Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1895: STATUS WUDUK ORANG YANG TERTIDUR KETIKA KHUTBAH JUMAAT SEHINGGA TERANGKAT PAPAN PUNGGUNG

alkafi1895.png

 

Soalan

Assalamualaikum, saya sering kali melihat jemaah tertidur ketika Jumaat dan sesetengah daripada mereka tertidur sampai tersengguk-sengguk sehingga terangkat punggungnya dalam kadar yang banyak. Persoalan saya adalah adakah batal wuduknya? Sebab setelah itu dia bangun dan melaksanakan solat Jumaat seperti biasa. Mohon pandangan, terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Dalam menjawab permasalahan ini, seseorang yang tidur ketika mendengar khutbah Jumaat dalam keadaan duduk yang tetap papan punggungnya maka wuduknya tidak batal. Namun, jika dia tidur ketika khutbah Jumaat sehingga terangkat punggungnya yang berpotensi untuk angin keluar dari duburnya maka dia perlu berwuduk terlebih dahulu sebelum menunaikan solat Jumaat. Bahkan, jika dia tidur (terlelap sehingga berkemungkinan bermimpi) bersandar melalui tengkuk belakang juga boleh membatalkan wuduknya walaupun tetap papan punggungnya di lantai menurut mazhab al-Syafie. Meskipun begitu, jika dia tidak mengetahui sama ada wuduknya telah batal atau tidak, sebaiknya sebagai langkah berhati-hati dia berwuduk kembali untuk lebih yakin.

Huraian Jawapan

Jika seseorang muslim menunaikan solat tanpa wuduk maka solatnya tidak sah. Hal ini kerana, wuduk merupakan salah satu syarat sah bagi solat. Bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب

Maksudnya: Suatu kewajipan yang tidak sempurna melainkan dengannya maka ia juga wajib.[1]

Terkait permasalahan yang timbul, Nabi SAW bersabda:

مَنْ نَامَ جَالِسًا فَلاَ وُضُوْءُ عَلَيْهِ، وَمَنْ وَضَعَ جَنْبِهِ فَعَلَيْهِ الْوُضُوْءُ

Maksudnya: Sesiapa yang tidur sambil duduk, maka dia tidak perlu berwuduk dan sesiapa yang tidur mengiring, maka dia perlu berwuduk.[2]

Dalam hadis yang lain, Nabi SAW bersabda:

كَانَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَنْتَظِرُونَ الْعِشَاءَ الآخِرَةَ حَتَّى تَخْفِقَ رُءُوسُهُمْ، ثُمَّ يُصَلُّونَ وَلا يَتَوَضَّئُونَ

Maksudnya: Para sahabat Rasulullah SAW sedang menunggu untuk solat Isyak sehingga lentok kepala mereka, kemudian mereka bangun untuk menunaikan solat dan tidak berwuduk kembali.[3]

Riwayat Abu Daud

Imam al-Tirmizi ketika memberikan komentar terhadap hadis ini beliau menyebutkan bahawa Imam al-Syafie berkata sesiapa yang tidur dalam keadaan duduk sehingga bermimpi atau berubah kedudukan punggungnya kerana terlelap maka dia hendaklah mengambil wuduknya kembali.[4]

Imam al-Nawawi pula menjelaskan dalam Raudah al-Talibin bahawa:

ولو نام على قفاه ملصقا مقعده بالأرض، انتقض، ولو كان مستثفرا بشيء، انتقض أيضا على المذهب

Maksudnya: Walaupun dia tidur secara bersandar melalui tengkuk belakangnya dalam keadaan tetap papan punggungnya di permukaan lantai, batal wuduknya dan walaupun disumbat punggungnya dengan sesuatu, tetap batal wuduknya menurut mazhab al-Syafie.[5]

Seterusnya, ulama fiqh telah meletakkan beberapa syarat yang boleh dijadikan panduan kepada umat Islam. Dalam al-Taqrirat al-Sadidah, Syeikh Hasan al-Kaf menyebutkan bahawa terdapat empat syarat bagi tidur yang tidak membatalkan wuduk, iaitu:[6]

  • أن يكون ممكنا مقعدته من الأرض، بأن تكون مقعدته ((فتحة الدبر)) ملتصقة بالأرض بحيث لا يمكن خروج ريح.
  • أن يكون معتدل الخلقة، أي: ليس مفرطا في البدانة ولا في النحول.
  • أن يستيقظ على الحالة التي نام عليها.
  • أن لا يخبره معصوم عند الرملي بخروج ريح منه أثناء نومه، ويكفي عدل عند ابن حجر.

