AL-KAFI #1829: HUKUM MEMBAKAR SAMPAH SEHINGGA MENGGANGGU JIRAN

ak1829

Soalan :

Assalamualaikum. Semenjak PKP Covid19 ni, rakyat mula tinggal di rumah masing-masing dengan lebih lama. Dengan lebihan masa yang ada, terdapat penduduk kawasan kejiranan saya yang rajin mengemas laman rumah mereka dan membuat aktiviti pembakaran sampah secara terbuka.

Impaknya, saya yang mempunyai bayi kecil, anak yang sensitif terhadap asap pembakaran sampah ini rasa sangat tidak selesa dengan batuk-batuk, sakit mata dan sesak nafas. Hendak ditegur takut bermasam muka. Tidak ditegur takut mereka tak tahu. Persoalan saya sekarang, adakah saya yang perlu bertimbang rasa dengan perbuatan mereka dan apakah hukum membakar sampah di dalam islam. Sekian terima kasih.

Ringkasan jawapan :

Melakukan pembakaran secara terbuka sehingga boleh memudaratkan jiran tetangga adalah perkara yang dilarang. Nabi SAW telah memberikan peringatan berkenaan orang yang suka menyakiti jirannya. Pembakaran terbuka juga adalah perbuatan yang melanggar undang-undang. Dalam peruntukan di bawah  akta kualiti alam sekeliling 1974, dalam seksyen 29A, tiada seseorang yang dibenarkan melakukan pembakaran terbuka.  Sebagai seorang jiran, sudah menjadi kewajipan untuk menegur dengan cara yang paing berhikmah agar tidak menyebabkan orang yang melakukan perkara tersebut tersinggung. Semoga Allah memberikan kefahaman kepada kita semua. Wallahu’alam.

Huraian jawapan :

Perkara penting yang perlu diingati bersama, Islam mengajarkan umatnya agar sentiasa menjaga alam sekitar daripada pencemaran. Perkara ini adalah manifestasi daripada firman Allah SWT :

وَلَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ بَعْدَ إِصْلَاحِهَا

Maksudnya : “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya…”[1]

Menjelaskan ayat di atas, Imam Fakhruddin al-Razi (m. 606 H) menyatakan bahawa makna ayat tersebut adalah jangan merosakkan apa sahaja yang berada di atas muka bumi. Ianya termasuk nyawa, harta, akal dan nasab. Tambahan lagi beliau menyatakan, kalimat ‘dan janganlah kamu berbuat kerosakan’ memberi maksud satu larangan untuk agar tidak melakukan apa sahaja bentuk kerosakan yang ada. Beliau menggunakan kaedah :

وَالْمَنْعُ مِنْ إِدْخَالِ الْمَاهِيَّةِ فِي الْوُجُودِ يَقْتَضِي الْمَنْعَ مِنْ جَمِيعِ أَنْوَاعِهِ وَأَصْنَافِهِ

“ Larangan memasukkan sesuatu yang wujud bermakna larangan pada kesemua jenis dan bentuknya”[2]

Berdasarkan penjelasan Imam Fakhruddin al-Razi, Allah SWT melarang apa sahaja jenis kerosakan termasuk pencemaran udara, air, darat dan lain-lain. Ini kerana perkara tersebut merupakan salah satu kerosakan yang sering dilakukan dan merosakkan alam. Sedangkan apa yang dimiliki oleh manusia pada hari ini adalah amanah daripada Allah SWT agar manusia memeliharanya dengan baik. Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman :

وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الْفَسَادَ

Maksudnya : “…sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.”[3]

Justeru, melakukan pembakaran terbuka adalah perkara yang dilarang. Ia merupakan salah satu faktor yang boleh menyumbang kepada pencemaran udara dan menjejaskan kualiti udara[4] serta mendatangkan kemudaratan. Lebih-lebih lagi jika bahan yang dibakar itu adalah bahan lastic atau kimia. Tambahan lagi, ia boleh mendatangkan mudarat kepada orang sekeliling. Ibn Abbas meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

‌لَا ‌ضَرَرَ ‌وَلَا ‌ضِرَار

Maksudnya : “ Tiada sebarang kemudaratan dan tiada perbuatan membalas kemudaratan (dengan kemudaratan).”[5]

Sheikh Muhammad Abdul Ghani al-Mujaddidi (m.1296 H) menjelaskan bahawa zahir hadis ini membawa makna bahawa kesemua jenis mudarat diharamkan melainkan dengan dalil tertentu kerana kalimat nakirah (am iaitu perkataan ضرر dan ضرار) apabila berada dalam konteks penafian membawa makna umum.[6]

Berdasarkan hadis ini, para ulama menjadikannya sebagai satu kaedah penting. Dalam riwayat yang lain, Nabi SAW bersabda :

‌مَنْ ‌ضَارَّ ‌أَضَرَّ ‌اللَّهُ ‌بِهِ ‌وَمَنْ ‌شَاقَّ ‌شَقَّ ‌اللَّهُ ‌عَلَيْهِ

Maksudnya : “Sesiapa yang menyebabkan mudarat (kepada orang lain), maka Allah akan memberi mudarat kepadanya. Sesiapa yang menyusahkan (orang lain), Allah akan menyusahkan urusannya.”[7]

Oleh kerana itu, perbuatan melakukan pembakaran terbuka sehingga boleh menyebabkan batu-batuk, sesak nafas dan lain-lain adalah perbuatan yang dilarang sama sekali. Ia sangat dilarang lebih-lebih lagi jika ianya melibatkan jiran tetangga. Nabi SAW memberikan peringatan berkenaan orang yang suka menyakiti jirannya. Abu Syuraih meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda :

