Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

AL-KAFI LI AL-FATAWI #560 : DOA SUPAYA ANAK KECIL TIDAK MENANGIS DI WAKTU MALAM

2 Mac 2017 bersamaan 5 Jamadil Akhir 1438H

 

 

 

Soalan:

Adakah terdapat doa khusus yang boleh diamalkan supaya anak kecil tidak menangis di waktu malam?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Jika ditanyakan mengenai doa khusus yang perlu dibacakan supaya anak kecil tidak menangis, setakat pencarian kami ianya tiada. Namun, keumuman bagi berdoa itu boleh dipraktiskan iaitu berdoalah apa sahaja kepada Allah SWT dengan apa-apa lafaz dan bahasa sekalipun dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh syara`. Adapun begitu, tetapi yang terbaiknya adalah dengan membacakan doa yang terdapat di dalam al-Quran mahupun hadis Nabi SAW.

Boleh jadi bayi menangis di waktu malam disebabkan lapar. Boleh jadi juga kerana sakit dan boleh jadi juga kerana gangguan dari syaitan. Maka yang pertamanya perlulah diketahui akan sebab utamanya terlebih dahulu. Adapun untuk mengelak dari gangguan syaitan, terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan. Antaranya:

 

  • Membaca Surah al-Fatihah dan mengulang-ulanginya[1]
  • Membaca Ayat al-Kursi[2]
  • Membaca Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah al-Nas.
  • Membaca doa berikut sebanyak 3 kali[3] 

بِسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ، مِنْ كُلِّ شَيْءٍ يُؤْذِيكَ، مِنْ شَرِّ كُلِّ نَفْسٍ أَوْ عَيْنٍ، أَوْ حَاسِدٍ اللَّهُ يَشْفِيكَ، بِسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ

  • Doa dan ayat al-Qur’an di atas boleh dibacakan pada air dan dipercikkan kepada mereka yang sakit. Ini berdasarkan perbuatan Nabi SAW kepada Thabit bin Qais.[4]

Amalan ini boleh diamalkan dan insyaAllah dengan izin Allah SWT dapat menghilangkan rasa sakit serta gangguan terhadap anak kecil. Wallahu a’lam.

 

 

 

[1]  Ini berdasarkan hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5736

[2]  Ini berdasarkan hadis Riwayat al-Bukhari, no. 4723

[3]  Ini berdasarkan hadis Riwayat Ibn Majah, no. 3523

[4]  Ini berdasarkan hadis Riwayat Abu Daud, no. 3885