Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

nazafah.jpg

 

Mukadimah

اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِيْ جَعَلَ اْلبَيْتَ مَثَابَةً لِلنَّاسِ وَأَمْناً ، وَأَشْهَدُ اَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ جَعَلَ حَجَّ اْلبَيْتَ مِنَ الشَّرِيْعَةِ رُكْناً وَصَرَّفَ وُجُوْهَنَا اِلىَ قِبْلَتِهِ فَكَانَ ذَالِكَ مِنْ نِعْمَةِ اْلعُظْمىَ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ خَيْرَ مَنْ طَافَ بِاْلبَيْتِ اْلعَتِيْقِ ذَاكِرًا أًسْمَآءَ رَبِّهِ اْلحُسْنىَ ، اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلىَ سَيِّدِناَ مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَأَتْباَعِهِ اِلىَ يَوْمِ اْلقِيَامَةِ ، أَمَّا بَعْدُ :

Sekali lagi kami lafazkan Alhamdulillah kerana dengan izinnya dapat bermusyarakah dalam Muzakarah Haji pada kali ini. Memandangkan isu nazafah telah menjadikan Malaysia negara yang dipuji oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, maka kami angkat sekali lagi isu ini untuk membumikannya dalam realiti peribadatan haji khususnya ketika berada di dua Tanah Suci, Mekah dan al-Madinah. Lebih ketara lagi tatkala berada di Masya’ir semasa kemuncak acara manasik haji.

Justeru, kami tajukkan Bayan Linnas pada kali ini dengan Konsep Nazafah: Praktikal Dalam Kesempurnaan Haji. Semoga Bayan Linnas ini membuka ufuk minda kita untuk kita lebih memahami konsep nazafah seterusnya dapat melaksanakan dengan jayanya. Sebahagian isinya telah kami bentangkan dalam Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-35 Musim Haji 1440H yang bersidang pada 9-11 November 2018 bersamaan 1-3 Rabi’ul Awwal 1440 Hijrah.

Semoga ia memberi manfaat kepada kita semua di mana kebersihan bukan bersifat setempat atau semasa tetapi dalam semua keadaan dan tempat yang perlu dibudayakan dalam kehidupan kita termasuk di rumah, bilik air, ruang tamu, pejabat, dalam kereta, laman rumah dan lain-lain.

 

Takrif Nazafah dan Kebersihan

Kami dahulukan dengan takrifan bagi mendapat sebuah tasawwur yang jelas untuk tajuk ini.

Perkataan al-Nazafah (النظافة) dari segi asalnya bermaksud penyucian. (Lihat Lisan al-Arab, 8/608). Perkataan lain yang merujuk kepada kebersihan dalam bahasa Arab ialah al-Taharah (الطهارة) yang membawa maksud bersih, bebas dan suci daripada najis (najis hissi seperti air kencing dan ma’nawi seperti keaiban dan maksiat). (Lihat Lisan al-‘Arab, 5/652)

Menurut Ashmawi, al-Nazafah (النظافة) tidak hanya dapat diertikan bersih secara lahiriah, tapi juga bersih secara ma’nawiyah. (Lihat al-Bujairimi ‘ala al-Khatib, 1/205) Ini berdasarkan hadith:

إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ يُحِبُّ الطَّيِّبَ ، نَظِيفٌ يُحِبُّ النَّظَافَةَ ، كَرِيمٌ يُحِبُّ الكَرَمَ ، جَوَادٌ يُحِبُّ الجُودَ ، فَنَظِّفُوا ، أُرَاهُ قَالَ ، أَفْنِيَتَكُمْ وَلاَ تَشَبَّهُوا بِاليَهُودِ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT itu baik, Dia menyukai kebaikan. Allah itu bersih, Dia menyukai kebersihan. Allah itu mulia, Dia menyukai kemuliaan. Allah itu dermawan ia menyukai kedermawanan maka bersihkanlah olehmu tempat-tempatmu dan janganlah kamu menyerupai kaum Yahudi.

Riwayat al-Tirmizi (2799)

Daripada Jabir bin Abdillah R.A, Nabi SAW bersabda:

مَنْ أَكَلَ ثُومًا أَوْ بَصَلًا فَلْيَعْتَزِلْنَا أَوْ لِيَعْتَزِلْ مَسْجِدَنَا

Maksudnya: Siapa memakan bawang putih atau bawang, maka jarakkanlah mereka daripada kami, atau jarakkanlah daripada masjid kami.