‌وَاللَّهِ ‌لَا ‌يُؤْمِنُ ‌وَاللَّهِ ‌لَا ‌يُؤْمِنُ ‌وَاللَّهِ ‌لَا ‌يُؤْمِنُ قِيلَ: وَمَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: الَّذِي لَا يَأْمَنُ جَارُهُ بَوَائقَهُ

Maksudnya : “ Demi Allah tidak beriman seseorang. Tidak beriman seseorang dan tidak beriman seseorang. Baginda ditanya: Siapakah orang tersebut wahai Rasulullah SAW? Baginda bersaba : Orang yang mana jirannya tidak merasa aman dari keburukannya (yang dilakukan).”[8]

Ibn Battal (m.449 H) menjelaskan bahawa hadis ini memberi penekanan berkenaan larangan agar tidak menyakiti jiran tetangga. Ini dibuktikan apabila Nabi SAW menyebut berulang kali bahawa tidak sempurna iman orang yang suka menyakiti jirannya.[9]

Kesimpulannya, melakukan pembakaran secara terbuka sehingga boleh memudaratkan jiran tetangga adalah perkara yang dilarang. Nabi SAW telah memberikan peringatan berkenaan orang yang suka menyakiti jirannya. Pembakaran terbuka juga adalah perbuatan yang melanggar undang-undang. Dalam peruntukan di bawah akta kualiti alam sekeliling 1974, dalam seksyen 29A, tiada seseorang yang dibenarkan melakukan pembakaran terbuka[10]. Sebagai seorang jiran, sudah menjadi kewajipan untuk menegur dengan cara yang paling berhikmah agar tidak menyebabkan orang yang melakukan perkara tersebut tersinggung.

NOTA HUJUNG:

[1] Surah al-‘Araf : 56.

[2] Fakhruddin al-Razi, Muhammad bin Umar, Mafatih al-Kabir (1999), Dar Ihya al-Turath al-Arabiy, Beirut, j.14 h.283. Beliau menyebut : مَعْنَاهُ وَلَا تُفْسِدُوا شَيْئًا فِي الْأَرْضِ، فَيَدْخُلُ فِيهِ الْمَنْعُ مِنْ إِفْسَادِ النُّفُوسِ بِالْقَتْلِ وَبِقَطْعِ الْأَعْضَاءِ، وَإِفْسَادِ الْأَمْوَالِ بِالْغَصْبِ وَالسَّرِقَةِ وَوُجُوهِ الْحِيَلِ، وَإِفْسَادِ الْأَدْيَانِ بِالْكَفْرِ وَالْبِدْعَةِ، وَإِفْسَادِ الْأَنْسَابِ بِسَبَبِ الْإِقْدَامِ عَلَى الزِّنَا وَالْلِّوَاطَةِ وَسَبَبِ الْقَذْفِ، وَإِفْسَادِ الْعُقُولِ بسبب شرب المكسرات، وَذَلِكَ لِأَنَّ الْمَصَالِحَ الْمُعْتَبَرَةَ فِي الدُّنْيَا هِيَ هَذِهِ الْخَمْسَةُ: النُّفُوسُ وَالْأَمْوَالُ وَالْأَنْسَابُ وَالْأَدْيَانُ وَالْعُقُولُ. فَقَوْلُهُ: وَلا تُفْسِدُوا مَنْعٌ عَنْ إِدْخَالِ مَاهِيَّةِ الْإِفْسَادِ فِي الْوُجُودِ

[3] Surah al-Baqarah :205

[4] Peningkatan kes pembakaran terbuka punca kualiti udara tidak sihat - Tuan Ibrahim (2021, 3 Mac). Diambil dari https://www.astroawani.com/berita-malaysia/peningkatan-kes-pembakaran-terbuka-punca-kualiti-udara-tidak-sihat-tuan-ibrahim-285716

[5] Riwayat Ibn Majah no 2340,2342, Ibn Majah al-Qazwini, Muhammad bin Yazid, al-Sunan (2009), Dar al-Risalah al-‘Alamiyah, Beirut, j.3 h.430-432; Riwayat Imam Ahmad no 2865, Ahmad bin Hanbal, al-Musnad (2001), Muassasah al-Risalah, Beirut, j.5 h.55.

[6] Jalaluddin al-Suyuti, Abdurrahman bin Kamaluddin ,Al-Mujaddidi al-Hanafi, Muhammad Abdul Ghani, al-Ganggohi, Fakhr al-Hasan bin Abdurrahman, Syuruh Sunan Abi Daud (t.t), Qadimi Kutub Khanah, Karatchi, h.169.

[7] Riwayat al-Baihaqi no 20445, Abu Bakar al-Baihaqi, Ahmad bin al-Husain, al-Sunan al-Kubra (2003), Dar al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut, j.10 h.225. Sheikh Syu’aib al-Arnaut menilai hadis ini sebagai hadis hasan.

[8] Riwayat al-Bukhari no 6016, Abu Abdullah al-Bukhari, Muhammad bin Ismail, al-Jami’ al-Musnad al-Sahih al-Mukhtasar min ‘Umur Rasulillah wa sunanih wa ayyamih (2001), Dar Tuq al-Najah, Beirut, j.8 h.10.

[9] Abu al-Hasan Ibn Battal, Ali bin Khalf, Syarh Sahih al-Bukhari (2003), Maktabah al-Rusyd, Riyadh, j.9 h.222. Beliau menyatakan : وهذا الحديث شديد فى الحض على ترك أذى الجار، الا ترى أنه عليه السلام أكد ذلك بقسمه ثلاث مرات أنه لاؤمن من لايؤمن جاره بوائقه، ومعناه أنه لايؤمن الإيمان الكامل

[10] Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Larangan pembakaran terbuka, h.2


Cetak   Emel