 Maksudnya:

  • Kedudukan tidur duduk yang tetap kedua punggungnya di atas permukaan lantai sekira-kira tidak ada potensi keluarnya angin.
  • Mestilah mempunyai bentuk badan yang ideal iaitu tidak terlalu kurus dan tidak terlalu gemuk.
  • Bangun daripada tidur dalam posisi yang sama.
  • Tidak ada orang yang maksum memberitahunya bahawa dia kentut ketika tidur menurut al-Ramli dan menurut Ibn Hajar cukup orang yang adil memberitahunya.

Oleh itu, bagi permasalahan ini dapat dijelaskan dalam dua bentuk situasi seperti di bawah:

Situasi 1:

Sekiranya seseorang yang tidur ketika mendengar khutbah Jumaat dalam keadaan duduk yang tetap papan punggungnya maka hal tersebut tidak membatalkan wuduknya.

Situasi 2:

Sekiranya seseorang yang tidur ketika mendengar khutbah Jumaat dalam keadaan duduk yang tidak tetap papan punggungnya sehingga berpotensi untuk angin keluar daripada duburnya maka keadaan tersebut membatalkan wuduknya. Namun, jika dia tidur bersandar melalui tengkuk belakang juga boleh membatalkan wuduk walaupun tetap papan punggungnya di lantai menurut mazhab al-Syafie.

Nasihat Terhadap Mereka yang Berasa Mengantuk Ketika Khutbah Jumaat

Antara solusi yang boleh dilakukan jika berasa mengantuk ketika mendengar khutbah adalah dengan pergi mencuci muka atau beralih tempat duduk jika memungkinkan. Solusi ini berpandukan kepada satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا نَعَسَ أَحَدُكُمْ وَهُوَ فِي الْمَسْجِدِ فَلْيَتَحَوَّلْ مِنْ مَجْلِسِهِ ذَلِكَ إِلَى غَيْرِهِ

Maksudnya: Apabila salah seorang kamu mengantuk semasa dia berada di dalam masjid (pada hari Jumaat) maka hendaklah dia beralih kedudukan dari tempat duduknya itu kepada tempat yang lain.[7]

Riwayat Abu Daud

Kesimpulannya, sekiranya seseorang yang tidur (tidak sampai bermimpi) ketika mendengar khutbah Jumaat dalam keadaan duduk yang tetap papan punggungnya maka wuduknya tidak batal. Namun, jika dia tidur ketika khutbah Jumaat sehingga terangkat punggungnya yang berpotensi untuk angin keluar dari duburnya maka dia perlu berwuduk terlebih dahulu sebelum menunaikan solat Jumaat. Bahkan, jika dia tidur (terlelap sehingga berkemungkinan bermimpi) bersandar melalui tengkuk belakang juga boleh membatalkan wuduknya walaupun tetap papan punggungnya di lantai menurut mazhab al-Syafie. Meskipun begitu, jika dia tidak mengetahui sama ada wuduknya telah batal atau tidak, sebaiknya sebagai langkah berhati-hati dia berwuduk kembali untuk lebih yakin. Wallahuaʻlam.

[1]     Safi al-Din Muhammad al-Armawi. (1996). Nihayah al-Wusul fi Dirayah al-Usul. ed. Salih Sulaiman al-Yusuf & Saʻad Salim al-Suwaih. Mekah: al-Maktabah al-Tijariah. 2: 575.

[2]     Al-Daraqutni. (2004). Sunan al-Daraqutni. ed. Syuʻaib al-Arna’ut et al. Beirut: Mu’assasah al-Risalah. no. hadis 599. 1: 294.

[3]     Abu Daud Sulaiman bin al-Asyʻath. (t.t.) Sunan Abi Daud. ed. Muhammad Muhy al-Din ‘Abd al-Hamid. no. hadis 200. 1: 51.

[4]     Muhammad bin ‘Isa bin Saurah. (1975). Sunan al-Tirmizi. ed. Ahmad Syakir. Mesir: Matbaʻah Mustafa al-Babi al-Halabi. 1: 113.

وَقَالَ الشَّافِعِيُّ: «مَنْ نَامَ قَاعِدًا فَرَأَى رُؤْيَا أَوْ زَالَتْ مَقْعَدَتُهُ لِوَسَنِ النَّوْمِ، فَعَلَيْهِ الوُضُوءُ»

[5]     Yahya bin Syaraf al-Nawawi. (1991). Raudah al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin. ed. Zuhair al-Syawisy. Beirut: al-Maktab al-Islami. 1: 74.

[6]     Hasan bin Ahmad bin Muhammad al-Kaf. (2003). Al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masa’il al-Mufidah-Qism al-‘Ibadat. Al-Riyad: Dar al-Mirath al-Nabawi. 101.

[7]     Abu Daud Sulaiman al-Asyʻath. (t.t.). Sunan Abi Daud. ed. Muhammad Muhy al-Din ‘Abd al-Hamid. Beirut: al-Maktabah al-‘Asriyyah. no. hadis 1119. 1: 292.