Riwayat al-Bukhari (5452)

Imam al-Nawawi menjelaskan hadis Jabir di atas, katanya: Larangan ini adalah larangan untuk menghadiri masjid, bukan larangan untuk makan bawang merah atau bawang putih atau sejenisnya. Bawang baqul (البقول) hukumnya halal berdasarkan sepakat ulama yang pendapatnya diakui. Sementara itu, al-Qadhi ‘Iyadh menyebut daripada para ulama Zahiriyah bahawa bawang haram, kerana boleh menghalang untuk menghadiri jemaah. Ini disebabkan solat jemaah bagi mereka fardhu ain. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 4/48)

Mafhum daripada hadis di atas ialah umat Islam dianjurkan menjaga kebersihan hatta isu bau sekalipun halal dimakan apabila berada dalam jemaah khususnya ketika menunaikan ibadat maka dilarang agar kesemua yang lain merasa selesa dan tidak tertekan dengan bau yang kurang enak. Justeru, kebersihan bukans emata-mata fizikal tetapi membawa kepada yang maknawi seperti bau yang tidak selesa. Amat penting ketika kita melaksanakan ibadat haji untuk menjaga dan meraikan rakan-rakan sebilik seperti:

  • Tidak merokok
  • Tidak membuang sampah di merata-rata
  • Tidak menyusun pakaian dengan rapi
  • Tidak menjaga bau mulut seperti tidak gosok gigi
  • Bau badan yang kuat yang sepatutnya menjaga kebersihan badan

Kebersihan dari segi bahasa berasal dari perkataan bersih yang bermaksud tidak kotor. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat)

Istilah Bersuci (Thaharah) yang digunakan di dalam kitab fiqh membawa maksud Kebersihan (al-Nazofah). (Lihat al-Tazkirah fi al-Fiqh Syafie, Ibn Mulaqqin)

Bersuci pada istilah Syara’ ialah perbuatan yang mengharuskan solat atau seumpamanya seperti berwudhu’ kepada sesiapa yang belum berwudhu’, mandi kepada sesiapa yang diwajibkan mandi dan menghilangkan najis daripada pakaian, badan dan juga tempat. (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, 1/163)

 

Keprihatinan Islam Terhadap Kebersihan dan Bersuci

Kami nukilkan di sini daripada kitab al-Fiqh al-Manhaji, antara lain menyebut: Islam sangat prihatin tentang bersih dan suci sebagaimana keterangan berikut:

 

Pertama: Perintah berwudhu’ untuk mendirikan solat setiap hari beberapa kali. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ ۚ وَإِنْ كُنْتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا ۚ وَإِنْ كُنْتُمْ مَرْضَىٰ أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنَ الْغَائِطِ أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُمْ مِنْهُ ۚ مَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُمْ مِنْ حَرَجٍ وَلَٰكِنْ يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمْ وَلِيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

 Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwudhu’lah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.

(Surah al-Maidah: 6)

Menurut Imam Ibn Kathir ayat ini menyeru untuk berwudhuk ketika mendirikan tetapi secara wajibnya kepada yang berhadas, sunat untuk orang yang suci dari hadas, kerana Nabi SAW berwudhuk untuk setiap solat. (Lihat Tafsir Al-Quran al-Azim, 2/23)

 

Kedua: Gesaan supaya mandi pada keadaan tertentu. Firman Allah SWT:

وَإِنْ كُنْتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا

Maksudnya: Dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah.

(Surah al-Maidah: 6)

Menurut Imam as-Suyuthi, bersuci di sini membawa maksud mandi. (Tafsir al-Dur Manthur fi Tafsir bi al-Ma’thur, 2/263)

                                                                                               

Ini dinyatakan lagi di dalam hadith, Rasulullah SAW bersabda:

حَقٌّ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ أَنْ يَغْتَسِلَ فِى كُلِّ سَبْعَةِ أَيَّامٍ يَغْسِلُ رَأْسَهُ وَجَسَدَهُ

Maksudnya: Tanggungjawab setiap muslim kepada Allah ialah mandi sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu dengan membasuh kepala dan badannya.

