SOALAN
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, apakah solat sunat yang boleh dilakukan pada waktu yang diharamkan untuk solat? Apakah yang dimaksudkan dengan sebab yang mendahului dan sebab terkemudian bagi solat-solat sunat yang diharuskan tersebut?
Mohon penjelasan. Terima kasih.
RINGKASAN JAWAPAN
Solat sunat yang diharuskan untuk dilaksanakan pada waktu yang diharamkan ialah solat yang sebabnya mendahului solat tersebut. Contohnya solat sunat wuduk, solat jenazah, sujud tilawah, sujud syukur dan seumpamanya. Hal ini kerana, sebab yang menjadikan solat tersebut disunatkan wujud terlebih dahulu berbanding solat tersebut seperti wuduk sebelum solat sunat wuduk.
Adapun solat yang mempunyai sebab yang terkemudian seperti solat sunat istikharah dan ihram tidak diharuskan kerana kedua-dua sebab itu dilakukan selepas solat dilaksanakan.
WaAllahu a’lam.
HURAIAN JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Terdapat lima waktu yang dilarang solat seperti yang disebutkan di dalam kitab al-Muqaddimah al-Hadhramiah:
تحرم الصَّلَاة فِي غير حرم مَكَّة وَقت طُلُوع الشَّمْس حَتَّى ترْتَفع قدر رمح وَوقت الاسْتوَاء إِلَّا يَوْم الْجُمُعَة حَتَّى تَزُول وَوقت الاصفرار حَتَّى تغرب وَبعد صَلَاة الصُّبْح حَتَّى تطلع وَبعد صَلَاة الْعَصْر حَتَّى تغرب
Maksudnya: Diharamkan solat selain di Masjidil Haram di Mekah i) pada waktu terbit matahari sehinggalah ia naik pada kadar segalah. ii) Juga pada waktu istiwa’ (matahari rembang) kecuali pada hari Jumaat sehingga gelincir matahari. iii) Waktu senja sehingga terbenam matahari. iv) Waktu selepas solat Subuh sehingga terbit matahari. v) Waktu selepas solat Asar sehingga terbenam matahari.[1] (Rujuk al-Muqaddimah al-Hadhramiah, 58)
Walau bagaimanapun, bagi solat-solat sunat yang mempunyai sebab yang mendahului solat tersebut, maka ia diharuskan. Hal ini sepertimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi bahawa:
أَمَّا حُكْمُ الْمَسْأَلَةِ فَمَذْهَبُنَا أَنَّ النَّهْيَ عَنْ الصَّلَاةِ فِي هَذِهِ الْأَوْقَاتِ إنَّمَا هُوَ عَنْ صَلَاةٍ لَا سَبَبَ لَهَا. فَأَمَّا مَا لَهَا سَبَبٌ فَلَا كَرَاهَةَ فِيهَا وَالْمُرَادُ بِذَاتِ السَّبَبِ الَّتِي لَهَا سَبَبٌ مُتَقَدِّمٌ عَلَيْهَا فَمِنْ ذَوَاتِ الْأَسْبَابِ الْفَائِتَةُ فَرِيضَةً كَانَتْ أَوْ نَافِلَةً إذَا قُلْنَا بِالْأَصَحِّ أَنَّهُ يُسَنُّ قَضَاءُ النَّوَافِلِ فَلَهُ فِي هَذِهِ الْأَوْقَاتِ قَضَاءُ الْفَرَائِضِ وَالنَّوَافِلِ الرَّاتِبَةِ وَغَيْرِهَا وَقَضَاءُ نَافِلَةٍ اتَّخَذَهَا وِرْدًا وَلَهُ فِعْلُ الْمَنْذُورَةِ وَصَلَاةُ الْجِنَازَةِ وَسُجُودُ التِّلَاوَةِ وَالشُّكْرِ وَصَلَاةُ الْكُسُوفِ وَصَلَاةُ الطَّوَافِ وَلَوْ تَوَضَّأَ فِي هَذِهِ الْأَوْقَاتِ فَلَهُ أَنْ يُصَلِّيَ رَكْعَتَيْ الْوُضُوءِ
Maksudnya: Adapun hukum dalam perbahasan ini bagi mazhab kami (mazhab al-Syafi’i) bahawa larangan solat pada waktu-waktu ini ialah bagi solat yang tiada sebab. Manakala bagi solat yang mempunyai sebab maka tidak dimakruhkan. Maksud solat yang mempunyai sebab ialah sebab (yang disunatkan untuk solat) itu mendahului solat tersebut. Antara sebab yang mendahului solat tersebut ialah solat yang ditinggalkan sama ada solat fardu ataupun sunat. Hal ini jika kita menyatakan dengan pandangan yang paling sahih (di sisi mazhab al-Syafi’i) bahawa disunatkan untuk mengqadakan solat sunat, maka pada waktu tersebut dibolehkan mengqadakan solat fardu, sunat rawatib dan selainnya. Begitu juga, harus mengqadakan solat sunat yang dijadikan kebiasaan baginya, solat yang dinazarkan, solat jenazah, sujud tilawah, sujud syukur, solat gerhana, solat tawaf, serta jika dia berwuduk pada waktu-waktu ini maka dia boleh melaksanakan solat sunat dua rakaat.[2] (Rujuk al-Majmuk Syarh al-Muhazzab, 4:170)
Manakala, solat yang sebabnya terkemudian daripada solat maka diharamkan dan tidak sah jika dilakukan pada waktu-waktu yang dilarang. Hal ini dijelaskan oleh Imam al-Khatib al-Syarbini bahawa:
أما مَا لَهُ سَبَب مُتَأَخّر كركعتي الاستخارة وَالْإِحْرَام فَإِنَّهَا لَا تَنْعَقِد كَالصَّلَاةِ الَّتِي لَا سَبَب لَهَا
Maksudnya: Adapun solat sunat yang sebabnya terkemudian seperti solat sunat Istikharah dan Ihram maka ia tidak sah (dilaksanakan pada waktu yang dimakruhkan) kerana (hukumnya) sama seperti solat yang tiada sebab baginya.[3] (Rujuk al-Iqna’, 1:128)
Oleh yang demikian, dapat difahami daripada perbahasan di atas bahawa apa yang dimaksudkan dengan sebab yang mendahului itu adalah berdasarkan kepada solat. Jika sebab itu berlaku sebelum solat sunat dilaksanakan, maka ia diharuskan.
WaAllahu a’lam.
RUJUKAN
[1] Al-Hadramiy, Abdullah Ibn Abd al-Rahman, 1413h, al-Muqaddimah al-Hadramiah, Dar al-Muttahidah, Damsyik, jld. 1, hlmn. 58.
[2] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, t.t, al-Majmuk Syarh al-Muhazzab, Dar al-Fikr, Beirut, jld. 4, hlmn. 170.
[3] Al-Syirbini, al-Khatib, t.t, al-Iqna’ fi Hall Alfaz Abi Syuja’ Dar al-Fikr, Beirut jld. 1, hlmn. 161.