Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1883: APAKAH STATUS DARAH YANG KELUAR SEMASA MENGANDUNG?

ALKAFI 1883

 

SOALAN

Assalamualaikum, saya ada sedikit kemusykilan tentang darah yang keluar semasa mengandung? Adakah saya tidak perlu solat dan puasa sekiranya darah keluar?

RINGKASAN JAWAPAN

Wanita hamil yang keluar darah semasa mengandung dianggap haid menurut pandangan muktamad Syafie sekiranya darah mencukupi syarat tempoh minimum haid iaitu sehari semalam bersamaan 24 jam dan tidak melebih 15 hari 15 malam.

Walau bagaimanapun, sekiranya berlaku pendarahan semasa mengandung disarankan untuk merujuk dan mendapat pandangan doktor perubatan kerana dikhuatiri terdapat masalah kepada kandungan. Sekiranya berlaku keguguran pada kandungan, maka darah yang keluar selepas kosongnya rahim ialah darah nifas.

Wallahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah S.W.T, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Jenis Darah yang Keluar disebabkan Kehamilan

  • Darah Nifas - Seorang wanita yang hamil akan mengalami nifas selepas kosongnya rahim selepas bersalin atau keguguran dan sebelum berlalunya 15 hari daripada tempoh kosong rahim.
  • Darah al-Tolaq - Darah yang keluar ketika sakit melahirkan anak.
  • Darah Fasad - Darah yang keluar semasa kelahiran bayi.[1]

Namun begitu, terdapat beberapa keadaan seorang wanita hamil melihat darah keluar tetapi bukan kerana keguguran atau sakit hendak bersalin.

Ulama mazhab Syafie berbeza pandangan berkenaan hukum darah yang keluar dalam keadaan ini:

  1. Pandangan pertama: Darah yang keluar semasa dalam tempoh mengandung ialah haid sekiranya darah tersebut mencukupi syarat tempoh minimum haid iaitu sehari semalam bersamaan 24 jam dan tidak melebih 15 hari 15 malam. Pandangan ini merupakan pandangan yang muktamad dalam mazhab Syafie (al-azhar)[2]. Justeru itu, tidak sah ibadah solat dan puasa yang dilakukan sepanjang tempoh keluar darah tersebut.

Namun, sekiranya darah yang keluar tidak mencukupi 24 jam, maka ia dianggap darah istihadah dan sah solat serta puasanya.

  1. Pandangan kedua: Darah yang keluar semasa dalam tempoh mengandung ialah darah fasad. Maka, wanita yang mengalaminya dianggap dalam keadaan sentiasa berhadas. Ini kerana bayi dalam kandungan akan menghalang tempat darah keluar, justeru wanita yang hamil tidak akan mengalami haid. Sekiranya dia melihat darah, maka ia mungkin salah satu tanda untuk melahirkan atau keguguran.[3]

Oleh yang demikian, dia wajib melaksanakan solat mengikut syarat yang ditetapkan syarak begitu juga kewajipan puasa. Walau bagaimanapun pandangan ini adalah pendapat yang lemah menurut majoriti ulama Syafi’iyyah.

Walau bagaimanapun, sekiranya berlaku pendarahan semasa mengandung disarankan untuk merujuk dan mendapat pandangan doktor perubatan kerana dikhuatiri terdapat masalah kepada kandungan.

Oleh itu, wanita hamil yang keluar darah semasa mengandung dianggap haid menurut pandangan muktamad Syafie sekiranya darah mencukupi syarat tempoh minimum haid iaitu sehari semalam bersamaan 24 jam dan tidak melebih 15 hari 15 malam. Namun jika berlaku keguguran pada kandungan, maka darah yang keluar selepas kosongnya rahim ialah darah nifas.

Wallahu a’lam.

 

[1] Al-Ramli, Syihabuddin Muhammad bin Ahmad. Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj. (Beirut: Dar al-Fikr, 1984). Jld 1, Hlm 323.

وَالنِّفَاسُ: الدَّمُ الْخَارِجُ بَعْدَ فَرَاغِ الرَّحِمِ مِنْ الْحَمْلِ، فَخَرَجَ بِذَلِكَ دَمُ الطَّلْقِ، وَالْخَارِجُ مَعَ الْوَلَدِ فَلَيْسَ بِحَيْضٍ لِكَوْنِهِ مِنْ آثَارِ الْوِلَادَةِ، وَلَا نِفَاسَ لِتَقَدُّمِهِ عَلَى خُرُوجِ الْوَلَدِ بَلْ هُوَ دَمُ فَسَادٍ إلَّا أَنْ يَتَّصِلَ بِحَيْضِهَا الْمُتَقَدِّمِ فَإِنَّهُ يَكُونُ حَيْضًا

[2] Al-Syirbini, Syamuddin Muhammad bin Ahmad. Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj. (Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994). Jld 1, Hlm 293.

(وَالْأَظْهَرُ) الْجَدِيدُ (أَنَّ دَمَ الْحَامِلِ) حَيْضٌ وَإِنْ وَلَدَتْ مُتَّصِلًا بِآخِرِهِ بِلَا تَخَلُّلِ نَقَاءٍ لِإِطْلَاقِ الْآيَةِ السَّابِقَةِ وَالْأَخْبَارِ، وَلِأَنَّهُ دَمٌ مُتَرَدِّدٌ بَيْنَ دَمَيْ الْجِبِلَّةِ وَالْعِلَّةِ، وَالْأَصْلُ السَّلَامَةُ مِنْ الْعِلَّةِ، وَإِنْ لَمْ تَنْقَضِ بِهِ الْعِدَّةُ؛ لِأَنَّهَا لِطَلَبِ بَرَاءَةِ الرَّحِمِ، وَهِيَ لَا تَحْصُلُ بِالْأَقْرَاءِ مَعَ وُجُودِ الْحَمْلِ عَلَى أَنَّهَا قَدْ تَنْقَضِي بِهَا

[3] Ibid.

وَالثَّانِي وَهُوَ الْقَدِيمُ: أَنَّهُ لَيْسَ بِحَيْضٍ بَلْ هُوَ حَدَثٌ دَائِمٌ كَسَلَسِ الْبَوْلِ؛ لِأَنَّ الْحَمْلَ يَسُدُّ مَخْرَجَ الْحَيْضِ وَقَدْ جُعِلَ دَلِيلًا عَلَى بَرَاءَةِ الرَّحِمِ فَدَلَّ عَلَى أَنَّ الْحَامِلَ لَا تَحِيضُ. وَأَجَابَ الْأَوَّلُ بِأَنَّهُ إنَّمَا حَكَمَ الشَّارِعُ بِبَرَاءَةِ الرَّحِمِ بِهِ؛ لِأَنَّهُ الْغَالِبُ


Cetak   Emel
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+