurna dan istimewa bersesuaian untuk seluruh umat manusia sepanjang zaman. Agama islam sangat kaya dengan khazanahnya dari segi kaedah asas beserta perimeternya merangkumi segenap aspek kehidupan manusia seperti ibadah, muamalat, dan sebagainya. Setiap ketetapan dibuat bagi memberi panduan kepada manusia untuk melakukan aktiviti seharian. Antara hukum-hakam yang dibincangkan dalam syariah Islam adalah berkaitan pelepasan dan pengguran hak terhadap sesama manusia atau disebut sebagai Isqat.

Melihat kepada peri pentingnya isu ini, para ulama membincangkannya dalam kitab mereka melalui kaedah:

الساقط لا يعود

Maksudnya: “Hak yang telah digugurkan tidak boleh ditarik balik.”

(Rujuk: Mausu’ah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 5/6)

Kaedah ini diambil daripada nas al-Quran bahkan agama menggalakkan umatnya memaafkan dan menggugurkan hak yang dimilikinya. Antara contoh jelas apabila al-Quran menggunakan lafaz ‘sedekah’ bagi mereka yang menggugurkan hak mereka dalam bab kaffarah bunuh tanpa sengaja, antaranya firman Allah SWT,

وَدِيَةٌ مُّسَلَّمَةٌ إِلَىٰ أَهْلِهِ إِلَّا أَن يَصَّدَّقُوا

Maksudnya: “…serta membayar "diah" (denda ganti nyawa) yang diserahkan kepada ahlinya (keluarga si mati), kecuali jika mereka sedekahkan (memaafkannya)...”

Surah al-Nisa’ (92)

Selain itu, terdapat isyarat daripada ayat lain yang menggalakkan umat Islam memaafkan sesama mereka dengan menggugurkan hak yang sepatutnya boleh dituntut. Allah SWT berfirman,

لَهُنَّ فَرِيضَةً فَنِصْفُ مَا فَرَضْتُمْ إِلَّا أَن يَعْفُونَ أَوْ يَعْفُوَ الَّذِي بِيَدِهِ عُقْدَةُ النِّكَاحِ ۚ وَأَن تَعْفُوا أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۚ وَلَا تَنسَوُا الْفَضْلَ بَيْنَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Maksudnya: “…maka mereka berhak mendapat separuh dari maskahwin yang telah kamu tetapkan itu, kecuali jika mereka memaafkannya (tidak menuntutnya); atau (pihak) yang memegang ikatan nikah itu memaafkannya (memberikan mas kahwin itu dengan sepenuhnya). Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa. Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan.”

Surah al-Baqarah (237)

Demikian juga hadis yang diriwayatkan oleh Ka’ab bin Malik RA:

أَنَّهُ تَقَاضَى ابْنَ أَبِى حَدْرَدٍ دَيْنًا كَانَ لَهُ عَلَيْهِ فِى الْمَسْجِدِ، فَارْتَفَعَتْ أَصْوَاتُهُمَا حَتَّى سَمِعَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ فِى بَيْتِهِ، فَخَرَجَ إِلَيْهِمَا حَتَّى كَشَفَ سِجْفَ حُجْرَتِهِ فَنَادَى: يَا كَعْبُ. قَالَ لَبَّيْكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ: ضَعْ مِنْ دَيْنِكَ هَذَا. وَأَوْمَأَ إِلَيْهِ أَىِ الشَّطْرَ قَالَ لَقَدْ فَعَلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ: قُمْ فَاقْضِهِ

Maksudnya: “Suatu ketika dia menuntut Abdullah bin Abu Hadrad supaya membayar hutangnya. Peristiwa ini berlaku di dalam masjid. Suara mereka riuh rendah hingga didengari oleh Rasulullah SAW walaupun Baginda ketika itu berada di dalam rumahnya. Lalu Rasulullah SAW keluar menemui mereka hingga terselak langsir bilik Baginda. Baginda memanggil Ka'ab bin Malik: "Wahai Ka'ab", Ka'ab menjawab: "Ya, aku datang wahai Rasulullah". Sambil mengisyaratkan dengan tangannya Baginda bersabda: "Rebatlah sebahagian". Ka'ab membalas: "Ya, wahai Rasulullah". Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Bangunlah, bayarlah hutang itu kepadanya."

Riwayat al-Bukhari (2563)

Khusus berkenaan bab hutang, sekiranya seseorang didapati berhutang dengan orang lain dan kedua-dua pihak saling mengetahui dan mengakui, maka tanggungjawab hutang tersebut tidak akan terlepas melainkan penghutang melangsaikan kesemua hutang tersebut.

Walau bagaimanapun, sekiranya pemiutang telah melepaskan haknya untuk menuntut hutang atau menghalalkan sebahagian mahupun keseluruhan hutang, maka hutang tersebut dianggap terlunas. Lantaran itu, pemiutang tidak berhak menuntut hutang tersebut walaupun penghutang mengambil sikap tidak endah untuk membayarnya.

(Rujuk: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 3/458)

Seterusnya, sekiranya pihak lain seperti anak kepada penghutang tetap ingin membayar juga atas apa-apa sebab sekalipun seperti berasa terhutang budi dan sebagainya, dalam masa yang sama pemiutang menerimanya, maka pemberian tersebut dianggap sebagai hadiah semata-mata bukan pembayaran semula hutang dan hukumnya harus.

Wallahu a’lam.


Cetak   Emel