Riwayat Al-Bukhari (856) dan Muslim (849)

Imam Nawawi menyebut, para salaf dan khalaf juga para fuqaha meletakkan perbuatan mandi seperti di dalam hadith di atas merupakan Sunnah mustahabah sahaja, serta tidak membawa kepada hukum wajib. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih al-Muslim, 6/133)

 

Ketiga: Perintah supaya memotong kuku, membersihkan gigi dan pakaian. Rasulullah SAW bersabda:

خَمْسٌ مِنَ الْفِطْرَةِ: الْخِتَانُ، وَالاِسْتِحْدَادُ، وَنَتْفُ الإِبْطِ، وَتَقْلِيمُ الأَظْفَارِ، وَقَصُّ الشَّارِبِ

Maksudnya: Lima perkara daripada fitrah ialah berkhitan, mencukur bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan menggunting misai.

Riwayat Al-Bukhari (5550) dan Muslim (257)

Imam Ibn Hajar Al-Asqalani mengatakan bilangan yang disebutkan itu tidak terbatas sebanyak itu sahaja, kerana datang dalam hadis lain bilangan yang lain. (Rujuk Fath al-Bari, 10/337)

                                

Sabda Rasulullah SAW lagi:

لَوْلاَ أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِى لأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ عِنْدَ كُلِّ صَلاَةٍ

Maksudnya: Sekiranya tidak membebankan umatku, aku akan memerintahkan mereka supaya bersugi setiap kali bersolat.

 Riwayat al-Bukhari (847) dan Muslim (252)

Menurut riwayat lain daripada Imam Ahmad pada akhir hadith tersebut: “Ketika setiap kali berwudhu’.” Imam Badr Ad-Din Al-Aini menyebut bersiwak ini akan memperolehi redha Allah, kerana beramal dengan Sunnah Nabi SAW. Selain bersiwak ini juga dianggap sebagai muqadimmah dalam ibadah kerana dilakukan sebelum berwudhuk. (Lihat ‘Umdah al-Qari, 16/396)

 

Firman Allah SWT:

وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ

Maksudnya: Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.

(Surah al-Muddathir: 4)

Menurut Imam al-Baidhawi, bersih pakaian ialah bersih daripada najis-najis kerana sesungguhnya membersihkan itu adalah kewajipan sebelum beribadat. (Rujuk Tafsir al-Baidhawi, 1/411)

 

Sabda Rasulullah SAW kepada para sahabatnya:

إِنَّكُمْ قَادِمُونَ عَلَى إِخْوَانِكُمْ فَأَصْلِحُوا رِحَالَكُمْ وَأَصْلِحُوا لِبَاسَكُمْ حَتَّى تَكُونُوا كَأَنَّكُمْ شَامَةٌ فِى النَّاسِ فَإِنَّ اللَّهَ لاَ يُحِبُّ الْفُحْشَ وَلاَ التَّفَحُّشَ

Maksudnya: Kamu akan berjumpa dengan sahabat-sahabat kamu, maka perkemaskanlah peralatan dan pakaianmu hingga kamu dikenali di kalangan orang ramai. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada perkataan dan perbuatan yang keji dan keterlaluan.

Riwayat Abu Daud (4089)

Imam Abadi mensyarahkan ibarat “qadimun ‘ala ikhwanikum” membawa maksud ketika masuk ke negara dari sebuah permusafiran untuk tujuan menziarahi kenalan. (Rujuk ‘Aun al-Ma’bud, 11/100)

Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

(Surah al-Baqarah: 222)

Imam al-Qurtubi menaqalkan daripada ‘Atha’[1] bahawa orang-orang yang mensucikan diri ialah yang bertaubat daripada dosa dan syirik manakala orang yang membersihkan diri adalah dengan air daripada hadas dan junub.

Islam menganggap bersuci itu sebagai sebahagian daripada Iman. Ini diterangkan dalam sebuah hadith Rasulullah SAW bersabda:

الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ

Maksudnya: Bersuci itu adalah antara ciri-ciri keimanan.

Riwayat Muslim (223)

Dalam mensyarakan hadis ini, Imam Nawawi menyebut pendapat yang paling hampir ialah yang mengatakan kebersihan adalah syarat sahnya solat maka kerana itu disebutkan syatru dan tidaklah semestinya syatru membawa maksud sebahagian secara hakiki. (Lihat al-Minhaj, 3/100)

 

 

Falsafah kesucian dalam Islam

Pengarang al-Fiqh al-Manhaji berkata: Islam telah mensyariatkan bersuci kerana hikmah yang banyak. Sebahagian daripadanya ialah:

 

Pertama: Bersuci adalah tuntutan fitrah

Manusia cenderung kepada kebersihan dan secara tabi’i manusia tidak suka serta menjauhkan diri daripada kekotoran. Oleh sebab Islam adalah agama fitrah, maka secara tabi’i ia memerintahkan manusia supaya bersuci dan menjaga kebersihan.

