Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1908: HUKUM WANITA MUAT NAIK GAMBAR TIDAK MENUTUP AURAT DENGAN SEMPURNA DALAM KALANGAN ‘CLOSE FRIEND’ ATAU ‘PRIVATE GROUP’ WANITA DI MEDIA SOSIAL

ALKAFI 1908

 

Soalan

Assalamualaikum, ustaz. Bolehkah kalau post gambar tak tutup aurat dengan sempurna macam tak pakai tudung dalam kalangan ‘close friend’ perempuan kat Instagram? Saya lihat ada kenalan yang buat macam tu. Mohon pandangan dan terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Perbuatan memuat naik gambar yang tidak menutup aurat dengan sempurna di media sosial adalah perkara yang bercanggah dengan hukum dan adab sebagai seorang yang beragama Islam. Walaupun tontonan di media sosial boleh dihadkan dan ditetapkan kepada golongan tertentu, namun terdapat kemungkinan gambar atau video itu boleh tersebar kepada orang lain atau dikhuatiri keadaannya itu diceritakan oleh orang yang melihat kepada ajnabi.

Justeru itu, bagi mengelakkan segala kemudaratan dan maksiat, menjadi satu kewajipan untuk memuat naik yang menutup aurat dengan sempurna serta tidak melanggar adab, etika dan kesopanan seorang muslim.

Wallahu a’lam.

Huraian Jawapan

Dengan kemunculan dan pembaharuan pelbagai sistem tetapan dan ciri yang menarik di media sosial, pengguna media sosial ini perlu mengamalkan adab dan etika serta sentiasa mengawal diri daripada melakukan perkara yang membawa kesan negatif kepada diri, agama dan negara.

Bagi menjawab persoalan di atas, hukum menghantar atau memuat naik gambar gambar dengan keadaan tidak menutup aurat adalah perkara yang dilarang dalam syarak sama ada perbuatan ini dilakukan oleh lelaki mahupun wanita.

Setiap muslim perlu ada sifat malu dan berusaha menjaga auratnya sebaik mungkin dan tidak boleh mengambil mudah akan perihal aurat sehingga menjadi tontonan golongan ajnabi. Allah SWT berfirman:

قُل لِّلۡمُؤۡمِنِينَ يَغُضُّواْ مِنۡ أَبۡصَٰرِهِمۡ وَيَحۡفَظُواْ فُرُوجَهُمۡۚ ذَٰلِكَ أَزۡكَىٰ لَهُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا يَصۡنَعُونَ (٣٠) وَقُل لِّلۡمُؤۡمِنَٰتِ يَغۡضُضۡنَ مِنۡ أَبۡصَٰرِهِنَّ وَيَحۡفَظۡنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبۡدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنۡهَاۖ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.

Surah al-Nur (30-31)

Justeru itu, membuka aurat tanpa sebarang tujuan darurat adalah haram sama ada aurat diri sendiri atau aurat orang lain.

Walaupun gambar atau video yang dimuat naik telah dihadkan tontonannya kepada hanya yang mahram atau dalam kalangan sejantina, namun masih terdapat kemungkinan gambar itu tersebar sehingga menjadi tontonan ajnabi. Justeru itu, sebagai langkah berjaga-jaga dan menghindarkan diri daripada fitnah, setiap orang perlu menapis setiap gambar dan perbuatan yang akan dipertontonkan kepada orang ramai. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud RA, Rasulullah SAW bersabda:

لَا ‌تُبَاشِرُ‌ المَرْأَةُ ‌المَرْأَةَ، ‌فَتَنْعَتَهَا ‌لِزَوْجِهَا ‌كَأَنَّهُ ‌يَنْظُرُ ‌إِلَيْهَا

Maksudnya: Janganlah seorang wanita bergaul dengan wanita lain, lalu wanita lain itu menceritakan kepada suaminya sehingga seakan-akan suaminya melihat wanita yang diceritakannya.[1]

Riwayat al-Bukhari

Berdasarkan hadis tersebut, seorang isteri dilarang menceritakan keadaan bentuk badan wanita lain kepada suaminya kerana dikhuatiri suaminya berasa tertarik dengan sifat yang disebutkan sehingga menceraikan isterinya dan mengidamkan wanita yang diceritakan sifatnya itu. Hadis ini merupakan hujah Imam Malik dalam menentukan piawaian sadd al-zariah iaitu menghalang perbuatan harus yang boleh membawa kepada sesuatu yang haram. (Rujuk Fath al-Bari, Imam Ibn Hajar al-Asqalani, 9/338)[2]

Oleh yang demikian, memuat naik gambar atau video yang tidak menutup aurat dengan sempurna sewajarnya dielakkan. Walaupun tontonan di media sosial boleh dihadkan dan ditetapkan kepada golongan tertentu, namun terdapat kemungkinan gambar atau video itu boleh tersebar kepada orang lain atau dikhuatiri keadaannya itu diceritakan oleh orang yang melihat kepada ajnabi.

Wallahu a’lam.

 

[1] Al-Bukhari, Muhammad bin Ismail. 1311H. Sahih al-Bukhari. Tab’ah al-Sultaniyah, Mesir. Jld 7, Hlm.38, No 5240.

[2] هَذَا أَصْلٌ لِمَالِكٍ فِي سَدِّ الذَّرَائِعِ فَإِنَّ الْحِكْمَةَ فِي هَذَا النَّهْيِ خَشْيَةُ أَنْ يُعْجِبَ الزَّوْجَ الْوَصْفُ الْمَذْكُورُ فَيُفْضِي ذَلِكَ إِلَى تَطْلِيقِ الْوَاصِفَةِ أَوْ الِافْتِتَانِ بِالْمَوْصُوفَةِ

Al-Asqalani, Ahmad bin Ali bin Hajar. 1379H. Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari. Tahkik: Muhammad Fuad Abdul Baqi. Dar al-Ma’rifah – Beirut. Jld. 9, Hlm. 338 (Maktabah Syamilah)