Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1944: HUKUM MELETAKKAN BARANG DI ATAS MASHAF QURAN

HUKUM_MELETAKKAN_BARANG_DI_ATAS_MASHAF_QURAN.jpg

 

Soalan:

Apakah hukum kita meletakkan barang seperti buku dan telefon di atas mashaf al-Quran?

Ringkasan Jawapan

Meletakkan sesuatu di atas mashaf al-Quran tidak haram jika perbuatan tersebut tidak diniatkan untuk menghina keagungan al-Quran. Namun, hukumnya adalah makruh kerana bercanggah dengan adab terhadap al-Quran seperti yang dijelaskan oleh para ulama.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Menghormati, memuliakan dan menjaga adab dengan mashaf al-Quran merupakan satu kewajipan. Kata Imam Nawawi:

أجمع المسلمون على وجوب صيانة المصحف واحترامه

Maksudnya: Para ulama telah bersepakat bahawa wajib memelihara dan menghormati mashaf al-Quran.[1]

Salah satu adab dengan mashaf al-Quran adalah dengan tidak meletakkan sesuatu di atasnya, kecuali mashaf al-Quran yang lain. Kata Imam al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman:

وَمِنْهَا أَنْ لَا يُحْمَلَ عَلَى الْمُصْحَفِ كِتَابٌ آخَرُ ‌وَلَا ‌ثَوْبٌ ‌وَلَا ‌شَيْءٌ إِلَّا أَنْ يَكُونَ مُصْحَفَانِ فَيُوضَعَ أَحَدُهُمَا فَوْقَ الْآخَرِ فَيَجُوزُ

Maksudnya: Antara adab dengan al-Quran adalah dengan tidak meletakkan kitab, kain atau apa jua barang sama ada barang berharga atau barang yang yang rendah nilainya. Namun jika meletakkan suatu mashaf di atas mashaf yang lain, maka ia diharuskan.[2]

Al-Hakim al-Tirmizi juga menyatakan:

وَمن حرمته إِذا وضع الصَّحِيفَة أَن لَا ‌يتْركهُ ‌منشورا وَأَن لَا يضع فَوْقه شَيْئا من الْكتب حَتَّى يكون أبدا عَالِيا على سَائِر الْكتب

Maksudnya: Antara kehormatan mashaf yang perlu dijaga adalah dengan tidak meletakkan kitab di atasnya, supaya dengan itu ia selamanya berada lebih tinggi daripada seluruh kitab-kitab lain.[3]

Dalam hal ini, para ulama mazhab Syafie telah memfatwakan bahawa meletakkan sesuatu di atas mashaf adalah tidak haram selagi tidak mengandungi unsur penghinaan. Imam Syihabuddin al-Ramli ketika ditanya tentang isu ini menjawab:

بِأَنَّهُ لَا يَحْرُمُ إذْ لَا امْتِهَانَ فِيهِ

Maksudnya: Ia tidak haram, kerana ia tidak mengandungi maksud penghinaan terhadap Quran.[4]

Namun Imam Ibn Hajar pula menyatakan dalam fatwa beliau:

وَالْأولَى أَن لَا يَجْعَل فَوق الْمُصحف غير مثله من نَحْو كتاب أَو ثوب

Maksudnya: Sebaiknya tidak diletakkan di atas mashaf itu barangan lain seperti buku atau kain selain daripada mashaf al-Quran.[5]

Kesimpulannya, meletakkan sesuatu di atas mashaf al-Quran tidak haram jika perbuatan tersebut tidak diniatkan untuk menghina keagungan al-Quran. Namun seboleh-bolehnya kita mesti mengelak daripada meletakkan sesuatu barang di atas mashaf sebagai adab terhadap al-Quran seperti yang dijelaskan oleh para ulama.

Wallahu a‘lam.

 

Rujukan: 

[1] Al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran oleh Muhyiddin al-Nawawi (1994) Beirut: Dar Ibn Hazm, Cetakan Ketiga, tahqiq: Muhammad al-Hajjar, hal. 190.

[2] Syu ‘ab al-Iman oleh Abu Bakr al-Baihaqi (2003) Riyadh: Maktabah al-Rusyd, Cetakan Pertama, tahqiq: Dr ‘Abd al-‘Ali ‘Abd al-Hamid, 3/329

[3] Nawadir al-Usul fi Ahadith al-Rasul oleh Abu Abdillah al-Hakim al-Tirmizi (t.t) Beirut: Dar al-Jil, tahqiq: ‘Abd al-Rahman ‘Umairah, 3/254. Dinukil juga oleh Imam al-Qurtubi dalam al-Jami’ li Ahkam al-Quran (t.t) Dar al-Fikr, 1/42

[4] Fatawa al-Ramli 1/29

(سُئِلَ) هَلْ يَحْرُمُ ‌وَضْعُ ‌الْمَتَاعِ عَلَى مَا فِيهِ قُرْآنٌ أَوْ عِلْمٌ؟

(فَأَجَابَ) بِأَنَّهُ لَا يَحْرُمُ إذْ لَا امْتِهَانَ فِيهِ

[5] Al-Fatawa al-Hadithiyyah oleh Ahmad Ibn Hajar al-Haitami (t.t) Dar al-Fikr, hal. 164