 

Kedua: Memelihara kemuliaan dan kehebatan individu muslim

Manusia secara tabi’i cenderung kepada individu yang bersih. Manusia suka bersama-sama dan duduk dengannya. Manusia berasa benci, memandang rendah, menjauhkan diri serta tidak mahu duduk bersama-sama dengan individu yang pengotor.

Oleh sebab Islam adalah agama yang sangat mengambil berat dalam menjaga kemuliaan dan kehebatan individu yang beriman, maka Islam memerintahkan individu mukmin itu menjaga kebersihan agar menjadi orang yang mulia dan disegani di kalangan khalayak umum.

 

 Ketiga: Memelihara kesihatan

Kebersihan adalah sebab yang amat penting bagi menjauhkan manusia daripada penyakit. Ini kerana kebanyakan penyakit yang menular di kalangan manusia adalah disebabkan kekotoran.

Dengan membersihkan badan, membasuh muka, dua belah tangan, hidung dan dua belah kaki beberapa kali sehari menjadikan badan sentiasa terpelihara daripada sebarang penyakit. Ini kerana anggota tersebut merupakan anggota yang sentiasa terdedah kepada kekotoran.

  

Keempat: Berdiri menghadap Allah SWT dalam keadaan suci dan bersih

Semasa bersolat seseorang hamba bercakap dan bermunajat kepada Tuhannya. Maka selayaknya dia berada dalam keadaan suci zahir dan batin, bersih hati dan badannya, kerana Allah SWT kasih kepada orang yang suka membersihkan batinnya dengan bertaubat dan membersihkan zahirnya dengan bersuci.

 

 

Kebersihan dan Haji

Setelah membincangkan kaitan antara kebersihan dan ibadah umum, perlu ditekankan tentang seruan khusus untuk menjaga kebersihan dalam ibadat haji, firman Allah SWT:

ذَٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّـهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ

Maksudnya:Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa Yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (Dia lah orang Yang bertaqwa) kerana Sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.

(Surah Al-Haj: 32)

Terdapat beberapa tafsiran berkenaan mengagungkan syiar-syiar Allah, antaranya:

  • Dengan maksud ibadat
  • Dengan maksud ketaatan
  • Dengan maksud setiap yang menghampiri kepada Allah
  • Sebahagian ulama' menafsirkan dengan binatang yang dibawa ke Tanah Haram (Lihat al-Tafsir al-Qur’ani li al-Quran, 9/1030)

Berdasarkan kepada tafsiran di atas, maka isu kebersihan dan nazafah ketika melaksanakan manasik haji amatlah perlu diberi kecaknaan kerana ia melambangkan sejuzuk daripada tuntutan daripada syariat islamiah serta melaksanakan ta’zim sya’air Allah.

 

  • Kebersihan sebagai pra syarat kemabruran haji

Kami nukilkan di sini daripada Kertas Kerja Adab Dan Etika Dhuyufurrahman dari Segi Kebersihan[2] yang menyebut:

Menelusuri sejarah Nabi Ibrahim dan anakandanya Nabi Ismail AS, kita dapati setelah Allah SWT memperkenankan baginda sebagai imam yakni pemimpin ikutan bagi umat manusia, Allah SWT memerintahkan Nabi Ibrahim juga Nabi Ismail AS agar membersihkan Kaabah dari segala perkara yang dilarang. Firman Allah SWT:

وَإِذْ جَعَلْنَا الْبَيْتَ مَثَابَةً لِّلنَّاسِ وَأَمْنًا وَاتَّخِذُوا مِن مَّقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى ۖ وَعَهِدْنَا إِلَىٰ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ أَن طَهِّرَا بَيْتِيَ لِلطَّائِفِينَ وَالْعَاكِفِينَ وَالرُّكَّعِ السُّجُودِ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk ibadat Haji) dan tempat yang aman; dan jadikanlah oleh kamu Maqaam Ibrahim itu tempat sembahyang. Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): “Bersihkanlah RumahKu (Ka’bah dan Masjid Al-Haraam dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beri’tikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang ruku’ dan sujud.”

(Surah al-Baqarah: 125)

Maksud taharah di sini ialah bersih daripada berhala, najis-najis dan apa yang tidak layak dengannya atau yang selamat daripada kekotoran tersebut. (Lihat Tafsir al-Baidhawi, 1/163)

Menurut al-Imam al-Hasan al-Basri, kedua-dua Nabi tersebut diperintahkan oleh Allah agar membersihkan Baitullah dari sebarang kekejian iaitu kesyirikan juga suci dari najis dan memastikannya tidak dicemari oleh perkara-perkara tersebut.

