AL-KAFI #1845: HUKUM TERPUTUS ISTIHADAH KETIKA BERWUDUK

PUTUS min

 

 

 

SOALAN

Assalammualaikum, wanita yang sentiasa mengalir darah istihadahnya diwajibkan solat. Bagaimana pula setelah berwuduk dan ketika ingin mendirikan solat darah istihadahnya berhenti. Adakah perlu mengulanginya wuduk?

Ringkasan Jawapan:

Wanita istihadah yang mengambil wuduk dan mendapati darahnya berhenti mengalir keluar sama ada selepas atau semasa mengambil wuduk dan sebelum solat atau semasa solat, maka dia wajib mengulangi wuduknya sekiranya kadar waktu berhenti darah istihadah itu luas dan sempat untuk mengambil wuduk dan solat. Begitu juga, terbatal wuduk apabila darah berhenti terus walaupun di penghujung wuduk dan wajib mengulangi wuduk.  Sementara itu, wanita istihadah  yang berhenti darah setelah solat selesai solat, maka solatnya sah. Namun wuduknya terbatal dan perlu mengambil wuduk bagi solat fardu yang seterusnya.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat

Hukum wanita istihadah (mustahadah) tidak terhalang daripada melaksanakan ibadah solat dan puasa.[1] Rentetan itu, wanita tersebut perlu berwuduk pada setiap solat fardu. Namun, sekiranya selepas berwuduk darah istihadahnya berhenti dan kadar berhenti sempat untuk mengambil wuduk dan solat, maka wajib mengambil wuduk semula. Perkara ini dijelaskan oleh Imam al-Nawawi:

ويجب الوضوء لكل فرض وكذا تجديد العصابة في الأصح ولو انقطع دمها بعد الوضوء ولم تعتد انقطاعه وعوده أو اعتادت ووسع زمن الإنقطاع وضوء الصلاة وجب الوضوء

“Wajib keatas mustahadah (wanita yang ditimpa istihadah) mengambil wuduk pada setiap kali solat fardu dan juga memperbaharui balutan (tuala wanita) menurut pendapat paling sahih. Sekiranya terputus darahnya (istihadah) selepas mengambil wuduk dan tidak beradat (kebiasaan) berhentinya darah dan kembali semula atau pernah terjadi kebiasaan dan waktu terputus itu luas untuk sempat berwuduk dan solat, maka wajib wuduk (ulang semula)”( Lihat Minhaj al-Thalibin 1/19)

Wuduk akan terbatal apabila darah istihadah terputus semasa berwuduk dan sebelum solat dan semasa solat.  [2]  Begitu juga, selepas berwuduk darah istihadah berhenti terus dan tidak kembali maka wuduknya terbatal walaupun berhenti darah yang bersambung di penghujung wuduk. [3]  (Rujuk Mughni Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani al-Fazd Al-Minhaj 1/283)

Informasi lanjut berkaitan   tatacara wanita istihadah bersuci, rujuk pautan berikut

  • IRSYAD AL-FAATWA SIRI KE 148: Wuduk Bagi Mereka Yang Kencing Tidak Lawas dan Hukum berimamkan mereka. https://bit.ly/3E0QFjK

PENUTUP

Kesimpulannya, wanita istihadah yang mengambil wuduk dan mendapati darahnya berhenti mengalir sama ada selepas atau semasa mengambil wuduk dan sebelum solat atau semasa solat, maka dia wajib mengulangi wuduknya sekiranya kadar waktu berhenti darah istihadah  itu luas dan sempat untuk mengambil wuduk dan solat. Namun sekiranya tidak sempat mengambil wuduk kerana darah keluar semula maka tidak wajib mengulangi wuduk.  Begitu juga, terbatal wuduk apabila darah berhenti terus walaupun di penghujung wuduk. Sementara itu, wanita istihadah (mustahadah) yang berhenti darah setelah solat selesai solat, maka solatnya sah. Namun wuduknya terbatal dan perlu mengambil wuduk bagi solat fardu yang seterusnya.

 

[1] والاستحاضة حدث دائم كالسلس فلا تمنع الصوم والصلاة

Al-Nawawi, Abu Zakaria Mahya ad-din Yayha. (2005) Minhaj al-Thalibin wa Umdatun Muftin fi Fiqh, : Dar al-Fikr J:1 P19

[2]  (وَلَوْ انْقَطَعَ دَمُهَا بَعْدَ الْوُضُوءِ) أَوْ فِيهِ وَقَبْلَ الصَّلَاةِ أَوْ فِيهَا

[3] وَيَبْطُلُ أَيْضًا وُضُوءُهَا بِالشِّفَاءِ وَإِنْ اتَّصَلَ بِآخِرِه

Al-Khatib al-Syirbini, Muhamamad bin Ahmad (1994)  Mughni Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani al-Fazd Al-Minhaj , Dar Kitab Ilmiah J 1 P:283)[3]

 


Cetak   Emel