Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1952: HUKUM MAKAN IKAN YANG TIDAK DIBUANG ISI PERUT.

HUKUM_MAKAN_IKAN_YANG_TIDAK_DIBUANG_ISI_PERUT.jpg

 

Soalan:

Assalamualaikum, saya ada persoalan berkaitan ikan masin, ikan kering mahupun ikan pekasam   yang masih tidak dibuang isi perutnya. Mohon pencerahan hukum andai termakan isi  perut ikan tersebut? 

Ringkasan Jawapan

Hukum ikan masin atau ikan kering mahupun ikan pekasam  yang  tidak dibersihkan segala isi perut, tahi mahupun darahnya adalah tidak halal untuk dimakan kerana najis menurut mazhab Syafi’i. Namun, ikan kecil yang sukar dibuang segala isi dalaman perut adalah dimaafkan untuk dimakan. Oleh itu, pengusaha yang menghasilkan ikan masin, ikan kering atau pekasam perlu cakna terhadap kebersihannya dengan membuang segala kotoran dalam rongga perut ikan yang bersaiz besar. Adapun isi perut ikan yang sukar dibersihkan kerana saiz ikan terlalu kecil, maka ia termasuk najis yang dimaafkan dan halal untuk dimakan.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Setiap haiwan yang terdapat di dalam lautan halal dimakan berdasarkan firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut (air), dan makanannya.”

Surah Al-Maidah (96)

Seterusnya, makanan halal mestilah suci berdasarkan kalimah tayyiban  dalam   firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya : “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik”

Surah al-Baqarah (168)

Sementara itu, fuqaha mazhab Syafi’i membahaskan hukum memakan ikan masin yang tidak dibersihkan bahagian isi perutya berdasarkan nukilan dalam Al-Jawahir :

قَالَ فِي الْجَوَاهِرِ كُلُّ سَمَكٍ مُمَلَّحٍ وَلَمْ يُنْزَعْ مَا فِي جَوْفِهِ فَهُوَ نَجِسٌ.

Maksudnya: “Semua ikan masin yang tidak dikeluarkan segala isi perutnya, maka ia dianggap najis”.[1]

Oleh itu, ikan yang belum dibersihkan daripada isi - isi perutnya dianggap bernajis dan tidak halal dimakan.

Menurut zahir pendapat ini, sama sahaja ikan besar mahupun ikan kecil. Namun al-Rafi’i dan al-Nawawi mengatakan ikan kecil yang masih terdapat isi perut halal dimakan atas sebab kesukaran untuk membersihkannya.[2]

Oleh yang demikian, ikan bersaiz besar yang tidak dibuang isi perutnya tidak halal dimakan kerana bercampur dengan najis dalam perutnya. Sementara telur ikan adalah suci kerana terdapat penghalang antara najis dan telur yang tidak mungkin bercampur dengan telur ikan.[3]

Sementara ikan kecil yang tidak dibuang  isi perut adalah dimaafkan. Begitu juga, ia  tidak menajiskan minyak  apabila menggoreng ikan kecil tersebut . [4]

Kesimpulannya, ikan yang tidak dibuang dan dibersihkan tahi, darah serta segala isi perutnya adalah tidak halal dimakan disebabkan najis kecuali telur ikan.   Namun ikan kecil yang sukar dibuang segala  isi perutnya adalah dimaafkan dan halal dimakan. 

Wallahu A'lam

 

Rujukan: 

[1] Al-Bujairimi. Sulaiman bin Muhammad. (1950) Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala Syarh al-Minhaj, J: 4 P: 304

[2] Al-Malbariy. Zainuddin Abd Aziz, ( t.th) Fath al-Mu’in Bi Syarh Qurrat al-Ain Bi Muhimmat Al-Din, Dar Ibn Hazam.  P: 75

نقل في الجواهر عن الأصحاب: لا يجوز أكل سمك ملح ولمنزع ما في جوفه أي من المستقذرات.

وظاهره: لا فرق بين كبيره وصغيره لكن ذكر الشيخان جواز أكل الصغير مع ما في جوفه لعسر تنقية ما فيه.

[3] Nawai al-Jawi. ( t.th) Nihayah aZ-Zain Fi Irsyaed al-Mubtadi’in.  Bayrut : Dar al-Fikr   P:  43

حكم الروث فيعفى عَنهُ فِي السّمك الصَّغِير دون الْكَبِير فَلَا يجوز أكله إِذا لم ينْزع مَا فِي جَوْفه لامتزاج لَحْمه بفضلاته الَّتِي فِي بَاطِنه بِوَاسِطَة الْملح وَيسْتَثْنى البطروخ فطاهر لِأَن بَينه وَبَين الفضلات حَائِلا فَإِن ظرف الروث إِذا انْكَسَرَ لَا يصل ذَلِك الروث إِلَى البطروخ وَوصل إِلَى اللَّحْم وامتزج بِهِ وَالله أعلم

[4] Ibid, P: 39

ويعفى عَمَّا فِي جَوف السّمك الصَّغِير الَّذِي يبتلع برمتِهِ وَيجوز بلعه بِمَا فِي جَوْفه وَلَو قلي بِمَا فِي جَوْفه فَلَا ينجس الزَّيْت