Allah SWT juga berfirman:

وَإِذْ بَوَّأْنَا لِإِبْرَاهِيمَ مَكَانَ الْبَيْتِ أَن لَّا تُشْرِكْ بِي شَيْئًا وَطَهِّرْ بَيْتِيَ لِلطَّائِفِينَ وَالْقَائِمِينَ وَالرُّكَّعِ السُّجُودِ

Maksudnya: “Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Ka’bah (untuk membinanya, lalu Kami berfirman kepadanya): “Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun denganKu, dan bersihkanlah rumahKu (Ka’bah ini) bagi orang-orang yang tawaf, dan orang-orang yang berdiri dan yang ruku’ serta yang sujud (mengerjakan sembahyang).

(Surah al-Hajj: 26)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Allah SWT berfirman kepada Nabi Ibrahim AS: Janganlah kamu mengekutukan Aku dengan sesuatu pun antara makhluk-Ku ketika beribadah, dan sucikanlah rumah-Ku daripada patung dan kotoran demi kepentingan orang yang bertawaf dan mengerjakan sembahyang di situ. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/4547)

Ini bermakna, sebagai timbal balas pengunjung ke Tanah Suci juga bertanggungjawab menjaga kebersihan dan kesucian bumi suci tersebut. Dengan pelanggaran perintah mensuci dan membersihkan bumi ini, tentulah menjejaskan peluang mendapat kemabruran haji. Apakah mungkin seseorang mendapat haji yang mabrur dalam keadaan dia melanggar perintah Allah?

 

  • Antara masail kebersihan dalam Bab Haji ialah:

 

i. Ihram

Sebelum berihram disunatkan mandi sunat ihram, sehingga sekiranya terdapat keuzuran untuk mandi, digalakkan untuk bertayamum. (Rujuk Hasyiah al-Baijuri ‘ala Ibn Qasim, 2/598) Ini jelas betapa islam menekan keharusan untuk bersuci sebelum berihram. Kemudian disunatkan pula untuk tatayub iaitu mewangikan diri dengan apa jenis wangian sebelum berniat ihram.

 ii. Tawaf

Tidak sah tawaf sekiranya dalam keadaan hadas kecil atau hadas besar. (Rujuk al-Tanbih fi al-Fiqh al-Syafie, 1/112) Disebutkan juga tidak sah apa jenis tawaf sekalipun sekiranya dalam keadaan berhadas. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 8/23) Disyaratkan bersuci dan bersih dari najis pada bahagian badan, pakaian dan tempat bertawaf. Maka jelas, sebelum melakukan tawaf perlu bersuci terlebih dahulu dari hadas kecil mahupun besar.

 

iii. Mandi Sunat Masuk ke Mekah

Disunatkan untuk mandi sunat ketika berkehendak masuk ke Tanah Haram Makkah.

 

iv. Mandi Sunat untuk Menziarahi makam Nabi SAW

Disunatkan untuk mandi sunat ketika hendak masuk ke makam Nabi SAW.

Kemudian, secara umumnya sudah ditekankan bahawa Sunnah ketika hendak menuju ke masjid, Islam mengajar ummatnya untuk mempersiapkan diri dengan wangian. Firman Allah SWT:

يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ...

Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang)

(Surah al-A’raf: 31)

Ibn ‘Asyur menaqalkan bahawa Bashar Ibn Bard berkata, ayat ini turut ditujukan kepada wanita untuk memakai pakaian yang indah.(Rujuk al-Tahrir wa al-Tanwir, 11/61)

Daripada ayat di atas jelas menunjukkan Islam menganjurkan kita untuk berhias, memakai wangian dan pakaian yang cantik ketika menuju ke masjid. Tambah-tambah lagi apabila menuju ke masjid yang diangkat darjatnya yang mana disebutkan dalam hadis riwayat Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

صَلاَةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ صَلاَةٍ فِيمَا سِوَاهُ إِلاَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ

Maksudnya: “Solat di masjidku ini (masjid Nabawi) lebih baik daripada seribu solat di tempat yang lain melainkan masjid al-Haram”. 

