AL-KAFI #1819: ADAKAH ZAKAT DIKENAKAN TERHADAP HARTA FARAID YANG BELUM DIBAHAGIKAN?

emas 4

Soalan

Saya hendak bertanya tentang  wang simpanan dalam akaun arwah suami sebanyak 120 ribu. Arwah meninggal tahun 2017, sampai sekarang kes belum selesai. Wang yang ada akan dibahagi dua antara saya dengan isteri kedua. Soalan saya macam mana nak kira zakat simpanan wang arwah bila kes selesai nanti?

 

Jawapan Ringkas

Pemilikan harta secara sempurna merupakan syarat utama sesuatu harta diwajibkan zakat. Harta faraid yang belum dibahagikan mempunyai gambaran pemilikan harta yang belum sempurna. Dalam konteks hari ini, proses tukar milik kebiasaannya mengambil masa yang agak lama bergantung kepada sesuatu kes bahkan memakan masa bertahun-tahun seperti kes di atas.

Oleh hal yang demikian, zakat tidak diwajibkan terhadap harta tersebut selagimana proses pertukaran hak milik masih belum selesai. Sekiranya sudah selesai nanti, barulah wajib dikeluarkan  sebanyak 2.5% daripada keseluruhan harta yang berbaki. Selain itu, zakat dikenakan untuk tahun semasa sahaja tanpa perlu menunggu haul setahun.

 

Huraian Jawapan

Berkenaan soalan di atas, ia berkait rapat dengan perbahasan mengenai syarat-syarat harta yang wajib dikenakan zakat. Antara syarat utama yang dibincangkan para ulama ialah al-milk al-tam (pemilikan sempurna).

Menurut mazhab Syafie sepertimana Imam al-Mawardi menukilkan pandangan Imam al-Syafie dalam kitabnya,

وَتَجِبُ الصَّدَقَةُ عَلَى كُلِّ مَالِكٍ تَامِّ الْمِلْكِ مِنَ الْأَحْرَارِ، وَإِنْ كَانَ صَغِيرًا أَوْ مَعْتُوهًا أَوِ امْرَأَةً لَا فَرْقَ بَيْنَهُمْ فِي ذَلِكَ

Maksudnya“Zakat diwajibkan bagi orang yang merdeka (bukan hamba) yang memiliki harta dengan pemilikan sempurna termasuklah anak kecil, orang gila atau wanita. Tidak ada perbezaan antara mereka dalam kewajiban berzakat”.

(Rujuk: al-Hawi al-Kabir, 3/152)

Pemilikan sempurna merujuk kepada pemilikan terhadap dua aspek utama iaitu fizikal harta benda dan manfaat. Sebahagian ulama menyatakan pemilikan sempurna sebagai harta yang dimiliki secara yad (harta berada dalam tangan) dan raqabah (harta dibawah kuasa dan kawal selia).

(Rujuk: al-Bahru al-Raiq, 2/218)

Al-Zabidi menjelaskan konsep pemilikan sempurna sebagai apa yang terangkum padanya kuasa milik dan kuasa mengurus. Sekiranya wujud kuasa milik tanpa kuasa mengurus seperti pembelian barang sebelum penyerahan, mahar sebelum berlaku penyerahan ataupun mempunyai kuasa mengurus tetapi tiada kuasa milik seperti hamba al-mukatab (hamba yang dijanjikan untuk dibebaskan dengan bayaran tertentu) dan hutang maka tidak wajib untuk dizakatkan.

(Rujuk: al-Jawharah al-Nayyirah Syarh Mukhtasor al-Qayduri, 1/114)

Berdasarkan perbahasan di atas, harta faraid yang belum dibahagikan mempunyai gambaran pemilikan harta yang belum sempurna. Hal ini melihat kepada konsep faraid iaitu segala harta yang ditinggalkan si mati akan bertukar hak pemilikan kepada ahli waris yang berhak. Dalam konteks hari ini, proses tukar milik kebiasaannya mengambil masa yang agak lama bergantung kepada sesuatu kes bahkan memakan masa bertahun-tahun seperti kes di atas.

Selain itu, pemilikan harta yang masih dalam proses pertukaran hak milik mempunyai gambaran yang sama seperti isu zakat wang  Zakat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dari sudut harta tersebut tidak dapat dimiliki dan dimanfaatkan secara langsung sehingga suatu masa yang tertentu.

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke-120 yang bersidang pada 1 November 2019 telah membincangkan dan membuat keputusan seperti berikut, antaranya:

Ahli yang tidak membuat pengeluaran pada umur 50 tahun, maka apabila mencapai umur 51 tahun DIWAJIBKAN ZAKAT ke atas keseluruhan amaun yang boleh dikeluarkan kerana telah memenuhi syarat milk al-taam (pemilikan sempurna) pada kadar 2.5% tertakluk kepada nisab tanpa perlu menunggu haul.

Oleh yang demikian, melihat kepada persamaan konsep berkenaan pemilikan harta faraid yang belum dibahagikan dengan wang KWSP, kami berpandangan zakat terhadap harta tersebut hanya diwajibkan apabila proses pertukaran hak milik sudah berlaku secara sempurna. Kadar zakat dikenakan sebanyak 2.5% daripada keseluruhan harta dan hanya dikenakan untuk tahun semasa sahaja tanpa perlu menunggu haul.

Wallahu a’lam.


Cetak   Emel