Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1917: HUKUM MAKAN SUP TORPEDO

HUKUM MAKAN SUP TORPEDO

 

Soalan:

Assalamualaikum. Saya ada persoalan berkaitan makanan, adakah halal sekiranya zakar lembu dijadikan hidangan hidangan memandang sop torpedo yang mana bahannya dari (testi jantan lembu) merupakan menu makanan di kedai mamak. Mohon pencerahan SS Mufti.

Ringkasan Jawapan:

Zakar lembu jantan termasuk bahagian yang halal dimakan namun makruh hukumnya jika dimakan kerana ia termasuk dalam kategori anggota yang menjijikkan. Oleh itu, halal makan sop torpedo yang mana bahan asasnya adalah batang zakar lembu jantan.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Sup torpedo ialah nama gelaran kepada sejenis sup yang menggunakan sebagai bahan asasnya batang pelir lembu jantan. Di Malaysia, sup torpedo ini biasanya dihidangkan di warung-warung atau restoran mamak. Sup torpedo ini biasanya akan dihidangkan dengan sebuku roti Benggali untuk mencicah sup tersebut. Dagingnya agak kenyal dan rasanya seperti daging lembu biasa.[1]


Konsep makanan   yang halal mestilah   suci dan bersih daripada najis. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa-apa yang ada di bumi yang halal lagi baik”

Imam al-Thabari Rahimahullah   menyatakan definisi toyyiban (baik) iaitu suci dan bersih dari najis dan halal.[2]

Haiwan yang halal dimakan, maka keseluruhan bahagian anggota haiwan tersebut halal dimakan. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh :

التَّابِعِ تَابِعٌ


Maksudnya: “Sesuatu yang mengikut itu mengambil hukum yang asal.[3]

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa bahagian anggota haiwan yang statusnya halal namun makruh hukumnya untuk dimakan. Hadis yang diriwayatkan daripada Mujahid bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَكْرَهُ مِنْ الشَّاةِ سَبْعًا الدَّمَ وَالْمِرَارَ وَالذَّكَرَ وَالْأُنْثَيَيْنِ وَالْحَيَا وَالْغُدَّةَ وَالْمَثَانَةَ .

Maksudnya: “ Baginda SAW tidak suka tujuh bahagian daripada kambing iaitu darah, pundi hempedu, zakar,  dua testis, faraj betina , kelenjar, pundi kencing, 

Riwayat al-Baihaqi

Imam al-Nawawi menilai riwayat Baihaqi tersebut dhaif, seterusnya beliau menukilkan pandangan daripada al-Khattabi yang menyatakan darah adalah haram menurut Ijma’ dan sebahagian anggota yang disebutkan dalam riwayat ini (pundi hempedu, zakar, dua testis, faraj betina, kelenjar, pundi kencing ) adalah makruh.[4] 

 Tujuh bahagian anggota tersebut tidak disukai kerana ia dianggap dijijik oleh citarasa manusia yang normal. Sementara makruh di sini membawa maksud makruh tahrim kerana enam bahagian haiwan dalam hadis tersebut (pundi hempedu, zakar, dua testis, faraj betina , kelenjar, pundi kencing).

Riwayat daripada Abu Hanifah juga, menyatakan enam bahagian anggota haiwan dalam hadis tersebut iaitu pundi hempedu, zakar, dua testis, faraj betina, kelenjar, pundi kencing  adalah makruh kecuali darah yang telah sabit hukumnya haram.[5]

Wallahu A'lam.

 

Rujukan:

[1] https://ms.wikipedia.org/wiki/Sup_torpedo

[2]  Ibn Jarir al-Thabarir. Tafsir al-Thabari,2002, Muasasah al-Risalah (3/301).

"طيبًا" فإنه يعني به طاهرًا غير نَجس ولا محرَّم

[3] Ibn Nujaym. Al-Asybah wa Al-Nazair. 1999. Bayrut : Daral-Kitab Ilmiyah. 1/102

[4] Al-Nawawi, Abu Mahya addin. Al-Majmuk Syarh al-Muhadzzab.   Dar al-Fiqh (9/ 70)

رَوَاهُ الْبَيْهَقِيُّ هَكَذَا مُرْسَلًا وَهُوَ ضَعِيفٌ قَالَ وَرُوِيَ مَوْصُولًا بِذِكْرِ ابْنِ عَبَّاسٍ وَهُوَ حَدِيثٌ (1) قَالَ وَلَا يَصِحُّ وَصْلُهُ قَالَ الْخَطَّابِيُّ الدَّمُ حَرَامٌ بِالْإِجْمَاعِ وَعَامَّةُ الْمَذْكُورَاتِ معه مكروهة غير محرمة

[5] Al-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah (5/ 152)

وَهَذِهِ السَّبْعَةُ مِمَّا تَسْتَخْبِثُهُ الطِّبَاعُ السَّلِيمَةُ فَكَانَتْ مُحَرَّمَةً، وَقَدْ دَلَّتِ السُّنَّةُ عَلَى خُبْثِهَا لِمَا رَوَى الأَْوْزَاعِيُّ عَنْ وَاصِل بْنِ أَبِي جَمِيلَةَ عَنْ مُجَاهِدٍ أَنَّهُ قَال: كَرِهَ رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنَ الشَّاةِ: الذَّكَرَ، وَالأُْنْثَيَيْنِ، وَالْقُبُل، وَالْغُدَّةَ، وَالْمَرَارَةَ، وَالْمَثَانَةَ، وَالدَّمَ.

وَالْمُرَادُ كَرَاهَةُ التَّحْرِيمِ قَطْعًا، بِدَلِيل أَنَّهُ جَمَعَ بَيْنَ الأَْشْيَاءِ السِّتَّةِ وَبَيْنَ الدَّمِ فِي الْكَرَاهَةِ، وَالدَّمُ الْمَسْفُوحُ مُحَرَّمٌ بِنَصِّ الْقُرْآنِ.

وَالْمَرْوِيُّ عَنْ أَبِي حَنِيفَةَ أَنَّهُ قَال: الدَّمُ حَرَامٌ، وَأَكْرَهُ السِّتَّةَ. فَأَطْلَقَ وَصْفَ الْحَرَامِ عَلَى الدَّمِ