Riwayat Muslim (1394)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam mensyarahkan hadith ini mengatakan ganjaran ini menunjukkan begitu kuat digalakkan untuk pergi ketiga-tiga masjid yang diangkat nilai ganjarannya. (Lihat Bulugh al-Maram, 3/153)

 

Konsep kebersihan yang dipamerkan oleh rakyat Jepun ketika Ibadah Haji

Sudah terang lagi bersuluh, dasar yang sering dibawa oleh YAB Perdana Menteri Malaysia ialah dasar pandang ke timur. Dasar inilah yang sering YAB Perdana Menteri utarakan dalam ucapan-ucapan beliau sebagai amanat dalam menjadikan Jepun sebagai model untuk Malaysia menuju negara maju.

Begitu juga dalam Islam, Nabi SAW tidak kekok untuk mengaplikasikan idea-idea dari bangsa bukan arab malah dari bukan islam untuk dipraktikkan bersama orang Islam. Nabi SAW menggalakkan kita untuk mengaplikasikan buah fikir dan gerak kerja bangsa lain melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW berkata:

الْكَلِمَةُ الْحِكْمَةُ ضَالَّةُ الْمُؤْمِنِ حَيْثُمَا وَجَدَهَا فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا ‏

Maksudnya: Kenyataan yang berhikmah itu adalah barang hilang bagi orang mukmin. Dimana saja ia mendapatinya, maka dialah yang paling berhak terhadapnya.

Riwayat Ibn Majah (4169)

Dalam menerangkan hadith ini, Imam Muhyiddin menyebut tentang hikmah diambil pada setiap perkataan yang menyeru kepada kebaikan dan melarang kepada keburukan. (Lihat Faidh al-Qadir, 5/65)

Antara faktor masyarakat Jepun meletakkan kebersihan sebagai keutamaan adalah kerana faktor agama. Masyarakat Jepun yang rata-ratanya menganut agama Shinto, percaya bahawa kebersihan adalah suatu kemestian dalam mencapai ketenangan. Mereka diwajibkan membasuh muka dan tangan sebelum masuk ke tempat ibadat mereka. Oleh itu, sebagai umat islam yang bukan sahaja membasuh tangan dan muka sebelum masuk ke masjid, malah perintah berwudhuk itu membasuh lebih dari dua anggota lebih berhak menjadi model kepada dunia dalam hal kebersihan.

Amalan baik ini terus dipraktikkan oleh masyarakat Jepun yang memeluk islam, malah mereka membawa budaya ini ketika menunaikan Haji. Bukti yang jelas dapat dilihat melalui video-video yang tular di sosial media, yang memaparkan warga Jepun yang mengutip sampah ketika berjalan keluar dari Masjid Al-Haram.

 

 Prinsip Dan Etika Masyarakat Jepun Dalam Kebersihan

Melalui sebuah artikel yang bertajuk Hygiene Practices in Japan yang ditulis oleh Donna Rhae, menyebut tiga perkara asas dalam amalan kebersihan yang dipraktikkan oleh masyarakat Jepun:

 

Pertama: Memakai Topeng Muka ketika berada di luar

Antara perkara yang jelas dapat dilihat dari masyarakat Jepun ialah memakai topeng muka. Tujuan utama mereka memakai topeng muka ini adalah untuk tidak menyebarkan kuman dan virus terutama ketika berkomunikasi jarak dekat dengan orang lain. Tidak memakai topeng muka ketika dihidapi penyakit walaupun batuk, dianggap suatu tindakan tidak beradab.

 

Kedua: Amalan membersihkan tandas [3]setelah mandi dan menunaikan hajat

Setelah selesai menggunakan tandas samada utuk tujuan mandi atau menunaikan hajat, mereka sentiasa membersihkan kembali sepertimana keadaan tandas sewaktu mereka masuk. Tandas di Jepun sangat berbeza dengan keadaan tandas di negara lain. Tandas mereka sangat bersih, sentiasa kering dan tidak berbau.

 

Ketiga: Keadaan tempat tinggal yang rapi

Menjadi suatu adat yang dijunjung masyarakat Jepun untuk memastikan keadaan rumah sentiasa rapi dan tersusun, kerana bagi mereka rumah yang tidak rapi adalah lambang kerosakan moral. Amalan merapikan setiap barang di dalam rumah bermula dari menyusun kasut ketika masuk ke rumah kemudian meletakkan di tempat yang khas sehinggalah kepada barangan serta peralatan lain di dalam rumah.

 

Cadangan untuk diaplikasikan oleh Jemaah Haji Malaysia

 Daripada tiga amalan asas yang dipraktikkan oleh masyarakat Jepun ini, sangatlah dianjurkan untuk diaplikasikan oleh Jemaah Haji Malaysia. Berikut dicadangkan tiga perkara asas yang diamalkan oleh masyarakat Jepun, untuk dipraktikkan oleh Jemaah Haji Malaysia:

 

  • Memakai Topeng Muka ketika berada di luar[4]

Dicadangkan untuk mewajibkan kepada setiap Jemaah haji untuk memakai topeng muka dan dimasukkan ke dalam senarai barang keperluan Jemaah. Hal ini baik selain daripada tidak menyebarkan kuman dan wabak, sekaligus dapat menghindar Jemaah dari kuman serta debu pasir.

 

  • Amalan membersihkan tandas

Amalan ini sangat penting untuk diterapkan kepada setiap Jemaah Haji Malaysia. Kebersihan tandas sangat penting, kerana tandas yang bersih dapat memberi keselesaan, terutama dalam kesesakan manusia yang sangat ramai. Setiap Jemaah diingatkan agar membersihkan tandas setiap kali mereka selesai menggunakannya.

 

  • Sentiasa merapikan dan mengemas tempat tinggal serta masya’ir

Noktah ini sudah mula dipraktikkan apabila Malaysia melancarkan kempen kebersihan ketika musim Haji yang lalu. Jemaah Malaysia meninggalkan khemah dalam keadaan kemas dan bersih. Namun, keadaan ini perlu ditambah baik lagi bukan sahaja memastikan kebersihan keadaan selepas meninggalkan tempat, malah keadaan ketika berada di tempat-tempat penginapan juga di khemah-khemah yang disediakan penting untuk sentiasa berada dalam keadaan kemas dan rapi. Hal ini berlaku ketika selesai berwukuf di Arafah dan juga bermabit di Mina.[5]

Jemaah perlu sentiasa merapikan bermula dengan sentiasa menyusun kasut, beg bagasi, dan sebagainya ketika berada di khemah-khemah yang disediakan. Pada awal penerapan nilai ini, peranan petugas haji sangat penting dalam merealisasikan semua cadangan ini berjalan dengan baik.

 

Penutup

 Dengan tajuk Konsep Nazafah: Praktikal Dalam Kesempurnaan Haji, kami mengucapkan kesyukuran kepada Ilahi dan syabas kepada pengurusan Tabung Haji kerana telah dapat mengimplementasikan konsep nazafah pada musim haji 1439 Hijrah yang lalu. Kami cadangkan di sini beberapa cadangan:

  • Memasukkan elemen konsep nazafah dalam salah satu kursus haji bersiri.
  • Mengeluarkan pelbagai bentuk poster berkaitan nazafah dan kebersihan.
  • Membuat pertandingan hotel Tabung Haji yang terbersih, tandas yang terbersih dan bilik yang terbersih sebagai penghargaan kepada semua pihak.
  • Ceramah di Mekah dan di Madinah juga dislotkan dengan etika nazafah untuk penghayatan dalam realiti kehidupan jemaah haji.
  • Penyediaan penyapu sampah, bakul sampah dan plastik sampah dengan secukupnya.
  • Larangan daripada merokok sebagaimana yang diarahkan oleh Kementerian Kesihatan.[6]
  • Penyediaan tempat letak kasut atau selipar dengan lebih teratur.

Ini sebahagian daripada cadangan dalam menuju kearah nazafah haqiqiah yang akan bersifat kelainan dan jauh terkehadapan dalam menzahirkan syi’ar haji sehingga kebersihan luaran boleh menjadikan ia berada pada kedudukan yang terbaik di antara negara Islam di dunia ini. Inilah pengajaran secara praktikal dan realiti yang dapat kita jelmakan dalam realiti manasik haji dengan sempurna.

Sesungguhnya kesempurnaan haji berkait rapat dengan isu kebersihan dan nazafah yang perlu diberi perhatian dan kecaknaan yang sungguh-sungguh oleh semua pihak.

Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-35 Musim Haji 1439H telah menekankan bahawa konsep nazafah menjadi elemen utama dan penting dalam kesempurnaan iman juga dalam meraih kesempurnaan dan kemabruran haji. Cadangan yang bernas perlu diterjemahkan dalam realiti jemaah haji Malaysia di mana-mana jua.

Semoga usaha dan himmah yang tinggi akan menatijahkan kejayaan yang cemerlang untuk Tabung Haji dan jemaah haji dengan mentahqiqkan keunggulan sebagai jemaah yang terbaik. Akhirnya memberi dan menggapai haji yang mabrur. Amin.

Akhukum fillah,
SS Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

 

Nota hujung:

[1] Abu Muhammad Atha’ bin Abi Rabah Aslam bin Safwan (Arab: ‎أبو محمد عطاء بن أبي رباح أسلم بن صفوان), atau singkatnya Atha’ bin Abi Rabah, adalah seorang tokoh ulama ahli fiqih, ahli tafsir dan perawi hadits dari golongan tabi'in, yang bertempat tinggal di Mekkah.

Atha’ bin Abi Rabah merupakan seorang keturunan Habasyah (kini Etiopia, Afrika), yang lahir di Al-Janad, sebuah kota di Yaman. Pada awalnya ia adalah seorang mawla (hamba) keluarga Al-Fihr di Mekah, namun dia dibebaskan dan menjadi penuntut ilmu daripada para sahabat Nabi, khususnya Jabir bin Abdullah al-Ansari, Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Zubair, dan lain-lain.

Atha’ di kemudian hari menjadi ulama yang luas pengetahuannya dan amat dihormati, hingga bersama Mujahid bin Jabir dipercaya sebagai imam pemberi fatwa atas berbagai permasalahan penduduk Mekkah. Para ulama yang menjadi muridnya antara lain Amru bin Dinar, Az-Zuhri, Qatadah, Malik bin Dinar, Al-A'masy, Al-Auza'i, dan lain-lain. Al-Bukhari meriwayatkan hadits dari Atha dalam kitabnya sebanyak 109 kali.

Atha’ disebutkan meninggal dalam usia 88 tahun pada tahun 115 H (733-4 M), meskipun ada pula penulis sejarah yang menyatakan bahwa ia hidup hingga usia yang lebih lanjut lagi.

[2] Ia telah dibentangkan oleh Ybhg. Sahibul Fadilah Datuk Haji Wan Muhammad Syeikh Abdul Aziz pada Muzakarah Haji yang lalu.

[3] Dalam carian kami, antara negara yang mempunyai tandas yang terbersih di dunia ialah Belgium, Australia, Jerman, Denmark, Hungary, Singapura dan Cyprus. (Lihat https://www.ranker.com/list/countries-with-best-sanitation-facilities/ceorick) Bahkan semasa lawatan kami di Turki juga didapati tandas-tandas di masjid kelihatan amat bersih.

[4] Imam al-Nawawi berkata: Mazhab kami (Syafi’iyah), bahawa dibolehkan bagi lelaki ihram untuk menutup wajahnya dan tidak ada kewajiban fidyah. Dan ini pendapat kebanyakan ulama… Ulama mazhab kami berdalil dengan riwayat daripada Sufyan bin Uyainah daripada Abdurrahman bin Qasim daripada ayahnya, bahawa Uthman bin Affan, Zaid bin Tsabit, dan Marwan bin al-Hakam, mereka menutup wajahnya ketika mereka sedang ihram. Dan riwayat ini sanadnya sahih. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 7/268).

[5] Kempen Kebersihan Perdana Masyair yang pertama kali dianjurkan Tabung Haji (TH) tahun 2018 telah memberi kesan yang positif malah mendapat perhatian Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi. Naib Menterinya, Dr Abd al-Fattah Suliman Mashat berkata, pihaknya akan mencadangkan kepada jemaah haji dari negara lain untuk turut melakukan inisiatif sama tahun depan. “Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada TH di atas inisiatif (dan kerjasama jemaah haji Malaysia) membersihkan khemah di Arafah dan Mina sebelum meninggalkannya.” (Lihat Kempen Kebersihan Perdana Masyair Dapat Pujian dalam http://www1.hmetro.com.my/ pada 27 Ogos 2018. Lihat juga akbar http://www.arabnews.com/node/1361936/saudi-arabia ; http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1636559 dan https://sg.news.yahoo.com/saudi-government-praises-malaysian-pilgrims-071455888.html )

 Ini juga sebuah kejayaan bagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) pada tahun ini.

[6] Lihat http://hrpb.moh.gov.my/baru/index.php/orang-awam/maklumat-am/kawasan-larangan-merokok Lihat juga http://muftiwp.gov.my/en/artikel/bayan-linnas/2634-bayan-linnas-siri-ke-18-merokok-hukum-dan-penyelesaiannya dan juga Facebook https://www.facebook.com/drzulmuftiwp/ bertarikh 20 Oktober 2018.